Jom Bersama Kami

Memberi Kegembiraan Kepada Mereka Yang Memerlukan Melalui myWaqafPTPTN

Jom Bersama Kami

Memberi Kegembiraan Kepada Mereka Yang Memerlukan Melalui myWaqafPTPTN

Apakah myWaqafPTPTN?

Produk/ instrumen wakaf tunai untuk pendidikan tinggi yang disediakan melalui kerjasama strategik antara Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dengan Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) yang telah dimeterai pada 22 Februari 2024.

Kerjasama strategik bersama YWM adalah bertepatan mengambil kira pengalaman serta kepakaran yang boleh ditawarkan oleh YWM, yang merupakan juga sebuah agensi Kerajaan di bawah Jabatan Wakaf, Zakat & Haji (JAWHAR) dalam pelaksanaan wakaf di Malaysia.

Objektif penubuhan myWaqafPTPTN

myWaqafPTPTN adalah sebagai salah satu inisiatif untuk mempelbagaikan sumber dana PTPTN bagi tujuan pembiayaan pendidikan tinggi selain menerusi pemberian pinjaman pendidikan sedia ada. Selain itu, inisiatif ini juga adalah merupakan instrumen bagi membolehkan sumbangan diterima daripada orang ramai, syarikat korporat atau organisasi untuk sama-sama berkongsi tanggungjawab dalam memperkasakan akses kepada pendidikan tinggi negara, terutamanya kepada golongan yang benar-benar memerlukan.

Siapakah penerima manfaat myWaqafPTPTN?

Penerima manfaat myWaqafPTPTN adalah mahasiswa daripada golongan B40, M40 dan asnaf, tidak terhad kepada yang beragama Islam sahaja.

Tadbir urus myWaqafPTPTN

myWaqafPTPTN akan dipandu oleh Jawatankuasa Induk dan diselia oleh Jawatankuasa Penilaian Teknikal dan Agihan serta Jawatankuasa Promosi dan Publisiti. Kesemua jawatankuasa ini dianggotai oleh wakil YWM dan PTPTN.

Bagaimana myWaqafPTPTN dilaksanakan?

Sumber kutipan dana wakaf/ Pewakaf (Waqif)

Sumbangan wakaf tunai yang diterima daripada Pewakaf (Waqif) yang terdiri daripada organisasi, syarikat, individu serta entiti yang sah di sisi undang-undang sama ada dari dalam atau luar negara merangkumi: Kerajaan, syarikat korporat, badan berkanun, badan bukan Kerajaan (NGO), orang awam, warga PTPTN dan dana/ sumbangan luar negara.

Dana Wakaf/ Harta yang diwakafkan (Mawquf)

Semua terimaan dana wakaf tunai sebagai ‘Ain Waqaf’ akan diuruskan oleh YWM dan dana wakaf tersebut akan dilaburkan di dalam portfolio pelaburan patuh Syariah.

Penerima wakaf (Mawquf ‘Alaih)

Mahasiswa daripada golongan asnaf, B40 dan M40 dan tidak terhad kepada yang beragama Islam sahaja.

*Syarat permohonan penerima wakaf akan dimaklumkan dari semasa ke semasa sementara menunggu pengembangan ‘ain wakaf’ yang akan dibuat melalui pelaburan.

Lafaz Akad (Sighah)

Saya dengan ini mewakafkan wang tunai melalui perbankan atas talian/ pindahan wang atas nama Yayasan Waqaf Malaysia bagi tujuan myWaqafPTPTN dan mewakili serta mengamanahkan kepada Yayasan Waqaf Malaysia untuk mengurus dana wakaf saya mengikut keperluan semasa bagi kepentingan Ummah kerana Allah Subhanahu Wa Ta’ala dan membenarkan 5% atau apa-apa jumlah % yang dipersetujui Jawatankuasa Penasihat Syariah YWM daripada Dana Wakaf terkumpul ini sebagai upah pengurusan kepada Yayasan Waqaf Malaysia.

Apakah faedah kepada pewakaf?

Salah satu aspek menarik myWaqafPTPTN adalah insentif cukai yang ditawarkan kepada penyumbang. Setiap sumbangan layak mendapat potongan cukai sebanyak 10% daripada pendapatan agregat, menurut Subseksyen 44(11C) Akta Cukai Pendapatan 1967.

Apabila mati seorang anak Adam, maka terputuslah segala amalannya kecuali tiga perkara: sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dengannya dan anak soleh yang mendoakan untuknya.

(Hadis Riwayat Muslim)

Jom Berwakaf

Demi Kelangsungan Pendidikan Tinggi

Sedikit atau banyak bukanlah ukuran,
tetapi mampu mengubah nasib insan yang memerlukan.

Anda boleh membuat pindahan wang ke akaun Yayasan Waqaf Malaysia di RHB Islamic Bank melalui nombor akaun:

Dalam rezeki kita, ada rezeki orang lain.
Jom berwakaf dan jadikan impian mereka satu realiti.

Soalan lazim

Bagaimanakah kaedah tadbir urus atau pengurusan myWaqafPTPTN?

Dana wakaf tunai yang disalurkan oleh syarikat korporat, organisasi, orang awam atau warga PTPTN akan diterima, diuruskan dan dilaburkan dalam pelaburan patuh Syariah oleh Yayasan Waqaf Malaysia.

Manfaat daripada dana tersebut (hasil pelaburan) akan diuruskan oleh PTPTN untuk disalurkan kepada mahasiswa asnaf, B40 dan M40 untuk biasiswa pendidikan tinggi.

Apakah syarat-syarat orang yang ingin berwakaf?

Syarat-syarat orang yang ingin berwakaf adalah :

  1. Baligh;
  2. Berakal (sempurna akal fikiran) dan waras pemikirannya;
  3. Harta yang hendak diwakafkan hendaklah dimiliki penuh oleh Pewakaf;
  4. Berwakaf atas kerelaan sendiri tanpa ada paksaan dari sesiapa.
Berapakah jumlah amaun minimum atau maksimum untuk berwakaf?

Tiada had nilai ditetapkan bagi tujuan pewakafan ini.

Kemanakah dana myWaqafPTPTN ini akan disalurkan?

Dana myWaqafPTPTN akan disalurkan kepada penerima wakaf dari kalangan mahasiswa dari golongan B40, M40 dan asnaf dan tidak terhad kepada yang beragama Islam sahaja.

Siapakah penerima wakaf myWaqafPTPTN?

Penerima wakaf myWaqafPTPTN adalah :-

  1. Pelajar yang layak pinjaman PTPTN, terdiri daripada golongan B40, M40 (kategori maksimum atau 75%) dan merupakan asnaf/ penerima bantuan yang berdaftar di bawah Majlis Agama Islam Negeri (MAIN); dan
  2. Pelajar yang layak tidak terhad kepada yang beragama Islam sahaja

Syarat permohonan penerima wakaf akan dimaklumkan daripada semasa ke semasa sementara menunggu pengembangan ‘ain waqaf’ yang akan dibuat melalui pelaburan.

Pendidikan Tinggi Untuk Semua