Facebook
X
Telegram
LinkedIn
WhatsApp

MBSB Bank Dan PTPTN Wujudkan Kerjasama Strategik Untuk Transaksi E-Wallet

MBSB Bank Berhad (‘MBSB Bank’) dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (‘PTPTN’) menandatangani Memorandum Persefahaman (‘MoU’) hari ini bertempat di Menara MBSB Bank, PJ Sentral.

Majlis menandatangani Memorandum Persefahaman tersebut telah disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBSB Bank, Datuk Nor Azam M. Taib manakala PTPTN pula diwakili oleh Ketua Eksekutif, Ahmad Dasuki Abdul Majid.

Kolaborasi strategik ini akan memfokuskan kepada penyediaan kemudahan transaksi digital untuk para pelanggan membuat simpanan dan bayaran balik pinjaman menerusi e-Wallet MBSB. Pendeposit Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) dan peminjam PTPTN akan dapat menikmati kemudahan untuk membuat simpanan atau pembayaran balik pinjaman dengan mudah menerusi e-Wallet MBSB Bank.

Memorandum Persefahaman yang dimeterai oleh MBSB Bank dan PTPTN ini turut bertujuan untuk mewujudkan kerjasama bagi menjalankan kolaborasi strategik dalam pembudayaan simpanan pendidikan, pengurusan kewangan, program-program promosi dan pemerkasaan komuniti.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBSB Bank, Datuk Nor Azam M. Taib, “Kami ingin meluaskan penggunaan dompet digital kami kepada pendeposit Simpan SSPN dan peminjam PTPTN dengan menyediakan perkhidmatan simpanan dan pembayaran balik pinjaman PTPTN melalui e-Wallet MBSB Bank. Bagi memudahkan lagi mereka, pendeposit Simpan SSPN boleh membuat simpanan ke dalam akaun Simpan SSPN melalui e-Wallet MBSB Bank tanpa perlu membuka akaun simpanan dengan MBSB Bank.”

Tambah Datuk Nor Azam lagi, “e-Wallet MBSB Bank merupakan dompet digital aplikasi mudah alih patuh syariah yang pertama di Malaysia yang ditawarkan oleh MBSB Bank.”

Sementara itu, Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid menjelaskan, “PTPTN sentiasa menyambut baik kerjasama dengan agensi Kerajaan mahupun swasta bagi memperkasakan perkhidmatan dalam talian berbentuk hujung ke hujung (E2E). Objektif kami adalah untuk terus menambah baik perkhidmatan PTPTN kepada masyarakat melalui teknologi pendigitalan dan kami berbesar hati dapat bekerjasama dengan MBSB Bank sebagai satu lagi usaha positif ke arah memperkasakan PTPTN yang lebih dinamik dan cemerlang.”

“Saya amat berharap dengan pemeteraian MoU ini akan merancakkan bidang-bidang kerjasama yang sedia ada antara kedua-dua pihak di samping menjana kerjasama baharu yang bakal memberikan impak dan manfaat kepada kesejahteraan masyarakat.” tambah beliau lagi.

Kolaborasi ini diharapkan dapat menyemai lebih kesedaran menabung dan mendidik literasi kewangan secara digital yang baik dalam kalangan masyarakat. e-Wallet MBSB Bank boleh dimuat turun ke semua telefon pintar melalui applikasi Apple Store dan Google Play. Untuk maklumat lanjut, boleh layari www.mbsbbank.com.

Selaras dengan usaha berterusan untuk memperkukuhkan ekosistem digital, MBSB Bank turut mengumumkan laman web ‘M Journey Virtual Branch’ yang baharu. Ia kini sedia dilawati dan direkabentuk untuk lebih interaktif, mesra pengguna dengan ciri-ciri keselamatan yang dipertingkatkan. Untuk pengalaman perbankan secara maya yang lengkap, mudah lagi menarik, sila layari https://mjourney.mbsbbank.com.