Facebook
X
Telegram
LinkedIn
WhatsApp

Tips Menabung Walaupun Masih Berstatus Pelajar

Memang tidak dapat dinafikan bahawa amalan menabung amat penting dalam kehidupan kita. Sebagaimana yang kita sedia maklum, amalan menabung dapat menjamin masa depan seseorang itu. Dalam konteks ini, masa depan terjamin jika seseorang itu bijak merancang perbelanjaan dan juga simpanan mereka.

Namun demikian, sesuatu hakikat yang tidak dapat dinafikan ialah amalan menabung akan dapat membantu seseorang itu menghadapi saat-saat kecemasan dalam hidup mereka. Bak kata pepatah, malang tidak berbau. Oleh itu, anda perlu sentiasa bersedia menghadapi kesukaran dalam menjalani kehidupan seharian.

Persoalannya, bagaimana pula mereka yang masih berstatus pelajar untuk menabung? Bagaimana untuk mereka ini dapatkan pendapatan yang lebih untuk membuat simpanan?

Di sini saya akan kongsikan kepada anda beberapa tips untuk anda membuat simpanan walaupun anda masih berstatus pelajar.

1. Pinjaman Pendidikan

Siapa di sini membuat permohonan pinjaman pendidikan? Sekiranya anda mendapat pinjaman pendidikan, perkara pertama yang anda harus lakukan adalah asingkan jumlah pinjaman yang anda terima terlebih dahulu sebanyak 10% daripada jumlah yang anda terima.

Contoh kiraan:
Jumlah pinjaman 1 semester : RM3500.00
Simpanan perlu dibuat           : 10%
Jumlah perlu disimpan 
  : RM350.00

Jumlah simpanan RM350.00 ini anda boleh masukkan ke dalam akaun Simpan SSPN kerana Simpan SSPN menawarkan dividen yang kompetitif. Anda akan mendapat faedah dari duit simpanan itu tadi. Ini akan dapat menambahkan lagi simpanan anda tahun demi tahun.

Kiraan dividen SSPN, KLIK DI SINI

2. Tidak Mohon Pinjaman Pendidikan

Siapa di sini tidak membuat permohonan pinjaman pendidikan?

Saya percaya dan yakin, pasti anda tidak mempunyai duit yang berlebihan untuk membuat simpanan dengan hanya duit yang dibekalkan oleh ibu bapa anda untuk perbelanjaan harian dan juga membeli peralatan untuk pembelajaran.

Jangan risau, di sini saya nak kongsikan kepada anda beberapa cara untuk anda dapatkan duit sampingan sewaktu anda masih belajar. Zaman sekarang banyak peluang yang ada untuk anda perolehi duit sampingan. Antaranya adalah:

i) Menawarkan perkhidmatan pencetakan

Kebiasaannya pensyarah akan memberikan nota dalam bentuk softcopy. Tidak semua pelajar yang mempunyai printer di rumah sewa ataupun di kampus universiti. Nak pergi kedai printing terlalu jauh. Inilah peluang untuk anda menjana pendapatan di dalam kelas.

Contoh:
Pelajar dalam kelas : 45 orang pelajar
Nota untuk dicetak : 30 muka surat
Harga 1 muka surat : RM0.20

RM0.20 x 30 muka surat = RM6.00 untuk 1 pelajar
RM6.00 x 45 pelajar = RM270 untuk 45 pelajar

Bayangkan anda akan perolehi jualan sebanyak RM270 untuk 1 mata pelajaran. Sekiranya ada 5 mata pelajaran bersamaan dengan RM1,350.00. Dengan ini, modal yang anda keluarkan tadi sudah terbayar. Ingat, waktu belajar bukan 1 atau 2 nota sahaja yang kita kena cetak. 1 subjek ada 10 bab. 2 subjek ada 20 bab. Banyak keuntungan yang anda akan perolehi dengan membuat perkhidmatan ini.

ii) Menawarkan Perkhidmatan Design Bagi Pelajar Yang Berkemahiran Dalam Perisian Adobe

Pelajar yang mempunyai kemahiran dalam Adobe Photoshop atau Adobe Illustrator, anda boleh membuat design-design yang gempak untuk dijual pada penjual baju atau pengusaha syarikat di luar sana. Bukan itu sahaja, anda juga boleh menawarkan perkhidmatan seperti edit gambar kahwin, design logo syarikat, banner, flyers dan banyak lagi.

iii) Sertai Ejen Atau Dropship

Zaman kini, banyak produk-produk kosmetik, gadget atau produk lain-lain yang menawarkan kepada semua pelajar yang ingin menjana pendapatan sampingan dengan menyertai dropship tanpa bermodalkan wang ringgit. Ini adalah salah satu peluang untuk anda menjana pendapatan sampingan kerana ia sangat sesuai kepada pelajar yang tidak mempunyai modal tetapi ingin menjana pendapatan sampingan

Kesimpulannya, amalan menabung perlu disemai dalam sanubari setiap pelajar untuk menghadapi cabaran atau dugaan pada hari yang mendatang. Oleh itu, setiap pelajar harus bijak menguruskan kewangan masing-masing supaya dapat meneruskan kehidupan dengan tenang.

Dengan wang simpanan yang anda perolehi boleh di simpan di Simpan SSPN. Kini pembukaan akaun dan penambahan simpanan bagi Simpan SSPN Prime dan Simpan SSPN Plus boleh dilakukan melalui aplikasi myPTPTN.

Muat turun myPTPTN, KLIK DI SINI