Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dengan kerjasama Ambank (M) Bhd dan Payments Network Malaysia (PayNet) menganjurkan Kempen JomPAY & Win! 2022. JomPAY adalah perkhidmatan pembayaran bil dalam talian terbesar di Malaysia yang menawarkan kemudahan perkhidmatan pembayaran kepada para pelanggan melalui mana-mana bank di Malaysia.
Kempen JomPAY & Win! 2022 kali ini merupakan penganjuran kali ketiga PTPTN bersama Ambank dan PayNet sejak diperkenalkan pada tahun 2020. Kolaborasi ini adalah bukti komitmen dan kesungguhan untuk memastikan peminjam PTPTN dapat melaksanakan bayaran balik dengan cepat, mudah dan selamat secara dalam talian sekali gus menggalakkan lagi peminjam membuat bayaran balik pinjaman mereka.
Kempen ini terbuka kepada semua peminjam PTPTN yang membuat bayaran balik pinjaman mereka melalui JomPAY. Tempoh promosi adalah selama tiga (3) bulan mulai 1 Julai 2022 sehingga 30 September 2022. Peminjam PTPTN hanya perlu membuat bayaran balik dengan nilai minimum RM100 dalam tempoh promosi untuk melayakkan peminjam mendapat satu (1) cabutan dan penyertaan adalah secara automatik.
Kempen kali ini menawarkan hadiah wang tunai dalam bentuk bayaran balik pinjaman PTPTN dengan nilai keseluruhan sebanyak RM61,000 kepada 25 orang pemenang bersempena 25 tahun Jubli Perak PTPTN seperti berikut:
Hadiah | Bilangan Pemenang |
---|---|
Utama : RM25,000 | 1 |
Kedua : RM15,000 | 1 |
Ketiga : RM10,000 | 1 |
Saguhati : RM500 | 22 |
Menurut Ketua Eksekutif PTPTN, Encik Ahmad Dasuki Abdul Majid, “kemudahan saluran dalam talian ini adalah selaras dengan Teras Strategik ke-5, Pelan Strategik PTPTN 2021-2025 iaitu memperkasa organisasi ke arah lebih dinamik dan cemerlang melalui pendigitalan bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kepada pelanggan tidak terjejas dan sentiasa berada di tahap terbaik. Jalinan kerjasama PTPTN dan Ambank telah bermula sejak tahun 2017 lagi sebagai usaha untuk menarik minat pelanggan PTPTN melakukan transaksi pembayaran melalui saluran dalam talian JomPAY tanpa sebarang kos. Usaha ini juga, secara tidak langsung dapat meningkatkan kualiti perkhidmatan serta memenuhi ekspektasi pelanggan PTPTN.”
PTPTN berharap dengan penganjuran kempen ini akan memberi peluang kepada para peminjam untuk membuat bayaran balik secara konsisten melalui JomPAY. Komitmen peminjam membuat bayaran balik amat bermakna demi kesinambungan pinjaman PTPTN kepada generasi akan datang. Untuk maklumat lanjut mengenai Kempen JomPAY & Win! 2022 layari portal rasmi di www.ptptn.gov.my dan muat turun aplikasi myPTPTN untuk mendapatkan perkhidmatan PTPTN pada bila-bila dan di mana sahaja dengan lebih mudah, cepat dan selamat.
Terma & Syarat, KLIK DI SINI.
Soalan Lazim, KLIK DI SINI.