Facebook
X
Telegram
LinkedIn
WhatsApp

PTPTN Umum Dividen Simpan SSPN 3.60 Peratus

Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mengumumkan agihan dividen Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) bagi tahun 2023 adalah sebanyak 3.60 peratus dengan peruntukan berjumlah RM357.65 juta yang akan memberi manfaat kepada 6.25 juta akaun. Ini menjadikan jumlah keseluruhan agihan dividen adalah RM1.69 billion sejak Simpan SSPN diperkenalkan pada tahun 2004.

Dividen ini akan dimasukkan terus ke akaun Simpan SSPN dan pendeposit boleh membuat semakan penyata simpanan masing-masing melalui aplikasi myPTPTN mulai 6 April 2024 (Sabtu).

Pengagihan dividen Simpan SSPN tahun 2023 telah diumumkan oleh YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, Menteri Pendidikan Tinggi di Lobi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) pada hari ini. Turut hadir YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud, Timbalan Menteri KPT, YBhg. Datuk Norliza Abdul Rahim, Pengerusi PTPTN, YBhg. Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini bin Ujang, Ketua Setiausaha KPT, YBrs. Encik Ahmad Dasuki Abdul Majid, Ketua Eksekutif PTPTN, Pengurusan tertinggi KPT serta Pengurusan PTPTN.

KADAR DIVIDEN SIMPAN SSPN TAHUN 2023 MENINGKAT

Pemberian dividen 3.60 peratus bagi tahun 2023 ini adalah lebih tinggi berbanding agihan dividen sebanyak 3.05 peratus pada tahun 2022. Ini sekali gus menunjukkan kecekapan PTPTN dalam pengurusan dana simpanan dengan efektif berlandaskan tadbir urus yang cemerlang, berintegriti dan strategik bagi memastikan pulangan yang optimum diberikan kepada para pelanggan.

Pemberian dividen yang lebih tinggi ini disokong oleh pulangan pelaburan yang positif dengan keuntungan pelaburan deposit bagi tahun 2023 adalah berjumlah RM446.22 juta. Prestasi pelaburan terus meningkat pada tahun 2024 berdasarkan pencapaian suku pertama tahun 2024 yang lebih baik berbanding tempoh yang sama tahun 2023.

Peningkatan pemberian kadar dividen Simpan SSPN adalah bersesuaian dengan peningkatan Kadar Dasar Semalaman (Overnight Policy Rate) Bank Negara Malaysia yang meningkat sebanyak 0.25 peratus pada tahun 2023. Selain itu, kadar dividen ini juga adalah kompetitif kerana lebih tinggi berbanding kadar keuntungan akaun simpanan dan simpanan tetap di bank tempatan di antara 2.05 peratus sehingga 3.45 peratus. Justeru, kadar dividen ini merupakan kadar pulangan yang lebih menguntungkan dan menjadikan Simpan SSPN kekal berdaya saing dan relevan setanding produk-produk lain di pasaran.

SIMPAN SSPN INSTRUMEN SIMPANAN PENDIDIKAN TERBAIK

Pada tahun 2023, deposit Simpan SSPN yang diterima adalah berjumlah RM3.15 bilion dan sebanyak 513,002 akaun baharu direkodkan. Manakala, keseluruhan deposit terkumpul Simpan SSPN yang diterima semenjak tahun 2004 sehingga 31 Disember 2023 adalah berjumlah RM17.39 bilion melibatkan 6.25 juta akaun. Prestasi yang memberangsangkan ini menunjukkan keyakinan dan sokongan para pendeposit Simpan SSPN kekal utuh dan berterusan.

Simpan SSPN merupakan produk terbaik untuk masyarakat Malaysia membuat simpanan bagi tujuan pendidikan tinggi anak-anak. Selain menawarkan kadar dividen yang kompetitif, pelbagai keistimewaan lain yang ditawarkan dan paling menarik, Simpan SSPN merupakan satu-satunya produk simpanan yang memberikan pelepasan taksiran cukai pendapatan ke atas simpanan sehingga RM8,000 setahun. Selain itu, perlindungan takaful ke atas pendeposit, Geran Sepadan percuma sehingga RM10,000, simpanan yang dijamin kerajaan dan patuh syariah.