Facebook
X
Telegram
LinkedIn
WhatsApp

Pendeposit Simpan SSPN Terus Nikmati Pelepasan Taksiran Cukai Pendapatan Sehingga Tahun 2024

Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) yang diperkenalkan pada tahun 2004 menawarkan pelbagai keistimewaan dan manfaat kepada pendeposit. Antaranya insentif pelepasan taksiran cukai pendapatan, perlindungan takaful ke atas pendeposit, Geran Sepadan sehingga RM10,000 untuk satu keluarga yang layak, kadar dividen yang kompetitif, simpanan yang dijamin kerajaan dan patuh syariah.

Pada Mac lalu, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri dan Menteri Kewangan telah mengumumkan insentif pelepasan taksiran cukai pendapatan Simpan SSPN dilanjutkan sehingga tahun 2024. Dengan pengumuman tersebut, pendeposit Simpan SSPN akan terus dapat menikmati keistimewaan ini di samping manfaat lain yang disediakan.

Insentif pelepasan taksiran cukai pendapatan ini adalah berdasarkan jumlah simpanan bersih tahun semasa. Ibu bapa sebagai pendeposit yang membuka akaun Simpan SSPN layak mendapat pelepasan taksiran cukai pendapatan ke atas simpanan sehingga RM8,000 setahun setiap seorang sekiranya membuat taksiran cukai secara berasingan.

Pengerusi PTPTN, Datuk Norliza Abdul Rahim berkata, “Pelepasan taksiran cukai pendapatan ke atas simpanan bersih sehingga RM8,000 setahun merupakan insentif yang istimewa kepada pendeposit kerana manfaat tersebut menjadikan Simpan SSPN satu-satunya produk simpanan yang memberikan kelebihan berbeza berbanding simpanan lain.”

“Saya mengucapkan terima kasih dan merakamkan penghargaan kepada pihak kerajaan kerana insentif pelepasan taksiran cukai pendapatan ke atas simpanan melalui Simpan SSPN ini dilanjutkan sehingga tahun 2024. Saya optimis insentif ini akan meningkatkan motivasi serta galakan kepada ibu bapa untuk terus membuat simpanan bagi tujuan pendidikan dan masa depan anak-anak sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada pinjaman PTPTN,” tambah beliau.

“Masyarakat Malaysia perlu mengambil peluang membuat simpanan melalui Simpan SSPN yang menawarkan pelbagai keistimewaan dan manfaat kepada pendeposit. Ibu bapa yang ingin membuka atau membuat penambahan simpanan boleh dilakukan secara dalam talian melalui aplikasi myPTPTN dengan lebih mudah, cepat dan selamat,” jelas beliau lagi.

Sejak Simpan SSPN dilancarkan, sambutan yang diterima amat positif daripada masyarakat Malaysia. Sehingga 31 Mei 2023, jumlah terimaan deposit Simpan SSPN adalah sebanyak RM15.28 bilion melibatkan sebanyak 5.92 juta akaun telah direkodkan.

Info lanjut, KLIK DI SINI