Facebook
X
Telegram
LinkedIn
WhatsApp

PTPTN Lancar Kempen Jom Bayar PTPTN Sempena Hari Mesra Pelanggan

Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) telah menganjurkan Hari Mesra Pelanggan di semua Pejabat PTPTN Negeri dan Cawangan seluruh negara. Majlis perasmian telah disempurnakan oleh YBrs. Encik Ahmad Dasuki Abdul Majid, Ketua Eksekutif PTPTN bertempat di Menara PTPTN, Kuala Lumpur. Turut hadir, Puan Mastura Mohd Khalid, Ketua Pegawai Operasi PTPTN, Encik Azhar bin Ahmad, Ketua Pegawai Kewangan PTPTN dan Pengurusan PTPTN.

PTPTN sentiasa berusaha mencari langkah terbaik melalui pendekatan yang lebih mesra agar peminjam tampil berunding dengan PTPTN sekali gus memastikan kutipan bayaran balik pinjaman terus meningkat. Selari komitmen PTPTN dalam menggalakkan bayaran balik pinjaman di kalangan peminjam dan meningkatkan kualiti perkhidmatan, Hari Mesra Pelanggan PTPTN dilaksanakan secara serentak di semua Pejabat PTPTN Negeri dan Cawangan seluruh negara bermula 12 Disember hingga 31 Disember 2023.

Bersempena Hari Mesra Pelanggan, PTPTN turut melancarkan Kempen Jom Bayar PTPTN yang merupakan kempen yang julung-julung kali diadakan dengan menyediakan pelbagai tawaran istimewa kepada para peminjam PTPTN iaitu:

  1. Pemberian insentif diskaun bayaran balik pinjaman PTPTN sehingga 15%;
  2. Peminjam yang mempunyai tunggakan boleh membuat bayaran pendahuluan tunggakan minimum sebanyak RM300 sahaja untuk membuat penstukturan semula pinjaman;
  3. Cabutan Jom Bayar PTPTN yang menawarkan hadiah tunai yang amat lumayan berjumlah RM70,000 kepada 140 pemenang. Tempoh promosi cabutan ini bermula pada 1 Disember lepas hingga 31 Disember 2023; dan
  4. Cenderamata eksklusif PTPTN.

 

Insentif Diskaun PTPTN 

Peminjam bakal menikmati insentif diskaun bayaran balik pinjaman PTPTN sehingga 15% merangkumi tiga (3) kategori berikut:  

  • Diskaun 10% atas baki hutang untuk penyelesaian penuh pinjaman; 
  • Diskaun 10% untuk bayaran sekurang-kurangnya 50% daripada baki hutang dalam sekali bayaran; dan 
  • Diskaun 15% untuk bayaran secara potongan gaji atau debit terus berjadual. 

Dapatkan info lanjut berkaitan insentif diskaun PTPTN di sini. 

Penstrukturan Semula Pinjaman

Bagi peminjam yang mempunyai tunggakan pinjaman PTPTN hanya perlu membuat bayaran pendahuluan tunggakan sekurang-kurangnya RM300 dan boleh membuat permohonan penstrukturan semula pinjaman tertakluk kepada syarat-syarat lain yang ditetapkan. 

Cabutan Jom Bayar PTPTN 

Bagi peminjam yang membuat pembayaran balik pinjaman dalam tempoh kempen juga turut berpeluang untuk menyertai Cabutan Jom Bayar PTPTN dengan tawaran hadiah yang cukup lumayan keseluruhan bernilai RM70,000 untuk 140 orang pemenang dalam bentuk akaun Simpan SSPN Prime. Tempoh promosi cabutan ini bermula pada 1 Disember hingga 31 Disember 2023. Setiap negeri menawarkan sepuluh (10) hadiah menarik kepada pemenang kempen seperti berikut:

PEMENANG  HADIAH (RM)  BIL PEMENANG
Utama 2,000  1 Pemenang x 14 Negeri 
Kedua 1,000  1 Pemenang x 14 Negeri 
Ketiga 500  3 Pemenang x 14 Negeri 
Saguhati 100  5 Pemenang x 14 Negeri 

Kelayakan cabutan adalah berdasarkan kepada amaun bayaran balik pinjaman PTPTN seperti berikut: 

SALURAN BAYARAN   BAYARAN MINIMUM  KELAYAKAN 
myPTPTN  RM300.00  2 Cabutan 
Selain myPTPTN  RM300.00  1 Cabutan  

Peminjam digalakkan membuat bayaran balik melalui myPTPTN untuk kelayakan 2 cabutan. Bayaran yang dibuat melalui platform lain juga diterima. Semak senarai saluran bayaran balik di sini. 

