Facebook
X
Telegram
LinkedIn
WhatsApp
Cabutan WOW! 25 Tahun PTPTN

Kempen Cabutan WOW! 25 Tahun PTPTN

Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) hari ini melancarkan Kempen Cabutan WOW! 25 Tahun PTPTN yang disempurnakan oleh YBhg. Datuk Wan Saiful Wan Jan, Pengerusi PTPTN bertempat di Menara PTPTN yang juga disiarkan secara langsung di Facebook PTPTNOfficial dan Youtube PTPTN TV. Turut hadir Encik Ahmad Dasuki Abdul Majid, Ketua Eksekutif PTPTN, Encik Mohd Asri Omar, Ketua Pegawai Eksekutif Hong Leong MSIG Takaful Berhad (HLMT), Encik Mohd Jafni Abdul Jalil, Naib Presiden Kanan & Ketua Pegawai Komersial Takaful Ikhlas Family Berhad (TIFB) dan Puan Norazlin Mohd Dahari, Ketua Jabatan Korporat Takaful, Great Eastern Takaful Berhad (GETB) serta Pengurusan PTPTN. Pada majlis yang sama turut diadakan penyampaian hadiah kepada pemenang Kempen Cabutan WOW! Simpan SSPN Plus 2021 dan Kempen Stay Safe & Win SSPN-i 2021.

PTPTN sentiasa memberi fokus utama dalam membudayakan amalan penabungan untuk perancangan kewangan bagi tujuan pendidikan tinggi. Tindakan ini selari dengan Teras Pertama Pelan Strategik PTPTN 2021-2025 iaitu menjadikan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) sebagai produk simpanan pendidikan utama di Malaysia. Misi utama galakan penabungan ini adalah untuk memastikan anakanak tidak dibebani hutang setelah tamat pengajian sekali gus mengurangkan kebergantungan masyarakat kepada pinjaman.

Untuk itu, pelbagai kempen dan promosi terus dipergiatkan bagi menyemarakkan lagi amalan penabungan termasuklah mengadakan Kempen Cabutan WOW! yang merupakan program signature tahunan PTPTN. Dengan tawaran hadiah yang lumayan setiap tahun, cabutan hadiah ini sememangnya sentiasa dinanti-nantikan oleh para pendeposit Simpan SSPN.

Sebelum ini Kempen Cabutan WOW! diadakan khas untuk pendeposit Simpan SSPN Plus sahaja, namun kini buat pertama kalinya cabutan ini turut diperluaskan kepada pendeposit Simpan SSPN Prime. Inilah tanda penghargaan PTPTN kepada semua pendeposit Simpan SSPN. Kempen Cabutan WOW! 25 Tahun PTPTN ini juga merupakan simbolik bagi meraikan kejayaan dalam memperkasakan amalan penabungan sempena 25 tahun penubuhan PTPTN.

Hadiah yang ditawarkan juga cukup menarik dan lumayan dengan jumlah keseluruhan bernilai hampir RM1 Juta menanti 350 orang pemenang. Terdiri daripada tiga (3) kategori iaitu Cabutan Tahunan Jubli Perak, Cabutan Khas Babyku Simpan dan Cabutan Siri. Hadiah utama Cabutan Tahunan Jubli Perak berupa kereta Mercedes-Benz A250 AMG Line. Hadiah kedua berupa wang tunai RM100,000. Hadiah ketiga berupa wang tunai RM50,000. Manakala hadiah saguhati berupa motosikal Honda Dash 125 menanti 22 pemenang. Hadiah Cabutan Khas Babyku Simpan berupa wang tunai RM250,000 menanti 250 pemenang. Manakala hadiah Cabutan Siri pula berupa wang tunai hampir RM200,000 menanti 75 pemenang.

Tempoh promosi bermula 1 Januari hingga 31 Disember 2022 bagi Cabutan Tahunan Jubli Perak dan Cabutan Khas Babyku Simpan serta 1 April hingga 31 Disember 2022 bagi Cabutan Siri. Untuk menyertai kempen ini, pendeposit hanya perlu membuat simpanan bersih serendah RM50.00 dalam tempoh promosi untuk melayakkan mendapat cabutan. Lagi banyak menyimpan, lagi banyak peluang untuk menang.

Pengerusi PTPTN, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata “Usaha murni PTPTN dalam memupuk budaya penabungan di negara ini telah bermula pada tahun 2004 dengan pelancaran produk simpanan Simpan SSPN. Kini, menginjak hampir dua (2) dekad di pasaran, produk ini terus berada di landasan kukuh sebagai produk simpanan yang berdaya saing dan setanding dengan produk simpanan lain di pasaran.”

Terdapat dua (2) produk Simpan SSPN iaitu Simpan SSPN Prime dan Simpan SSPN Plus. Antara manfaat dan keistimewaan yang dinikmati oleh pendeposit apabila menyimpan melalui Simpan SSPN adalah memperoleh pelepasan taksiran cukai pendapatan ke atas simpanan sehingga RM8,000 setahun, perlindungan takaful, simpanan dijamin kerajaan, dividen yang sangat kompetitif dan patuh syariah. Lebih menarik, Simpan SSPN Plus turut menawarkan manfaat tambahan seperti perlindungan takaful yang komprehensif sehingga RM1.2 juta dan khairat kematian bagi pendeposit, pasangan dan lima (5) orang anak. Manakala Simpan SSPN Prime pula menawarkan Geran Sepadan sehingga RM10,000 untuk keluarga berpendapatan bulanan tidak melebihi RM4,000 sebulan dan anak yang diterima dan mendaftar masuk ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT).

Untuk laman web kempen, KLIK DI SINI.

Untuk terma & syarat, KLIK DI SINI.

Untuk soalan lazim, KLIK DI SINI.