Facebook
X
Telegram
LinkedIn
WhatsApp

Program Imarah Ramadan PTPTN (IMRAN) Perkukuh Hubungan Kekeluargaan Bersama Pelajar

Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) meneruskan tradisinya berkongsi rezeki bersama warga institusi pendidikan serta komuniti setempat menerusi Pogram Imarah Ramadan PTPTN (IMRAN) Tahun 2025. Program ini akan berlangsung di 15 buah Universiti Awam (UA)/ Politeknik/ Kolej Komuniti dan Sekolah terpilih di seluruh negara bermula 5 Mac hingga 20 Mac 2025.

Program dimulakan dengan perasmian dan pelepasan yang disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Seri Norliza Abdul Rahim, Pengerusi PTPTN bertempat di Menara PTPTN. Turut hadir Encik Ahmad Dasuki Abdul Majid, Ketua Eksekutif PTPTN, Puan Zainah Rujihan, Pengarah Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA), Pengurusan PTPTN dan pelajar-pelajar PSA.

Program IMRAN merupakan program signature di bawah program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) PTPTN yang diadakan sejak tahun 2021 bertujuan mengeratkan ukhwah silaturrahim serta hubungan baik antara PTPTN dan institusi pendidikan, memupuk nilai-nilai kebersamaan dan kasih sayang dalam masyarakat. Berdasarkan sambutan yang menggalakkan, pada tahun ini, program ini diteruskan lagi buat tahun yang ke-5 bagi mengimarahkan lagi bulan Ramadan yang mulia ini.

“Program IMRAN bukan sekadar membantu pelajar dan komuniti yang memerlukan, tetapi juga mengukuhkan hubungan kekeluargaan PTPTN dengan institusi pendidikan melalui kerjasama yang erat. Melalui program ini, warga PTPTN, para pelajar, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), guru-guru dan kakitangan institusi pendidikan akan bergotong-royong untuk menyediakan bubur lambuk, bubur manis atau makanan berbuka puasa untuk diagihkan kepada pelajar dan masyarakat setempat. Dianggarkan lebih 10,000 masyarakat serta pelajar akan menerima juadah berbuka puasa yang akan diagihkan pada tahun ini. Diharapkan sumbangan PTPTN ini sedikit sebanyak dapat membantu meringankan perbelanjaan di bulan Ramadan ini” – YBhg. Dato’ Seri Norliza Abdul Rahim, Pengerusi PTPTN

PTPTN berharap kolaborasi seperti ini dapat diteruskan dan diperluaskan agar lebih ramai pelajar serta masyarakat turut serta dan mendapat manfaat. Sebagai institusi yang komited terhadap kelestarian pendidikan negara, PTPTN akan terus memperkasakan IMRAN sebagai medium kebajikan dan jaringan kerjasama dengan institusi pendidikan bagi memberi impak positif kepada semua pihak.

PTPTN sebagai agensi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan terus komited dalam meningkatkan pelaksanaan program-program CSR terutamanya dalam aspek pendidikan demi pembangunan anak bangsa selari dengan moto PTPTN, Peluang Kejayaan Anda dan tagline PTPTN Prihatin : Kami Kongsi, Kami Bantu.