Facebook
Twitter
Telegram
LinkedIn
WhatsApp

Pelaksanaan Insentif Diskaun Bayaran Balik Pinjaman PTPTN

Pembentangan Belanjawan 2024 bertemakan “Reformasi Ekonomi, Memperkasa Rakyat” oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim, Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Malaysia pada 13 Oktober 2023 (Jumaat) lalu turut memberikan manfaat kepada peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) melalui insentif diskaun bayaran balik pinjaman.

Pemberian insentif diskaun bayaran balik pinjaman PTPTN bermula 14 Oktober 2023 hingga 31 Mac 2024 meliputi tiga (3) kategori seperti berikut:

i) Diskaun 10 peratus atas baki hutang untuk penyelesaian penuh pinjaman;
ii) Diskaun 10 peratus untuk bayaran sekurang-kurangnya 50 peratus daripada baki hutang dalam sekali bayaran; dan
iii) Diskaun 15 peratus untuk bayaran secara potongan gaji atau debit terus berjadual.

Semua peminjam termasuk yang telah dikenakan tindakan penguatkuasaan adalah layak menikmati insentif ini. Peminjam yang hendak membuat penyelesaian penuh pinjaman atau bayaran balik sekurang-kurangnya 50 peratus daripada keseluruhan baki hutang pinjaman dalam sekali bayaran perlu memohon pengesahan baki pinjaman sama ada melalui portal rasmi PTPTN di www.ptptn.gov.my, aplikasi myPTPTN atau menghubungi Eksekutif Pemasaran PTPTN sebelum membuat bayaran balik melalui saluran bayaran yang telah disediakan.

Peminjam yang sedang membuat bayaran melalui saluran potongan gaji atau debit terus (direct debit) adalah layak menikmati diskaun 15 peratus ini secara automatik tertakluk bayaran diterima oleh PTPTN dalam tempoh diskaun. Manakala peminjam yang ingin membuat potongan gaji atau debit terus (direct debit) hendaklah membuat permohonan melalui portal rasmi PTPTN atau aplikasi myPTPTN. Peminjam boleh memilih salah satu atau kedua-dua saluran tersebut untuk menikmati insentif ini.

Selanjutnya, peminjam boleh menyemak diskaun yang diberikan dalam penyata pinjaman masing-masing mulai tujuh (7) hari bulan pada bulan berikutnya melalui portal rasmi PTPTN atau aplikasi myPTPTN.

“PTPTN mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan di atas pemberian insentif diskaun bayaran balik pinjaman PTPTN yang akan memberi manfaat kepada seramai 1.7 juta peminjam yang patut membuat bayaran balik. Ini menunjukkan keprihatinan Kerajaan bagi memastikan kebajikan para peminjam sentiasa diutamakan dan kelestarian dana PTPTN untuk pembiayaan kepada generasi akan datang. Semoga para peminjam PTPTN mengambil peluang untuk membuat bayaran balik dan menikmati diskaun yang diberikan oleh Kerajaan.” – YBrs. Encik Ahmad Dasuki Abdul Majid, Ketua Eksekutif PTPTN

Untuk sebarang pertanyaan lanjut, peminjam boleh mendapatkan informasi melalui ruangan Soalan Lazim Belanjawan 2024 di portal rasmi PTPTN. Peminjam juga boleh menghubungi PTPTN melalui saluran berikut:

 

Soalan Lazim, KLIK DI SINI

Pengesahan Baki Hutang Pinjaman, KLIK DI SINI

Siaran media, KLIK DI SINI

Info lanjut Diskaun PTPTN, KLIK DI SINI