Facebook
X
Telegram
LinkedIn
WhatsApp

Bulan Menabung Simpan SSPN 2021 (BMS 2021)

Bulan Menabung Simpan SSPN atau lebih dikenali sebagai BMS merupakan program signature PTPTN yang diadakan sempena Hari Tabungan Sedunia yang disambut pada 31 Oktober setiap tahun. BMS 2021 membawakan tema baharu iaitu Galaksi dengan mengekalkan tagline Jom Jadi Superhero anak anda. Jom Jadi Superhero ini mengajak ibu bapa agar menjadi hero untuk anak-anak dalam konteks perancangan kewangan melalui penabungan agar anak-anak berjaya melanjutkan pengajian tanpa masalah kewangan.

Majlis Pelancaran BMS 2021 telah diadakan pada hari ini secara maya menerusi Facebook rasmi di PTPTNOfficial dan Youtube rasmi di PTPTNTV. Majlis disempurnakan oleh YBhg. Datuk Wan Saiful Wan Jan, Pengerusi PTPTN dan turut dihadiri oleh Encik Ahmad Dasuki Abdul Majid, Ketua Eksekutif PTPTN yang membuat penampilan istimewa bagi memeriahkan lagi majlis tersebut.

BMS 2021 diadakan sepanjang bulan Oktober iaitu bermula 1 hingga 31 Oktober 2021 dengan pelaksanaan secara maya serta mematuhi SOP norma baharu. BMS 2021 juga membawa kelainan dari tahun sebelum ini dengan adanya pelbagai program dan pertandingan baharu yang menarik untuk disertai oleh ibu bapa dan anak-anak. Program yang diadakan secara langsung melalui media sosial rasmi PTPTN akan menampilkan artis istimewa, panel jemputan dan influencer yang dibawakan khas untuk memeriahkan lagi BMS 2021.

Pelbagai program disediakan untuk disertai oleh ibu bapa dan anak-anak antaranya Bonding Chef Junior, Sembang Santai BMS 2021, Forum Cakna Kewangan, Siri P&T, Detik Indah Bersama Si Manja dan My Parents, My Real Superheroes. Manakala program berbentuk pertandingan pula ialah Fotografi Simpan SSPN, Chef Junior Simpan SSPN, Simpan SSPN Got Talent, Colouring Contest Simpan SSPN, Snap & Win Simpan SSPN, Happy Hour, Quizizz dan Cabaran #SuperheroSiManja. Pejabat PTPTN Negeri juga turut memeriahkan program ini dengan menganjurkan aktiviti-aktiviti di peringkat negeri.

PTPTN juga turut merencana program khas PTPTN Prihatin bagi menyemarakkan lagi BMS 2021 iaitu Jelajah Simpan SSPN 2021. Ia merupakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) melalui sumbangan zakat PTPTN berjumlah lebih RM500,000 dengan kerjasama pusat Zakat Negeri dan agensi kerajaan. Seramai lebih 5,000 penerima daripada golongan asnaf akan menerima sumbangan tunai berbentuk akaun Simpan SSPN Prime. Ia bertujuan memastikan golongan asnaf turut sama menikmati manfaat penabungan melalui Simpan SSPN ini dan memastikan masa depan pendidikan mereka akan lebih terjamin.

Selain itu, PTPTN turut memperkenalkan Tabung Impian dengan tujuh (7) karakter seperti Angkasawan, Bomba, Jurutera, Doktor, Tentera, Hakim dan Juruterbang sebagai salah satu daya tarikan kepada masyarakat terutama bakal pendeposit baharu untuk memulakan penabungan dan pendeposit sedia ada untuk terus mengekalkan komitmen simpanan. Bersesuaian dengan tema BMS 2021, Tabung Impian bagi karakter Angkasawan akan bermula Oktober ini dan selebihnya akan dipromosikan pada setiap bulan dengan jumlah simpanan yang ditetapkan.

Datuk Wan Saiful Wan Jan, Pengerusi PTPTN berkata, “BMS 2021 merupakan salah satu program yang telah dirangka dan dilaksanakan oleh PTPTN bermula tahun 2018 lagi sebagai program promosi dalam usaha menjadikan produk Simpan SSPN sebagai pilihan utama masyarakat untuk membuat penabungan di samping menikmati keistimewaan yang disediakan. Selain itu, program seumpama ini dilihat mampu menyampaikan maklumat dan memberi pendedahan mengenai perancangan kewangan serta memupuk amalan menabung di kalangan ibu bapa dan anak-anak.”

“Hari Tabungan Sedunia atau dikenali juga sebagai World Savings Day membawa objektif utama iaitu menyemai semangat penabungan masyarakat di seluruh dunia. Walaupun dunia dan negara kini masih lagi dilanda pandemik Covid-19, ia bukan suatu alasan untuk kita tidak menyemai semangat menabung. Malah, sewajarnya kita menggunakan perkhidmatan dan kemudahan melalui platform digital selaras dengan pelbagai inisiatif pendigitalan yang semakin mendapat perhatian semasa pandemik ini untuk merangka pelbagai inisiatif penabungan. PTPTN telah menyediakan kemudahan transaksi secara dalam talian termasuk pembukaan akaun Simpan SSPN dan penambahan deposit tanpa perlu hadir ke kaunter. Usaha ini juga bagi menggalakkan penabungan dalam kalangan masyarakat Malaysia. Pembukaan atau penambahan simpanan secara dalam talian adalah lebih cepat, mudah dan selamat dengan melayar www.lovesspn.com.”

“Keutamaan saya ialah agar masyarakat di luar sana berpeluang menikmati pelbagai manfaat untuk tabungan pendidikan sekali gus menjadikan Simpan SSPN sebagai produk simpanan isi rumah. Inilah Peluang Kejayaan Anda.” ujarnya lagi.

Simpan SSPN yang terdiri daripada Simpan SSPN Prime dan Simpan SSPN Plus menawarkan pelbagai keistimewaan kepada masyarakat Malaysia. Simpan SSPN Prime merupakan instrumen simpanan tanpa komitmen bulanan yang memberikan keistimewaan seperti pelepasan taksiran cukai sehingga RM8,000.00, perlindungan takaful secara percuma, dividen yang kompetitif, Geran Sepadan sehingga RM10,000.00 dan simpanan dijamin oleh Kerajaan.

Simpan SSPN Plus pula menawarkan enam (6) pakej yang menarik dan mampu dimiliki. Pelbagai keistimewaan dan manfaat yang lebih menarik akan dinikmati oleh pendeposit antaranya perlindungan manfaat takaful sehingga RM1.2 juta dan perlindungan sehingga umur pendeposit 69 tahun selain menawarkan pelbagai manfaat sedia ada. Selain itu, terdapat Cabutan WOW! Simpan SSPN Plus 2021 yang menawarkan hadiah utama Gold Bar bernilai RM150,000 dan hadiah lain bernilai hampir RM320,000.Untuk maklumat lanjut, layari www.lovesspn.com/BulanMenabungSimpanSSPN2021