Facebook
X
Telegram
LinkedIn
WhatsApp

PTPTN Lancar Logo Sambutan Jubli Perak 25 Tahun

Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) akan menyambut Jubli Perak 25 Tahun penubuhannya pada tahun 2022. Untuk itu, PTPTN telah melancarkan Logo Sambutan Jubli Perak 25 Tahun PTPTN hari ini yang disempurnakan oleh Datuk Wan Saiful Wan Jan, Pengerusi PTPTN di Menara PTPTN dan disiarkan secara langsung di Facebook PTPTNOfficial dan Youtube PTPTN TV. Turut hadir Ketua Eksekutif PTPTN, Encik Ahmad Dasuki Abdul Majid serta pengurusan tertinggi PTPTN.

Logo Sambutan Jubli Perak 25 Tahun PTPTN bertemakan ‘Peluang Kejayaan Anda’ mengetengahkan angka 25 melambangkan 25 tahun penubuhan PTPTN sebagai sebuah agensi di bawah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang menyediakan kemudahan pembiayaan pinjaman dan deposit simpanan bagi tujuan pendidikan tinggi

Reka bentuk siluet mortar board pula mencerminkan kejayaan PTPTN dalam membantu pelajar di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) menamatkan pengajian dan membuka peluang kejayaan kepada mereka. Logo PTPTN yang melintasi angka lima (5) dan bulatan melambangkan PTPTN selaku tabung pendidikan utama negara yang membantu pelajar mendapatkan akses pendidikan tinggi tanpa bebanan kewangan

Manakala, bentuk bulatan dengan anak panah menuju kepada mortar board melambangkan PTPTN yang terus komited membantu pelajar di IPT mendapatkan segulung ijazah. Warna perak menjadi simbolik kepada 25 tahun kecemerlangan PTPTN dalam membantu pelajar melanjutkan pengajian ke IPT dan seterusnya dapat menyumbang bakti tenaga kepada agama, bangsa dan negara. Penggunaan warna biru dan kuning pula adalah selari dengan warna korporat PTPTN.

Logo tersebut dihasilkan melalui pertandingan Reka Cipta Logo Sambutan Jubli Perak 25 Tahun PTPTN (1997 – 2022) yang diadakan pada 10 Januari 2022 hingga 3 Februari 2022 dan terbuka kepada semua warganegara Malaysia. Pertandingan ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan terutama penyertaan daripada pelajar-pelajar IPT. Dalam majlis sama, turut diadakan penyampaian hadiah kepada pemenang utama pertandingan iaitu Encik Muhammad Bakhtiar Bin Baharuddin dari Baling, Kedah yang membawa pulang ganjaran tunai berjumlah RM2,500. Beliau merupakan pelajar yang sedang mengikuti pengajian di Universiti Putra Malaysia (UPM) dalam jurusan Bacelor Sains Biologi Sel Dan Molekul Dengan Kepujian.

Bagi pemenang saguhati pula, masing-masing membawa pulang ganjaran tunai bernilai RM250.00. Berikut adalah senarai pemenang:

Hadiah Pemenang

Utama : RM2,500.00 x 1

Saguhati : RM250.00 x 5

Bagi menyemarakkan lagi sambutan Jubli Perak 25 Tahun PTPTN, pelbagai program telah dirangka antaranya Pertandingan Reka Cipta Logo Sambutan Jubli Perak 25 Tahun PTPTN, Kempen Cabutan WOW! Simpan SSPN 25 Tahun PTPTN, Kempen Bulan Menabung Simpan SSPN (BMS) 25 Tahun dan kemuncak sambutan iaitu Majlis Sambutan Jubli Perak 25 Tahun PTPTN.

Pengerusi PTPTN, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, “Pelbagai cabaran dan rintangan yang tempuhi oleh warga PTPTN selama 25 tahun menabur bakti demi untuk melihat kejayaan anak-anak bangsa ke menara gading. Kini 25 tahun telah berlalu, atas usaha dan semangat iltizam yang digalas oleh seluruh warga PTPTN, PTPTN bakal menyambut Jubli Perak 25 tahun pada tahun 2022 ini. Sambutan ini sebagai tanda penghargaan dan terima kasih PTPTN kepada semua pihak yang telah bersama-sama berganding bahu demi melestarikan aspirasi kecemerlangan PTPTN.”

“Peranan PTPTN dalam membantu para pelajar bagi tujuan pendidikan tinggi amat penting dan menjadi tunggak kejayaan kepada pembangunan modal insan negara. PTPTN juga sentiasa komited untuk memastikan ibu bapa mempunyai perancangan kewangan untuk anak-anak dengan memperkenalkan Simpan SSPN. Langkah PTPTN diteruskan melalui Pelan Strategik PTPTN 2021-2025. PTPTN terus meneroka pelbagai pendekatan baharu untuk meningkatkan mutu perkhidmatan kepada para pelanggan agar selaras dengan objektif pendidikan tinggi negara. PTPTN juga tekad memberi peluang kejayaan kepada lebih ramai pelajar selaras dengan moto PTPTN iaitu ‘Peluang Kejayaan Anda,” jelas Datuk Wan Saiful.

“Besarlah harapan saya agar PTPTN terus menyumbang bakti dan meneruskan legasi kecemerlangan dan sentiasa mengekalkan citra-citra kecemerlangan PTPTN. Para pelanggan PTPTN juga diharap sentiasa menyokong PTPTN sebagai tabung pendidikan tinggi utama negara dan menyertai program-program sempena 25 Tahun PTPTN yang telah dirancang sepanjang tahun ini,” tambah Datuk Wan Saiful lagi.

PTPTN telah ditubuhkan di bawah Akta Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional 1997 (Akta 566) yang mula berkuat kuasa pada 1 Julai 1997. PTPTN mula beroperasi pada 1 November 1997 di Bangunan Wisma Chase Perdana, Off Jalan Semantan, Damansara Heights, Kuala Lumpur. Kini setelah 25 tahun, PTPTN beroperasi di ibu pejabat, Menara PTPTN, Jalan Yap Kwang Seng, Kuala Lumpur dan mempunyai 64 cawangan di seluruh negara.