Bayaran balik pinjaman PTPTN adalah perkara penting yang perlu diketahui oleh semua peminjam PTPTN. Sebagai peminjam, anda perlu memahami bagaimana dan bila anda perlu membuat pembayaran balik pinjaman ini. Di sini, kami kongsikan beberapa perkara wajib yang anda perlu tahu tentang bayaran balik pinjaman PTPTN.
1. Bayar balik pinjaman selepas 12 bulan tamat tempoh pengeluaran pinjaman TANPA perlu menunggu Notis Bayaran Balik
Peminjam boleh membuat bayaran balik selepas tamat tempoh pinjaman. Sebagai contoh, peminjam tamat pinjaman pada bulan November 2023. Oleh itu, peminjam boleh mula membuat bayaran balik pinjaman pada 12 bulan berikutnya, iaitu bulan Disember 2024.
2. Membuat bayaran balik lebih awal
Peminjam digalakkan untuk membuat bayaran balik lebih awal iaitu dalam tempoh 12 bulan (sebelum Jadual Bayaran Balik dijana) kerana peminjam tidak akan dikenakan kos pentadbiran 1% atau dikenali sebagai kos Ujrah.
3. Kos upah (Ujrah)
Peminjam akan dikenakan kos ujrah bermula pada bulan ke-13 secara bulanan dan caj tersebut akan dinyatakan di dalam penyata pinjaman.
4. Tempoh bayaran balik pinjaman
Tempoh bayaran balik pinjaman PTPTN adalah berdasarkan jumlah baki pinjaman yang diterima. Sebagai contoh, sekiranya anda meminjam RM10,000, baki pinjaman termasuk kos Ujrah dan takaful akan dijadualkan sebagaimana termaktub dalam dokumen perjanjian dan tiada kos tersembunyi.
5. Saluran bayaran balik pinjaman PTPTN
Peminjam boleh membuat bayaran balik melalui saluran berikut:
- Kaunter PTPTN
- Secara dalam talian ( online transfer )
- Aplikasi myPTPTN
- Potongan gaji
- Debit terus
- Pengeluaran KWSP
Rujukan penuh, klik di sini
6. Semak penyata pinjaman di aplikasi myPTPTN
Peminjam boleh menyemak penyata pinjaman melalui aplikasi myPTPTN seperti langkah mudah di bawah:
Log masuk aplikasi myPTPTN
- Klik “Semakan Penyata”
- Klik “Penyata Pinjaman”
- Pilih “Penyata Tahunan Pinjaman”
- Muat turun penyata pinjaman
7. Kesan tunggakan bayaran balik
Jika peminjam gagal membuat bayaran balik tepat pada waktunya, kemungkinan besar akan berlakunya tunggakan dalam pinjaman PTPTN. Selain itu, ia juga boleh menyebabkan rekod kredit peminjam terjejas, yang boleh memberi kesan negatif kepada kemampuan peminjam untuk mendapatkan pinjaman atau perkhidmatan kredit pada masa depan.
Segera uruskan bayaran balik pinjaman pendidikan PTPTN anda demi kelestarian generasi akan datang
Sebagai peminjam, pastikan anda memahami semua perkara yang terlibat dalam bayaran balik pinjaman pendidikan ini. Pastikan anda membuat bayaran balik tepat pada waktunya untuk mengelakkan kesan negatif pada rekod kredit anda.
Ketahuilah, tiada istilah “nanti” dalam membuat bayaran balik pinjaman PTPTN sekiranya Jadual Bayaran Balik (JBB) peminjam telah dijana. Oleh itu, disyorkan kepada semua peminjam PTPTN untuk mematuhi JBB dan sekiranya terdapat sebarang permasalahan, peminjam boleh menghubungi PTPTN melalui saluran berikut:
- Careline PTPTN di 03 – 2193 3000 (beroperasi Isnin hingga Jumaat, jam 9.00 pagi hingga 5.00 petang)
- Live Chat di www.ptptn.gov.my
- e-Aduan di https://eaduan.ptptn.gov.my
- Eksekutif Pemasaran PTPTN di https://www.ptptn.gov.my/pejabat-cawangan-ptptn
- Media Sosial Rasmi @PTPTNOfficial