Tahniah kepada pelajar yang berjaya mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan SPM. Walau apa jua keputusan yang anda perolehi, ingatlah bahawa ia adalah hasil titik peluh dan usaha gigih anda selama ini. Jadikan ia sebagai pembakar semangat untuk terus melangkah maju ke hadapan.
Apakah perancangan anda selepas ini?
Berdasarkan keputusan yang diterima, sudah semestinya ingin mencapai impian untuk ke menara gading, bukan?
PTPTN sentiasa berusaha membantu dan menjaga kebajikan pelajar yang ingin melanjutkan pelajaran. Oleh itu, Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) diperuntukkan bagi menampung persediaan pelajar sebelum mendaftar di Universiti Awam dan Politeknik. Jom baca lebih lanjut artikel ini mengenai WPP.
Apa itu Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP)?
Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) PTPTN merupakan dana yang berjumlah RM1,500 diberikan kepada pelajar yang layak sebelum mereka mendaftar di Universiti Awam atau Politeknik. Dana ini bertujuan untuk membantu pelajar menangani kos persediaan pengajian seperti yuran pendaftaran, pembelian buku atau keperluan asas lain sebelum pengajian serta meringankan beban ibu bapa untuk membiayai kos kemasukan anak-anak ke Universiti Awam atau Politeknik.

Kandungan
- Syarat Kelayakan Permohonan Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP)
- Bagaimanakah Kaedah Permohonan Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP)?
- Cara Menyemak Kelayakan Terima Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP)
- Manfaat Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP)
- Kaedah Penunaian Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP)
- Pemindahan Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) Ke Akaun Bank Lain
- Situasi Yang Tidak Dibenarkan
Syarat Kelayakan Memohon Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP)
Pelajar yang ingin memohon Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) harus memenuhi syarat-syarat berikut:
- Pelajar telah membuat persetujuan menerima Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) melalui sistem UPU atau berdasarkan pengesahan data daripada Universiti Awam atau Politeknik.
- Pelajar adalah Warganegara Malaysia.
- Ibu bapa/ Penjaga/ Pelajar adalah Penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR).
- Pelajar ditawarkan pengajian bagi peringkat pengajian Diploma atau Ijazah Sarjana Muda Sepenuh Masa di Universiti Awam dan Politeknik sahaja.
- Pelajar tidak mempunyai hutang WPP.
Mulai Januari 2021, tawaran WPP diperluaskan kepada pelajar B40 program diploma sepenuh masa bagi jurusan sains dan sastera di IPTS yang bersetuju menerima tawaran WPP. Pelajar dikehendaki memohon WPP ketika memohon pada kelompok pertama permohonan pinjaman.
Syarat kelayakan memohon bagi pelajar IPTS adalah seperti berikut:
- Pelajar adalah Warganegara Malaysia.
- Ibu bapa/ Penjaga/ Pelajar adalah Penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR).
- Pelajar ditawarkan pengajian bagi peringkat pengajian Diploma Sepenuh Masa Jurusan Sains dan Sastera di IPTS yang bersetuju menerima tawaran WPP.
- Pelajar tidak mempunyai hutang WPP.
- IPTS bersetuju menerima tawaran WPP.
Bagaimanakah Kaedah Permohonan Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP)?
Permohonan Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) boleh dilakukan ketika pelajar membuat permohonan kemasukan ke Universiti Awam atau Politeknik di Portal UPU atau berdasarkan pengesahan data daripada Universiti Awam atau Politeknik.
Bagi pelajar IPTS, pelajar dikehendaki memohon WPP ketika memohon pada kelompok pertama permohonan pinjaman.

Cara Menyemak Kelayakan Terima Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP)
Semakan status kelayakan terima Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) boleh dilakukan melalui myPTPTN.
Manfaat Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP)
Manfaat Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) adalah menyediakan bantuan awal untuk pelajar yang mungkin menghadapi kesukaran dalam membiayai persediaan dari segi kewangan untuk memulakan kehidupan di Universiti Awam atau Politeknik atau ke IPTS. Ini termasuklah:
- Mengurangkan beban kewangan keluarga
Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) membantu mengurangkan tekanan kewangan yang dihadapi oleh keluarga pelajar, membolehkan mereka menumpukan perhatian kepada aspek akademik.
- Memudahkan menyesuaikan diri di Universiti Awam/ Politeknik/ IPTS
Dengan adanya bantuan awal, pelajar lebih mudah menyesuaikan diri dengan kehidupan dan pembelajaran dunia baharu di Universiti Awam atau Politeknik atau IPTS tanpa perlu risau tentang masalah kewangan.
- Mengelakkan tekanan dari segi emosi
Dana ini boleh digunakan untuk pembelian buku rujukan, bahan pengajian atau keperluan asas lain yang diperlukan untuk memulakan pengajian semasa semester pertama.
Kaedah Penunaian Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP)
Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) boleh ditunaikan oleh pelajar di mana-mana kaunter Bank Islam dengan membawa dokumen berikut:
- Surat tawaran Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) yang dicetak daripada myPTPTN.
- MyKad pelajar (Wakil adalah tidak dibenarkan).
Pemindahan Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) Ke Akaun Bank Lain
Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) boleh dipindahkan ke akaun bank lain dengan syarat pelajar perlu menunaikan Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) di kaunter Bank Islam terlebih dahulu kemudian pelajar boleh membuat simpanan di akaun bank lain.
Situasi Yang Tidak Dibenarkan
Pelajar tidak dibenarkan untuk menunaikan Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) sekiranya:
- Pelajar tidak meneruskan pengajian di IPT yang ditawarkan.
- Pelajar tidak meneruskan pengajian di dalam kursus yang ditawarkan.
Sekiranya Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) telah ditunaikan tetapi pelajar tidak memohon/diluluskan pinjaman Pendidikan PTPTN, pelajar dikehendaki membayar balik amaun tersebut dalam tempoh lapan (8) bulan daripada tarikh tamat waran.
Ta’widh* sebanyak 1% setahun akan dikenakan ke atas baki yang belum dijelaskan mulai bulan ke 9 dari tarikh tamat waran.
*Nota: Ta’widh (ganti rugi) boleh dikenakan bagi kelewatan pembayaran obligasi kewangan hasil daripada akad-akad pertukaran (seperti jual beli dan sewa beli) dan qard (hutang).
Sumber: Bank Negara Malaysia

Kesimpulan
Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) dari PTPTN adalah bantuan kewangan yang sangat berharga bagi pelajar yang memerlukan. Dengan adanya kemudahan ini, para pelajar dinasihatkan agar tidak menyalahgunakan wang ini dan memastikan ia digunakan dengan bijak untuk keperluan pendidikan.
Gunakanlah wang ini untuk tujuan yang betul berkaitan dengan pengajian anda. Ingatlah, tanggungjawab dalam menguruskan wang ini akan membantu meringankan beban kewangan anda pada masa depan.
Info lanjut
Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan, sila hubungi Careline PTPTN di 03–21933000 atau ikuti media sosial rasmi @PTPTNOfficial untuk maklumat lanjut.
Semoga artikel ini dapat menambahkan pengetahuan anda.