Pada 1 Julai 2024, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dengan kerjasama Lembaga Zakat Selangor (LZS) telah memperkenalkan inisiatif baharu untuk memudahkan pendeposit menunaikan zakat simpanan bagi akaun Simpan SSPN.
LZS memainkan peranan penting dalam kutipan dan agihan zakat di Negeri Selangor. Melalui kerjasama ini, PTPTN tidak hanya menyediakan kemudahan pengiraan zakat tetapi juga bertindak sebagai saluran bayaran zakat yang memastikan semua pendeposit yang layak dapat menunaikan kewajipan zakat mereka dengan lebih mudah, cepat dan selamat melalui aplikasi web myPTPTN.
Apa itu Zakat Simpan SSPN?
Zakat Simpan SSPN adalah zakat yang dikenakan ke atas wang simpanan dalam akaun Simpan SSPN Prime dan Simpan SSPN Plus. Zakat ini wajib dibayar oleh pendeposit yang beragama Islam apabila simpanan mereka mencapai syarat haul (tempoh setahun) dan nisab simpanan (jumlah minimum simpanan). Nisab semasa ditetapkan berdasarkan nilai 85-gram emas.
Apakah Syarat-syarat Bayaran Zakat?
Setiap individu yang ingin membayar zakat harus diambil kira syarat yang perlu difahami dan dipenuhi sebelum membuat taksiran. Syarat-syarat tersebut adalah seperti berikut:
a) Islam – Zakat difardukan ke atas pemilik harta yang beragama Islam sahaja. Orang Bukan Islam tidak difardukan untuk membayar zakat, bahkan zakat mereka tidak sah jika ditunaikan kerana zakat mempunyai ciri-ciri ibadat;
b) Pemilikan Sempurna – Milik sempurna bermaksud “Pemilikan seseorang terhadap harta secara sah sepanjang haul dan mempunyai kuasa secara bebas untuk mengurus dan memperoleh manfaat dari harta tersebut tanpa sekatan/ kawalan undang-undang dan peraturan”;
c) Cukup Nisab – Nisab ialah kadar minimum pemilikan sesuatu harta yang mewajibkan zakat ke atas harta itu; dan
d) Cukup Haul – Haul ialah tempoh setahun (12 bulan) qomariah pemilikan kekal harta zakat oleh seseorang selain dari harta zakat biji-bijian, buah-buahan, galian dan harta karun.
Bagaimana Kaedah Kiraan Zakat?
Kiraan cukup haul bagi kiraan zakat Simpan SSPN adalah 12 bulan daripada tarikh pembukaan akaun. Bagi pendeposit yang mempunyai lebih daripada satu akaun Simpan SSPN, zakat simpanan perlu dibayar walaupun hanya satu akaun sahaja telah mencukupi haul. Baki akaun pada akhir haul dan jumlahnya yang melebihi daripada paras nisab (nilai 85-gram emas) wajib dikeluarkan zakat sebanyak 2.5%. PTPTN menyediakan platform dalam aplikasi web myPTPTN untuk membantu pendeposit mengira zakat yang perlu dibayar.
Langkah Bayaran Zakat Simpan SSPN
Pendeposit boleh membuat bayaran zakat melalui aplikasi web myPTPTN. Terdapat kemudahan pengiraan zakat simpanan (kalkulator), pembayaran zakat simpanan dan semakan rekod bayaran zakat simpanan yang disediakan untuk pendeposit.
Inisiatif kemudahan bayaran Zakat Simpan SSPN melalui aplikasi web myPTPTN ini adalah satu langkah positif dalam memudahkan pendeposit untuk memenuhi kewajipan mereka sebagai seorang muslim. Ia juga membuktikan komitmen PTPTN dan LZS dalam menyediakan perkhidmatan yang efisien dan mesra pengguna.
Dengan menggunakan kemudahan ini, kita dapat memastikan zakat disalurkan kepada mereka yang memerlukan serta memperkukuh pengurusan kewangan Islam di negara kita. Jom tunaikan zakat anda melalui Simpan SSPN dan nikmati kemudahan yang disediakan.
Baca Panduan Pengguna Pembayaran Zakat Simpan SSPN.
Baca Soalan Lazim Zakat Simpan SSPN.