Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) hari ini melancarkan Kempen Cabutan WOW! Simpan SSPN 2024 yang disempurnakan oleh YBhg. Datuk Norliza Abdul Rahim, Pengerusi PTPTN bertempat di Hotel Royal Chulan, Damansara, Petaling Jaya, Selangor. Turut hadir YBrs. Encik Ahmad Dasuki Abdul Majid, Ketua Eksekutif PTPTN dan Lembaga Pengurusan PTPTN.
PTPTN sebagai agensi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) berperanan dalam memupuk amalan menabung melalui produk Simpan SSPN yang diperkenalkan pada tahun 2004. Pembudayaan amalan menabung merupakan fokus utama PTPTN bagi meningkatkan literasi kewangan dalam kalangan masyarakat Malaysia. PTPTN komited untuk menjadikan Simpan SSPN sebagai produk simpanan pendidikan utama di Malaysia, selaras dengan Teras Pertama Pelan Strategik PTPTN 2021-2025.
Justeru, pelbagai kempen dan promosi terus dipergiatkan bagi menggalakkan amalan penabungan termasuklah mengadakan Kempen Cabutan WOW! Simpan SSPN yang merupakan program signature tahunan PTPTN sejak tahun 2015. Selain itu, penganjuran kempen ini juga adalah sebagai tanda penghargaan PTPTN kepada pendeposit Simpan SSPN kerana memilih Simpan SSPN sebagai pilihan utama untuk simpanan pendidikan anak-anak.
Kempen Cabutan WOW! Simpan SSPN 2024 menawarkan hadiah yang lebih lumayan bernilai lebih RM1.3 juta untuk dimenangi oleh 983 orang pemenang. Tempoh promosi bermula pada 1 Januari 2024 hingga 31 Disember 2024. Cabutan kali ini terdiri daripada Cabutan Tahunan dan lima (5) Cabutan Siri yang diadakan dengan tema-tema tertentu termasuklah perayaan dan sambutan kemerdekaan.
Istimewanya tahun ini buat julung kali Cabutan Siri WOW! Kasih diperkenalkan bagi menghargai insan-insan bermakna dalam kehidupan antaranya sambutan Hari Ibu, Hari Bapa dan Hari Guru. Kategori Cabutan adalah seperti berikut:
KATEGORI | CABUTAN | TEMPOH KEMPEN |
Cabutan Siri | WOW! Gong Xi Ang Pow | 1 Januari 2024 – 29 Februari 2024 |
WOW! Syoknya Raya | 1 Mac 2024 – 30 April 2024 | |
WOW! Kasih | 1 Mei 2024 – 30 Jun 2024 | |
WOW! Merdeka | 1 Julai 2024 – 31 Ogos 2024 | |
WOW! Superheroes | 1 September 2024 – 31 Oktober 2024 | |
Cabutan Tahunan | 1 Januari 2024 – 31 Disember 2024 |
Menariknya Cabutan WOW! Simpan SSPN 2024 kali ini membawa kelainan dengan menampilkan tiga (3) kategori iaitu Silver, Gold dan Platinum dan menawarkan hadiah lumayan seperti berikut:
PEMENANG | HADIAH | JUMLAH PEMENANG |
KATEGORI: PLATINUM | ||
Utama | Kereta Proton X90 Flagship | 1 |
Kedua | Motosikal Yamaha MT09 | 2 |
Ketiga | Tunai bernilai RM30,000 | 3 |
Saguhati | Tunai bernilai RM1,000 | 20 |
KATEGORI: GOLD | ||
Utama | Kereta Proton X50 Flagship | 1 |
Kedua | Motosikal Yamaha XMAX 250cc | 2 |
Ketiga | Tunai bernilai RM20,000 | 3 |
Saguhati | Tunai bernilai RM500 | 20 |
KATEGORI: SILVER | ||
Utama | Kereta Proton S70 Flagship X | 1 |
Kedua | Motosikal Yamaha NVX 155cc | 2 |
Ketiga | Tunai bernilai RM10,000 | 3 |
Saguhati | Tunai bernilai RM300 | 20 |
Untuk menyertai kempen ini pendeposit hanya perlu membuka akaun atau membuat penambahan simpanan dalam tempoh kempen. Setiap simpanan bersih RM50 bagi Simpan SSPN Prime akan mendapat satu (1) cabutan manakala bagi setiap simpanan bersih RM50 bagi Simpan SSPN Plus layak mendapat dua (2) cabutan secara automatik.
“Paling menarik, kempen kali ini turut memberi kelebihan kepada pengguna aplikasi myPTPTN yang akan mendapat bilangan cabutan berganda. Pendeposit Simpan SSPN Prime yang membuat simpanan bersih RM50 melalui myPTPTN atau melalui potongan gaji atau debit terus, akan mendapat lima (5) cabutan. Manakala pendeposit Simpan SSPN Plus yang membuat simpanan bersih RM50 melalui myPTPTN atau melalui potongan gaji atau debit terus, akan mendapat sepuluh (10) cabutan. Besar harapan saya, kempen Cabutan WOW! Simpan SSPN 2024 akan mendapat sambutan yang menggalakkan dan rebutlah peluang memenangi hadiah yang amat lumayan. Simpan lebih, peluang menang pun lebih. Semoga Simpan SSPN sentiasa dekat dalam hati sanubari masyarakat Malaysia dan menjadi pilihan utama sebagai tabung pendidikan yang dapat merealisasikan impian ibu bapa untuk melihat anak-anak berjaya ke puncak menara gading” – Datuk Norliza Abdul Rahim, Pengerusi PTPTN
Pada majlis yang sama, PTPTN turut meraikan pemenang Cabutan WOW! Simpan SSPN 2023 Kategori Cabutan Tahunan yang telah berakhir pada 31 Disember 2023 lalu. Pemenang utama telah menerima wang tunai bernilai RM150,000, tempat kedua RM50,000 dan pemenang tempat ketiga menerima wang tunai bernilai RM10,000. Selain daripada itu, PTPTN berbesar hati menyampaikan hadiah kepada pemenang utama Kempen Cabutan Bulan Menabung Simpan SSPN (BMS) 2023 berupa wang tunai bernilai RM10,000 dan dua orang pemenang saguhati masing-masing menerima RM1,000.
Untuk rekod, sehingga 31 Disember 2023, deposit Simpan SSPN yang diterima adalah berjumlah RM17.39 bilion dengan akaun sebanyak 6.25 juta. Pembukaan akaun dan penambahan deposit Simpan SSPN boleh dibuat melalui aplikasi myPTPTN untuk lebih mudah, cepat dan selamat.
Baca Terma & Syarat dan Soalan Lazim.
Untuk maklumat lanjut, layari laman web Cabutan WOW! Simpan SSPN 2024.