Facebook
X
Telegram
LinkedIn
WhatsApp

PTPTN Umum Dividen Simpan SSPN 4.05 Peratus Tertinggi Dalam Tempoh 10 Tahun

Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mengumumkan agihan dividen Skim Simpan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) bagi tahun 2024 sebanyak 4.05 peratus yang merupakan tertinggi dalam tempoh 10 tahun dan pelancaran Kempen Ganjaran Kesetiaan Simpan SSPN Prime sebanyak 1 peratus.

Pengagihan dividen Simpan SSPN tahun 2024 dan Kempen Ganjaran Kesetiaan Simpan SSPN Prime tahun 2025 telah diumumkan oleh YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, Menteri Pendidikan Tinggi di Lobi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) pada hari ini. Turut hadir YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud, Timbalan Menteri KPT, YBhg. Dato’ Seri Norliza Abdul Rahim, Pengerusi PTPTN, YBrs. Encik Ahmad Dasuki Abdul Majid, Ketua Eksekutif PTPTN, Pengurusan Tertinggi KPT dan PTPTN.

KADAR DIVIDEN MENINGKAT, PULANGAN LEBIH KOMPETITIF

Pemberian dividen Simpan SSPN sebanyak 4.05 peratus akan memberi manfaat kepada 6.77 juta akaun pendeposit Simpan SSPN melibatkan peruntukkan berjumlah RM439.87 juta. Ini menjadikan keseluruhan agihan dividen berjumlah RM2.12 bilion sejak Simpan SSPN diperkenalkan pada tahun 2004.

Agihan dividen ini akan dimasukkan terus ke akaun Simpan SSPN dan pendeposit boleh membuat semakan penyata simpanan masing-masing melalui aplikasi myPTPTN mulai 2 Mei 2025 (Jumaat).

Pemberian dividen pada kadar 4.05 peratus ini adalah lebih tinggi berbanding agihan dividen sebanyak 3.60 peratus bagi tahun 2023. Kadar dividen ini juga merupakan kadar yang tertinggi dalam tempoh 10 tahun terakhir. Peningkatan kadar dividen ini sekali gus menunjukkan kecekapan PTPTN yang diterajui oleh YBhg. Dato’ Seri Norliza Abdul Rahim, Pengerusi PTPTN bersama Ahli Lembaga Pengurusan dan Pengurusan PTPTN dalam pengurusan dana simpanan dengan efektif berlandaskan tadbir urus yang cemerlang, berintegriti dan strategik bagi memastikan pulangan yang optimum dapat diberikan kepada para pelanggan.

Peningkatan ini disokong oleh strategi pelaburan patuh syariah berjangka pendek dan panjang di pasaran wang tempatan yang melindungi prinsipal, di samping memberikan pulangan yang tinggi dan positif. Strategi pengurusan risiko yang berkesan serta pemilihan portfolio pelaburan yang strategik dalam simpanan tetap jangka panjang dan sukuk telah berjaya meningkatkan pulangan pelaburan. Pemberian dividen Simpan SSPN pada kadar 4.05 peratus ini juga menunjukkan pulangan bersih pelaburan yang positif jika dibandingkan dengan Kadar Dasar Semalaman (Overnight Policy Rate, OPR) yang ditetapkan oleh Bank Negara yang kekal pada kadar 3.0 peratus sepanjang tahun 2024.

PENCAPAIAN SIMPAN SSPN 2024 MEMBANGGAKAN

Pada tahun 2024, jumlah deposit Simpan SSPN yang diterima adalah sebanyak RM3.17 bilion. Jumlah ini menunjukkan peningkatan sebanyak RM24.37 juta atau 0.77% berbanding pencapaian tahun 2023 iaitu sebanyak RM3.15 bilion. Selain itu, lebih 500 ribu pembukaan akaun baharu juga telah direkodkan pada tahun lalu. Prestasi keseluruhan deposit terkumpul yang diterima sehingga 31 Disember 2024 adalah berjumlah RM20.56 bilion melibatkan 6.77 juta akaun. Ini merupakan pencapaian yang membanggakan dan bukti sokongan pendeposit Simpan SSPN terus kekal utuh.

PELANCARAN KEMPEN GANJARAN KESETIAAN SIMPAN SSPN PRIME 2025

Dalam majlis yang sama, PTPTN turut melancarkan Kempen Ganjaran Kesetiaan Simpan SSPN Prime 2025 pada kadar 1 peratus. Ganjaran Kesetiaan ini diberikan sebagai penghargaan khas kepada pendeposit Simpan SSPN Prime yang menyimpan dalam jangka masa panjang dan sebagai ganjaran tambahan selain dividen tahunan. Tahun ini merupakan tahun keenam (6) kempen ini dilaksanakan semenjak diperkenalkan pada tahun 2019.

Ganjaran Kesetiaan ini akan dinikmati oleh pendeposit Simpan SSPN Prime yang membuat simpanan minimum RM1,000 dalam tempoh promosi, bermula dari 1 Mei 2025 hingga 31 Julai 2025. Kempen ini layak kepada pendeposit yang membuka akaun Simpan SSPN Prime pada tahun 2004 sehingga 31 Disember 2021.

Untuk maklumat lanjut, layari laman web Ganjaran Kesetiaan 2025.