Facebook
Twitter
Telegram
LinkedIn
WhatsApp

Kempen Pay With Shopee!

Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dengan kerjasama Shopee menganjurkan Kempen Pay With Shopee!. Kempen ini diadakan bertujuan untuk menggalakkan peminjam PTPTN membuat bayaran balik pinjaman pendidikan secara dalam talian serta menghargai peminjam PTPTN yang komited membayar balik pinjaman pendidikan secara konsisten melalui kemudahan saluran bayaran balik Shopee.

Kaedah bayaran balik pinjaman PTPTN melalui Shopee telah mula diperkenalkan pada tahun 2021 sebagai salah satu inisiatif untuk menggalakkan pelanggan PTPTN melakukan transaksi pembayaran melalui saluran bayaran dalam talian. Kemudahan saluran bayaran dalam talian ini juga adalah selaras dengan Teras Strategik ke-5, Pelan Strategik PTPTN 2021-2025 iaitu memperkasa organisasi ke arah lebih dinamik dan cemerlang melalui pendigitalan bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kepada pelanggan tidak terjejas dan sentiasa berada di tahap terbaik.

Kempen Pay With Shopee! ini terbuka kepada semua pengguna aplikasi ShopeePay yang membuat bayaran balik pinjaman PTPTN di dalam tempoh kempen iaitu bermula 15 Jun 2022 sehingga 15 Julai 2022. Melalui kempen ini, pemberian baucar adalah seperti berikut:

  1. Pemberian baucar diskaun sebanyak 10% daripada jumlah bayaran, tertakluk kepada jumlah maksimum RM5 kepada 60 pengguna aplikasi Shopee terawal setiap hari semasa tempoh kempen, kecuali pada 7 Julai 2022;
  2. Jumlah penerima baucar diskaun BERGANDA iaitu seramai 120 pengguna terawal pada 7 Julai 2022 bersempena bulan penubuhan PTPTN dan juga hari MEGA SALES SHOPEE;
  3. Setiap pengguna layak menerima ganjaran baucar diskaun sekali sahaja dalam tempoh kempen; dan
  4. Pengguna yang berjaya menerima baucar diskaun perlu membuat penebusan terlebih dahulu sebelum membuat transaksi bayaran balik pinjaman.


Menurut Ketua Eksekutif PTPTN, Encik Ahmad Dasuki Abdul Majid, “kolaborasi ini adalah bukti komitmen dan kesungguhan PTPTN untuk memastikan peminjam dapat melaksanakan bayaran balik dengan cepat, mudah dan selamat. PTPTN juga amat mengalu-alukan kerjasama strategik daripada pelbagai agensi lain untuk membantu dan memudahkah peminjam membuat bayaran balik pinjaman mereka. Sesungguhnya bayaran balik pinjaman yang dibuat oleh para peminjam amat bermakna dan penting demi kelestarian pinjaman PTPTN kepada generasi akan datang.”

Terma & Syarat, KLIK DI SINI.

Soalan Lazim, KLIK DI SINI.