Facebook
X
Telegram
LinkedIn
WhatsApp

Kempen Bayar Konsisten, Hati Senang Istimewa Untuk Peminjam PTPTN

Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sentiasa melaksanakan inisiatif bersepadu dan mempelbagaikan pendekatan mesra pelanggan untuk membantu serta memudahkan peminjam membuat bayaran balik pinjaman. Antaranya ialah mengadakan kempen-kempen yang akan memberi manfaat istimewa kepada peminjam PTPTN.

Pada tahun 2024, PTPTN tampil dengan Kempen Bayar Konsisten, Hati Senang bertujuan untuk menggalakkan peminjam PTPTN melaksanakan bayaran balik pinjaman PTPTN secara konsisten, mudah dan selamat secara potongan gaji dan debit terus (direct debit). Kempen ini terbuka kepada semua peminjam PTPTN dan tempoh kempen mulai 1 Januari 2024 sehingga 31 Mei 2024.

Hadiah yang ditawarkan adalah lumayan berjumlah RM70,000 untuk 62 pemenang melibatkan dua (2) kategori iaitu potongan gaji dan debit terus (direct debit). Hadiah bagi pemenang utama berupa RM5,000 kepada seorang pemenang setiap kategori dan RM1,000 kepada setiap pemenang saguhati untuk 30 orang pemenang setiap kategori. Hadiah diberikan adalah wang tunai berbentuk bayaran balik pinjaman atau Simpan SSPN.

“Kempen Bayar Konsisten, Hati Senang adalah antara platform terbaik untuk menggalakkan lebih ramai peminjam melaksanakan tanggungjawab mereka agar kesinambungan pinjaman PTPTN dapat diteruskan untuk generasi akan datang. Selain itu, melalui kempen ini juga peminjam PTPTN yang memenangi hadiah wang tunai adalah sebagai tambahan kewangan dan secara tidak langsung membantu mereka membayar balik pinjaman atau membuat simpanan. Kerajaan melalui Belanjawan 2024 juga telah bersetuju dengan pemberian insentif diskaun 15 peratus untuk bayaran balik pinjaman PTPTN secara potongan gaji atau debit terus (direct debit) bermula 14 Oktober 2023 hingga 31 Mac 2024. Diharapkan agar para peminjam PTPTN mengambil peluang untuk membuat bayaran balik melalui potongan gaji atau debit terus (direct debit) serta menikmati insentif diskaun yang diberikan oleh kerajaan sekali gus dapat menyertai kempen ini.”Encik Ahmad Dasuki Abdul Majid, Ketua Eksekutif PTPTN.

PTPTN berharap dengan penganjuran kempen dan insentif diskaun yang diberikan akan meningkatkan kesedaran peminjam PTPTN untuk membuat bayaran balik secara konsisten melalui potongan gaji atau debit terus (direct debit). Muat turun myPTPTN untuk mendapatkan notifikasi dan perkhidmatan PTPTN pada bila-bila dan di mana sahaja dengan lebih mudah, cepat dan selamat.

Untuk maklumat lanjut, layari laman web Kempen Bayar Konsisten, Hati Senang.