Facebook
Twitter
Telegram
LinkedIn
WhatsApp

Aplikasi myPTPTN Mudahkan Pelanggan

Kuala Lumpur: Mudah, cepat dan selamat. Itu manfaat yang diperoleh pelanggan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) apabila tidak perlu lagi hadir secara fizikal ke pejabat untuk melakukan sebarang urusan.

Seiring ledakan teknologi dan dunia tanpa sempadan di samping penggunaan peranti yang semakin rancak, aplikasi mudah alih dikenali sebagai myPTPTN yang dilancarkan secara rasmi pada 29 Mac lalu memberi kemudahan teknologi digital secara menyeluruh kepada pelanggan PTPTN.

Di tengah-tengah penularan pandemik COVID-19 ketika ini yang belum reda, kewujudan aplikasi berkenaan turut memanfaatkan pelanggannya apabila mereka tidak perlu lagi bergegas, beratur dan berkumpul di pejabat PTPTN secara fizikal.

Dengan ada aplikasi myPTPTN, urusan lebih mudah apabila pelanggan cuma perlu memuat turun aplikasi berkenaan di App Store, Play Store serta Huawei AppGallery dan segalanya boleh diakses di hujung jari.

Pengenalan aplikasi myPTPTN selari dengan Teras Ke-5 Pelan Strategik PTPTN 2021-2025 iaitu memperkasakan organisasi ke arah lebih dinamik dan cemerlang melalui pendigitalan bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kepada pelanggan tidak terjejas serta sentiasa pada tahap terbaik.

Pelancaran mobile app PTPTN juga cerminan manifestasi PTPTN dalam menjayakan agenda pendigitalan negara dan adalah kemuncak sempena meraikan Sambutan Jubli Perak 25 Tahun PTPTN pada tahun ini.

Dengan adanya myPTPTN, ia dapat mengintegrasikan semua kemudahan dalam satu sistem, sekali gus memanfaatkan lebih 3.63 juta peminjam dan 5.28 juta pendeposit Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN).

Manfaat aplikasi itu jelas menawarkan pelbagai kelebihan kepada pelanggan. Kini, pelanggan dapat menikmati pelbagai kemudahan PTPTN dalam satu aplikasi secara Single Sign On (SSO).

Kemudahan disediakan dalam aplikasi myPTPTN merangkumi semakan penyata pinjaman, bayaran balik pinjaman, semakan penyata Simpan SSPN, pembukaan akaun dan penambahan deposit Simpan SSPN serta permohonan potongan gaji dan debit terus bagi bayaran balik pinjaman serta Simpan SSPN.

Bukan itu sahaja, myPTPTN juga menyalurkan sebarang maklumat atau pemberitahuan kepada pelanggan dengan kadar lebih cepat melalui push notification di inbox yang terdapat dalam aplikasi berkenaan.

Antaranya mencakupi makluman tawaran Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP), makluman kelulusan pinjaman dan makluman tarikh bayaran pinjaman dikreditkan ke dalam akaun bank. Ia sangat berguna kepada pelajar.

Memuji pendekatan diambil PTPTN, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, berkata langkah itu sememangnya sangat tepat dengan aspirasi kerajaan.

Katanya, perkhidmatan dalam talian yang dikenali sebagai end to end (E2E) bakal menambah baik di samping meningkatkan kecekapan serta keberkesanan penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat.

“Jika sebelum ini pelanggan perlu masuk di portal yang berbeza untuk mendapatkan perkhidmatan PTPTN, kini pelanggan dapat menikmati pelbagai kemudahan PTPTN berkaitan bayaran balik, simpanan dan pinjaman dalam satu aplikasi secara Single Sign On (SSO).

“Inilah kecanggihan teknologi dalam aplikasi mudah alih PTPTN yang dikenali sebagai myPTPTN,” katanya. Dalam memastikan keselamatan pengguna terjamin apabila menggunakan myPTPTN, Noraini menjelaskan aplikasi itu dilengkapi dengan teknologi keselamatan tinggi.

Justeru, katanya setiap pengguna memerlukan pengesahan identiti secara elektronik sebelum membuat sebarang urus niaga termasuk pengesahan melalui e-mel dan nombor telefon semasa pendaftaran.

Ia termasuk transaksi disahkan dengan menggunakan Kod Kebenaran Transaksi (TAC).

“Oleh itu, pengguna tidak perlu bimbang untuk menggunakan kemudahan dalam myPTPTN. Segala transaksi adalah mudah, selamat dan terjamin,” katanya yang turut melancarkan aplikasi mudah alih myPTPTN.

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Datuk Seri Abdul Razak Jaafar dan Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid.

Sementara itu, Ahmad Dasuki dalam ucapannya berkata, sebagai strategi mempromosikan aplikasi myPTPTN, kempen khusus dilancar bagi menarik lebih ramai pengguna.

Bagi menarik lebih ramai menggunakan aplikasi itu, PTPTN menganjurkan Kempen myPTPTN, Klik-klik je!, dengan hadiah keseluruhan berjumlah RM250,000.

Ia terbuka kepada semua pengguna aplikasi mudah alih itu yang menggunakan perkhidmatan disediakan sepanjang tempoh kempen bermula 29 Mac sehingga 15 Jun depan.

Selain meningkatkan pengguna myPTPTN, beliau berkata kempen ini juga adalah sebagai tanda penghargaan PTPTN kepada peminjam dan pendeposit setia Simpan SSPN sempena Sambutan Jubli Perak 25 Tahun PTPTN.

“Saya juga optimis myPTPTN akan menjadi platform terbaik yang akan mendekatkan generasi muda dengan PTPTN kerana golongan belia adalah generasi yang cenderung dalam penguasaan teknologi dan sentiasa peka dengan kemudahan digital yang akan memberi manfaat kepada mereka,” katanya.

Berkongsi pengalaman menggunakan aplikasi myPTPTN, pelajar Universiti Malaya (UM), Danish Shahmi, 23, berkata myPTPTN adalah aplikasi yang sangat bagus dan futuristik kerana segala urusan membabitkan pembiayaan PTPTN boleh dilakukan dengan cepat, mudah dan selamat menerusi telefon pintar.

“Biasanya saya akan melakukan urusan PTPTN secara fizikal di pejabat mereka. Tetapi dengan adanya aplikasi myPTPTN ia menyenangkan urusan saya,” katanya.

Maklumat lanjut, KLIK DI SINI.

Terma & Syarat Kempen, KLIK DI SINI.

Soalan Lazim Kempen, KLIK DI SINI.

Sumber : https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2022/04/941120/aplikasi-myptptn-mudahkan-pelanggan