Facebook
Twitter
Telegram
LinkedIn
WhatsApp

Kempen Click, Pay & Earn

Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) telah melancarkan saluran baharu bagi bayaran balik pinjaman PTPTN dan penabungan dalam Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) secara dalam talian (online). Empat (4) saluran tersebut ialah Shopee, kiplePay, BESTPay dan KelantanPAY hasil kerjasama strategik PTPTN dengan penyedia saluran terlibat.

Menerusi kolaborasi ini, kemudahan saluran bayaran online ini adalah bertepatan dengan gaya hidup norma baharu yang menggalakkan masyarakat menggunakan teknologi di hujung jari dalam usaha mengurangkan rantaian Covid-19. Pelancaran saluran ini telah disempurnakan oleh YBrs. Encik Ahmad Dasuki Abdul Majid, Ketua Eksekutif PTPTN di Facebook PTPTNOfficial.

Encik Ahmad Dasuki Abdul Majid berkata, “Dalam situasi pandemik Covid-19 yang melanda negara ketika ini, kaedah bayaran secara online adalah alternatif terbaik bagi membantu masyarakat menunaikan tanggungjawab mereka sebagai peminjam dan dapat menyimpan dalam SSPN secara konsisten tanpa perlu keluar rumah untuk ke kaunter PTPTN. Pendekatan bayaran secara online ini juga adalah sebahagian usaha ke arah pendigitalan PTPTN secara menyeluruh bagi penyampaian perkhidmatan dalam talian berbentuk hujung ke hujung (End to End).”

Sempena pelancaran saluran bayaran ini, PTPTN dengan kerjasama Shopee, kiplePay, BESTPay dan KelantanPAY turut menganjurkan Kempen ‘Click, Pay & Earn’ istimewa kepada semua pelanggan PTPTN. Dengan konsep “siapa cepat dia dapat”, pengguna terawal yang menggunakan saluran ini berpeluang mendapat pulangan menarik yang ditawarkan. Tempoh kempen ini bermula hari ini 25 Mei 2021 hingga 24 Jun 2021.

Menurut Alain Yee, Ketua ShopeePay Malaysia, “Kerjasama ini selaras dengan pelan Malaysia untuk mempercepatkan proses digitalisasi termasuk dalam bidang pembayaran. Kami juga telah mengaktifkan beberapa pilihan kaedah pembayaran bagi PTPTN seperti perbankan atas talian, kad kredit dan debit serta dompet mudah alih kami sendiri.” “Dengan menjalinkan kolaborasi bersama PTPTN untuk kempen ini dan dengan menawarkan insentif dalam jaringan dunia e-dompet, kami dapat mewujudkan ekosistem digital yang lebih luas buat para pengguna dalam era digital ini untuk menjadikan Malaysia sebuah negara digital” ujar Rickey Lew, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif kiplePay.

Bagi Razwan Ikmal Rosli, Ketua Pegawai Eksekutif BESTPay, “Kami amat berbesar hati dapat bekerjasama dengan pihak PTPTN untuk Kempen ‘Click, Pay & Earn’ . Dalam dunia yang serba canggih dan moden ini, kami merasakan apa jua transaksi boleh dilakukan melalui telefon mudah alih di mana jua anda berada dan ianya mudah dan pantas.”

“Kerjasama Strategik di antara Kelantan ICT Gateway dan PTPTN ini diharapkan dapat memangkin kesedaran rakyat serta menyediakan lebih banyak platform yang mesra pengguna untuk membolehkan rakyat dan peminjam PTPTN membuat bayaran balik dan simpanan dengan lebih mudah dan selamat,” ujar Mohd Roslan Mohd Mohd Zain, Pengurus Besar KelantanPAY.

Melalui kempen ini, pelanggan yang menggunakan aplikasi Shopee, kiplePay, BESTPay dan KelantanPAY untuk membuat bayaran balik pinjaman atau penambahan deposit SSPN dalam tempoh promosi akan berpeluang menerima pemberian coins/ cashback dan tunai adalah seperti berikut:

Saluran Jumlah Bayaran/Deposit Jumlah Pemberian
Shopee Minimum RM100.00 Cashback sebanyak 2,500 coins tertakluk kepada 30 bayaran balik pinjaman dan deposit SSPN pertama setiap hari dalam tempoh promosi.
kiplePay Minimum RM300.00 Cashback sebanyak RM20 tertakluk kepada 500 bayaran balik pinjaman atau deposit SSPN terawal dalam tempoh promosi.
BESTPay Minimum RM100.00 Wang tunai RM20 kepada 500 pelanggan terawal dan RM10 kepada 200 pelanggan berikutnya bagi bayaran balik pinjaman atau deposit SSPN terawal dalam tempoh promosi.
KelantanPAY Minimum RM100.00 Wang tunai RM10 kepada 100 pelanggan terawal dan RM5 kepada 100 pelanggan berikutnya bagi bayaran balik pinjaman atau deposit SSPN terawal dalam tempoh promosi..

Sebagai agensi di bawah Kementerian Pengajian Tinggi, PTPTN sentiasa peka dengan kehendak pelanggan PTPTN. Saluran baharu yang dilancarkan ini telah boleh digunakan oleh pelanggan PTPTN dengan mudah, cepat dan selamat. PTPTN berharap dengan adanya penambahan saluran bayaran secara online dan kempen yang dianjurkan akan menjadi pemudah cara dan menggalakkan pelanggan membuat bayaran balik pinjaman dan penabungan SSPN sekaligus dapat memperkasakan perkhidmatan PTPTN kepada masyarakat. Oleh itu, rebutlah peluang menyertai Kempen ‘Click, Pay & Earn’ . Jadilah antara pengguna terawal menggunakan keempat-empat saluran ini untuk mendapatkan pulangan menarik yang disediakan.

Untuk terma dan syarat, KLIK DI SINI.

Untuk soalan lazim, KLIK DI SINI.