Facebook
X
Telegram
LinkedIn
WhatsApp

Bagaimana Bayaran Balik Pinjaman PTPTN atau Tunggakan Pinjaman PTPTN Mempengaruhi CCRIS?

Pinjaman PTPTN merupakan salah satu inisiatif Kerajaan Malaysia untuk membantu pelajar membiayai pendidikan tinggi mereka. Pinjaman ini diberikan kepada pelajar yang layak bagi menampung kos yuran pengajian, perbelanjaan harian dan keperluan lain yang berkaitan dengan pembelajaran. Namun, walaupun pinjaman ini sangat membantu dalam mengurangkan beban kewangan semasa belajar, peminjam perlu sedar akan tanggungjawab besar yang datang bersama pinjaman ini, iaitu membayar balik pinjaman PTPTN.

Isu bayaran balik pinjaman PTPTN sering menjadi topik hangat perbualan dalam kalangan peminjam terutamanya peminjam yang baru sahaja tamat pengajian. Mereka baru ingin memulakan langkah dalam dunia pekerjaan tetapi sering menghadapi cabaran kewangan, menjadikan bayaran balik pinjaman PTPTN sebagai satu beban dan akhirnya tidak membuat bayaran. Dalam situasi ini, peminjam hendaklah bijak menguruskan kewangan mereka agar bayaran balik pinjaman PTPTN dibayar mengikut Jadual Bayaran Balik (JBB) Pinjaman PTPTN yang telah ditetapkan. Kegagalan mematuhi Jadual Bayaran Balik (JBB) Pinjaman PTPTN boleh membawa kepada tunggakan dan seterusnya memberi kesan negatif kepada rekod kredit peminjam pada masa akan datang.

Dalam artikel ini, kita akan mengupas lebih lanjut mengenai bagaimana bayaran balik pinjaman PTPTN atau tunggakan pinjaman PTPTN boleh mempengaruhi rekod kredit atau CCRIS (Central Credit Reference Information System).

Apa Itu CCRIS?

Central Credit Reference Information System atau dikenali sebagai CCRIS adalah sistem yang dikendalikan oleh Bank Negara Malaysia untuk mengumpul maklumat kredit individu dan syarikat. Maklumat ini kemudian digunakan oleh institusi kewangan seperti pihak bank, pihak koperasi dan yang berkaitan untuk menilai kemampuan kredit seseorang sebelum memproses serta meluluskan permohonan pinjaman atau kredit.

Bagaimana Pinjaman PTPTN Disenaraikan dalam CCRIS?

Apabila anda mengambil pinjaman PTPTN, maklumat pinjaman anda akan dihantar ke Bank Negara Malaysia untuk direkodkan ke dalam CCRIS setelah Jadual Bayaran Balik (JBB) Pinjaman PTPTN dijana. Ini termasuk jumlah pinjaman, jumlah tunggakan serta status bayaran balik pinjaman PTPTN.

Maklumat ini akan diperbaharui secara berkala ke pihak CCRIS di mana kebiasaannya dilakukan pada setiap bulan. Jika anda membuat bayaran balik pinjaman PTPTN tepat pada masanya, ia akan memberi kesan positif kepada rekod kredit anda. Jika pinjaman anda terdapat tunggakan, anda perlu sedar bahawa situasi tersebut boleh menjejaskan skor kredit anda.

Kelebihan Membayar Balik Pinjaman PTPTN Secara Konsisten & Mengikut Jadual Bayaran Balik (JBB) Pinjaman PTPTN

1. Skor kredit yang baik

Membayar balik pinjaman PTPTN tepat pada masanya menunjukkan anda adalah seorang peminjam yang bertanggungjawab dan komited, melalui rekod kredit yang baik. Ini akan meningkatkan rekod kredit dan memudahkan anda untuk mendapatkan pinjaman lain di masa depan, sebagai contoh:

  • Pinjaman perumahan
  • Pinjaman kenderaan
  • Pinjaman peribadi
  • Permohonan kad kredit

 

2. Dapat mengelakkan berlakunya tunggakan dalam penyata pinjaman PTPTN

Dengan membayar balik pinjaman PTPTN mengikut jadual yang ditetapkan, anda dapat mengelak tunggakan di dalam penyata pinjaman.

3. Berpeluang sertai kempen bayaran balik pinjaman PTPTN

PTPTN sering mengadakan kempen serta menawarkan pelbagai ganjaran atau hadiah hebat kepada peminjam yang membuat bayaran balik pinjaman PTPTN secara konsisten.

Kesan Mempunyai Tunggakan Bayaran Balik Pinjaman PTPTN

1. Skor kredit terjejas

Tunggakan bayaran balik pinjaman PTPTN akan dilaporkan ke dalam CCRIS, di mana ianya dapat menjejaskan skor kredit anda. Hal ini akan memberi kesan kepada anda untuk mendapatkan pinjaman atau kredit pada masa depan.

2. Langkah terakhir bagi peminjam yang belum bayar balik pinjaman PTPTN

Sekiranya peminjam masih tidak membuat bayaran balik pinjaman PTPTN, terdapat beberapa langkah akan diambil seperti menghantar Surat Peringatan,mengeluarkan Notis Tuntutan (NOD) dan/atau dikenakan tindakan penguatkuasaan tanpa prejudis.

Tindakan ini dilakukan bagi memastikan peminjam bertanggungjawab untuk membuat bayaran balik pinjaman PTPTN demi kelestarian dana pendidikan untuk generasi akan datang.

PTPTN amat berharap agar peminjam sentiasa peka, cakna dan memandang serius akan bayaran balik pinjaman PTPTN mereka bagi mengelakkan sebarang tindakan penguatkuasaan akibat kegagalan membayar balik pinjaman PTPTN sebagaimana yang termaktub dalam perjanjian.

Mencegah lebih baik dari merawat

Jom kemas kini rekod rekod kewangan anda dengan berunding bersama kami. #PTPTNSediaBantu anda.

Kesimpulan

Bayaran balik pinjaman PTPTN atau tunggakan pinjaman PTPTN mempunyai impak yang signifikan dan saling berkait rapat terhadap rekod kredit dan maklumat CCRIS anda. Dengan memahami kesan-kesan ini, diharapkan anda dapat membuat keputusan yang bijak dalam menguruskan kewangan pada masa depan. Sentiasa pastikan anda membuat bayaran balik pinjaman PTPTN tepat pada masanya agar rekod kredit anda dalam keadaan terbaik.

Info lanjut
 

Sekiranya anda mempunyai sebarang kemusykilan, sila hubungi Careline PTPTN di 03–21933000 atau ikuti media sosial rasmi @PTPTNOfficial untuk maklumat lanjut.

Semoga artikel ini dapat memberi kebaikan kepada anda.