Pendidikan tinggi merupakan antara laluan penting dalam membina masa depan yang lebih baik. Namun begitu, bagi sebahagian pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah, kekangan kewangan masih menjadi antara cabaran utama yang boleh menjejaskan peluang mereka untuk melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.
Bagi memastikan peluang pendidikan tinggi terus terbuka kepada golongan yang memerlukan, Kerajaan melalui Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) memperkenalkan Biasiswa Anak eKasih PTPTN (BAeK PTPTN), iaitu inisiatif khas bagi membantu pelajar daripada keluarga miskin dan miskin tegar yang berdaftar dalam pangkalan data eKasih.
Apa Itu BAeK PTPTN?
BAeK PTPTN merupakan inisiatif pendidikan yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri semasa pembentangan Belanjawan 2026 sebagai pendekatan keadilan sosial dalam pendidikan. Inisiatif ini diperkenalkan bagi memastikan pelajar daripada keluarga miskin dan miskin tegar terus mendapat peluang melanjutkan pengajian ke peringkat pendidikan tinggi tanpa masalah kewangan.
Melalui pelaksanaan BAeK PTPTN, pinjaman PTPTN diberikan dalam bentuk biasiswa kepada pelajar miskin dan miskin tegar yang berdaftar dalam pangkalan data eKasih yang mengikuti pengajian peringkat Diploma atau Ijazah Sarjana Muda secara sepenuh masa di Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) mulai 1 Januari 2026.
BAeK PTPTN adalah berdasarkan permohonan pinjaman PTPTN yang dibuat melalui aplikasi web myPTPTN. Pelajar akan diluluskan pinjaman PTPTN terlebih dahulu bagi memastikan kelangsungan pengajian pelajar dan ditawarkan BAeK PTPTN sekiranya memenuhi syarat kelayakan.
Inisiatif BAeK PTPTN turut mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan dan PTPTN dalam memperluas akses pendidikan tinggi, di samping memastikan latar belakang sosioekonomi tidak menghalang pelajar yang berpotensi untuk meneruskan pengajian dan membina masa depan yang lebih baik.
Kelayakan BAeK PTPTN
Pelajar perlu memenuhi syarat kelayakan yang telah ditetapkan seperti berikut:
- Warganegara Malaysia;
- Berumur tidak melebihi 25 tahun pada tarikh permohonan;
- Mengikuti pengajian peringkat Diploma atau Ijazah Sarjana Muda secara sepenuh masa di IPTA mulai 1 Januari 2026;
- Pelajar tersenarai dalam pangkalan data eKasih;
- Kursus yang diikuti telah berdaftar dengan PTPTN;
- Baki tempoh pengajian semasa membuat permohonan pinjaman PTPTN tidak kurang daripada satu semester;
- Pelajar telah diluluskan jumlah maksimum pinjaman PTPTN;
- Tiada tunggakkan bayaran balik pinjaman PTPTN; dan
- Mempunyai akaun Simpan SSPN yang masih aktif.
Jumlah Biasiswa Ditawarkan
Jumlah biasiswa yang diberikan adalah mengikut peringkat dan bidang pengajian pelajar seperti berikut:
| Peringkat Pengajian | Jumlah Biasiswa |
| Diploma | RM4,750 setahun |
| Ijazah Sarjana Muda (Sastera) | RM6,180 setahun |
| Ijazah Sarjana Muda (Sains) | RM6,650 setahun |
Biasiswa ini akan membantu menampung keperluan pengajian pelajar sepanjang tempoh pengajian, tertakluk kepada syarat kelayakan dan ketetapan yang berkuat kuasa.
Pembayaran biasiswa akan dibuat pada setiap semester berdasarkan pengesahan status pengajian pelajar dan keputusan peperiksaan yang diterima daripada IPTA. Bayaran akan dikreditkan terus ke akaun bank pelajar. Oleh itu, pelajar perlu memastikan maklumat akaun bank yang diberikan adalah tepat, aktif dan boleh digunakan bagi mengelakkan sebarang kelewatan pembayaran.
Proses Permohonan dan Penawaran BAeK PTPTN
Proses permohonan dan penawaran adalah seperti berikut:
- Mohon pinjaman PTPTN melalui myPTPTN
Pelajar perlu membuat permohonan pinjaman PTPTN melalui aplikasi web myPTPTN.
- Terima tawaran pinjaman PTPTN
Pelajar yang memenuhi syarat permohonan pinjaman akan menerima dokumen tawaran pinjaman PTPTN.
- Lengkapkan dokumen tawaran pinjaman PTPTN
Dokumen tawaran pinjaman PTPTN perlu dilengkapkan dan ditandatangani mengikut tatacara yang ditetapkan.
- Serah dokumen tawaran pinjaman PTPTN
Dokumen tawaran pinjaman PTPTN yang lengkap perlu diserahkan secara dalam talian atau di mana-mana kaunter cawangan PTPTN yang terdekat.
- Terima tawaran BAeK PTPTN
Sekiranya memenuhi syarat kelayakan BAeK PTPTN, pelajar akan menerima Dokumen Tawaran Biasiswa Anak eKasih PTPTN melalui e-mel dan mesej notifikasi di aplikasi myPTPTN.
- Lengkapkan dokumen tawaran BAeK PTPTN
Pelajar perlu mencetak dan melengkapkan dokumen tawaran BAeK PTPTN serta menandatangani Notis Pindaan yang dihantar bersama tawaran BAeK PTPTN.
- Serah dokumen tawaran BAeK di kaunter PTPTN
Dokumen tawaran BAeK PTPTN yang lengkap perlu diserahkan secara fizikal di mana-mana kaunter cawangan PTPTN yang terdekat dalam tempoh 14 hari daripada tarikh surat tawaran BAeK PTPTN.
Kesimpulan
BAeK PTPTN merupakan antara inisiatif penting dalam memastikan pelajar daripada keluarga eKasih tidak tercicir daripada peluang melanjutkan pengajian ke IPTA. Melalui pemberian BAeK PTPTN dalam bentuk biasiswa, pelajar yang layak dapat meneruskan pengajian dengan lebih yakin, terancang dan fokus kepada kecemerlangan akademik.




