Facebook
X
Telegram
LinkedIn
WhatsApp
Sebab Pendaftaran Pengesahan eKYC Aplikasi myPTPTN Gagal

7 Sebab Pendaftaran Pengesahan eKYC Aplikasi myPTPTN Gagal

Untuk mendaftar sebagai pengguna di aplikasi myPTPTN, anda perlu melakukan proses pengesahan eKYC (Electronic Know Your Customer) yang merupakan proses pengesahan identiti secara elektronik di aplikasi. Proses ini penting dilakukan untuk memastikan transaksi digital yang dilakukan adalah selamat.

Namun, terdapat beberapa faktor yang menyebabkan anda gagal membuat pendaftaran pengesahan eKYC melalui aplikasi myPTPTN.

Berikut adalah tujuh (7) faktor umum yang sering dihadapi oleh pengguna:

1. Kad pengenalan tidak asli, terkopek atau lusuh

Pengguna hendaklah menggunakan kad pengenalan yang original dan pastikan kad pengenalan tersebut tidak terkopek di mana-mana permukaaan kad atau kelihatan lusuh akibat perubahan warna. Salinan fotokopi/ digital/ dilapik dengan plastik tidak diterima.

2. Tidak membenarkan capaian kamera

Pengguna hendaklah membenarkan capaian kamera bagi tujuan pengesahan akaun dengan menekan butang “Allow” pada paparan pop-up. Sekiranya tiada paparan pop-up tersebut, anda perlu membuat tetapan/ setting di telefon bimbit untuk kebenaran akses tersebut.

3. Gambar kad pengenalan tidak jelas

Kad pengenalan kelihatan kabur atau gambar anda terlindung dengan objek dan sebagainya. Anda perlu pastikan kad pengenalan berada dalam keadaan fokus (tidak terkeluar dan berada dalam bingkai dengan elok) supaya semua maklumat yang tertera pada kad pengenalan adalah jelas.

4. Gambar kad pengenalan tidak sama dengan wajah terkini

Perubahan pada wajah anda yang terkini tidak sama dengan gambar di kad pengenalan mungkin atas faktor usia atau perubahan penampilan pada wajah anda. Oleh itu, pastikan gambar pada kad pengenalan adalah sama.

5. Wajah tidak berada dalam lingkungan yang diberikan

Anda perlu pastikan wajah anda berada dalam lingkungan kawasan yang aktif dan berada dalam suasana terang semasa menangkap gambar swafoto.

6. Pastikan imbas kad pengenalan sama seperti yang didaftarkan

Sila pastikan anda menggunakan kad pengenalan yang betul dan sama seperti yang didaftarkan semasa membuat pengesahan eKYC.

7. Menangkap gambar swafoto dalam suasana gelap

Pastikan anda menangkap gambar swafoto dalam suasana yang terang, tidak dihalang oleh kilauan cahaya atau jari anda atau tingkatkan pencahayaan pada telefon bimbit untuk mendapatkan kualiti gambar yang terbaik.

Sekiranya anda menghadapi sebarang pertanyaan, mohon hadir ke Pejabat Cawangan PTPTN berdekatan atau hubungi kami di 03 – 2193 3000 untuk mendapatkan bantuan.