Cenderamata Eksklusif PTPTN 

Lebih menarik lagi, peminjam yang melakukan transaksi bayaran balik pinjaman dalam satu resit di kaunter cawangan PTPTN di seluruh Malaysia dalam tempoh kempen bakal menerima cenderamata eksklusif daripada PTPTN. 

Cenderamata yang ditawarkan berdasarkan jumlah pembayaran adalah seperti berikut: 

BAYARAN  CENDERAMATA*
RM10,000 dan ke atas  Payung 
RM5,000 – RM9,999  Multipurpose Bag 
RM3,000 – RM4,999  Tabung Telur 
RM1,000 – RM2,999  Non-Woven Bag 
RM500 – RM999 atau 3 bulan JBB  Pen 

*selagi stok masih ada 

PTPTN sebagai sebuah agensi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memainkan peranan penting dalam mendukung hasrat kerajaan untuk memastikan kelestarian pendidikan tinggi. Sehingga 31 Oktober 2023, seramai 3.92 juta peminjam telah diluluskan pinjaman PTPTN dengan jumlah pinjaman yang telah dikeluarkan sebanyak RM70.91 bilion.

PTPTN sentiasa mengutamakan kemudahan yang kondusif dan fleksibel agar pelanggan dapat menghubungi PTPTN dengan mudah dan cepat. #PTPTNSediaBantu merupakan inisiatif yang disediakan PTPTN dalam bentuk kemudahan bagi membantu memudahkan para peminjam yang mempunyai sebarang pertanyaan atau urusan berkaitan bayaran balik pinjaman. Melalui kemudahan ini, peminjam boleh berhubung dengan barisan hadapan (frontliners) PTPTN yang sangat komited untuk memberikan perkhidmatan terbaik.

PTPTN juga terus komited untuk memastikan para peminjam membuat bayaran balik pinjaman secara konsisten bagi kelangsungan dana untuk generasi akan datang. Sehingga 31 Oktober 2023, seramai 2.25 juta peminjam atau 83.05% yang sepatutnya membuat bayaran balik, telah mula membuat bayaran balik pinjaman mereka. Terima kasih diucapkan kepada para peminjam atas sifat tanggungjawab yang ditunjukkan. Semoga amalan mulia ini dicontohi oleh para peminjam lain. Inilah peluang terbaik kepada semua peminjam untuk berunding dengan pegawai PTPTN. Peminjam bukan sahaja dapat menikmati diskaun bayaran balik pinjaman, malah berpeluang membuat penstrukturan semula pinjaman dengan tawaran yang lebih menarik, berpeluang memenangi hadiah lumayan serta mendapat cenderamata eksklusif daripada PTPTN. Manfaat 4 dalam 1 ini sangat berbaloi untuk para peminjam sempena Hari Mesra Pelanggan dan Kempen Jom Bayar PTPTN” – Encik Ahmad Dasuki Abdul Majid, Ketua Eksekutif PTPTN

Selain itu, bagi memudahkan pelanggan berurusan sepanjang Hari Mesra Pelanggan, waktu operasi kaunter di Pejabat PTPTN Negeri dan Cawangan seluruh negara dilanjutkan seperti jadual berikut:

HARI NEGERI MASA
Isnin hingga Jumaat Kecuali Terengganu, Kelantan, Kedah dan Johor 8.30 pagi hingga 6.00 petang
Ahad hingga Khamis Terengganu, Kelantan, Kedah dan Johor
Sabtu Semua Negeri 9.00 pagi hingga 5.00 petang