Facebook
X
Telegram
LinkedIn
WhatsApp

#BMS2022: Semai Budaya Menabung Bersama Keluarga

Hari Tabungan Sedunia yang diraikan pada 31 Oktober setiap tahun bertujuan untuk menyemai budaya menabung kepada semua lapisan masyarakat.

Setiap orang perlu menyedari akan kepentingan menabung ini demi masa hadapan atau sebagai langkah persediaan sekiranya menghadapi situasi di luar jangkaan.

Tip Menyemai Budaya Menabung

Budaya menabung sebenarnya perlu disemai dalam diri setiap individu. Anda tidak perlu menunggu masa yang sesuai, kerana yang sebenarnya setiap masa adalah praktikal untuk mula menabung. Di sini, kami kongsikan beberapa tip dalam menyemai budaya menabung untuk anda serapkan dalam rutin seharian.

1. Semaikan Budaya Menabung Dari Kecil

Amalan menabung harus dilatih sejak kecil sehingga anak anda mampu memahami konsep tersebut dan menjadikan ia satu budaya. Ketika anak masih kecil, orang tua dan guru sering kali mengingatkan untuk mengasingkan wang saku dan menabung dalam tabung duit. Tanpa disedari, amalan itu semakin berkembang menjadi budaya yang baik.

2. Budaya Menabung Sebagai Aktiviti Kekeluargaan

Sebagai ibu bapa yang prihatin, anda boleh mengajak anak-anak menabung sebagai salah satu aktiviti keluarga. Contohnya, wang syiling atau duit kertas yang dijumpa semasa bergotong-royong semasa mengemas rumah boleh dimasukkan ke dalam tabung dan labelkan tabung tersebut dengan ‘duit terpijak’ . Ini mungkin boleh mencetuskan suasana ceria dan aura menyeronokkan semasa melakukan aktviti ini.

3. Membawa Anak Membuka Akaun Simpanan

bu bapa amat digalakkan untuk membawa anak-anak membuka akaun skim simpanan mereka bersama-sama supaya mereka dapat merasai pengalaman menabung dan memberi dorongan kepada mereka untuk terus menabung secara konsisten.

Skim simpanan yang terbaik adalah Simpan SSPN yang mempunyai dua (2) jenis iaitu Simpan SSPN Prime dan Simpan SSPN Plus. Terdapat banyak keistimewaan dan manfaat yang disediakan, antaranya adalah mendapat pelepasan taksiran cukai pendapatan, perlindungan takaful, dividen yang kompetitif dan banyak lagi.

4. Budaya Menabung Melahirkan Generasi Berkualiti

Masyarakat yang celik pelaburan adalah masyarakat yang bijak membandingkan keperluan dan kehendak di samping sentiasa mengamalkan sikap berjimat cermat. Ianya juga dapat mendidik minda untuk lebih bersikap optimistik dan futuristik.

Sekiranya berlaku inflasi di sektor ekonomi, ianya tidak akan memberikan impak yang besar kepada masyarakat kerana mereka telah bersedia. Hasil dari budaya menabung telah menyelamatkan mereka daripada terjerumus kepada bebanan hutang yang tinggi.

Hari Tabungan Sedunia : Semai Budaya Menabung

Kesimpulan

Sehingga ke saat ini, kesedaran menabung dalam kalangan rakyat Malaysia masih kurang mencukupi atau langsung tidak mencukupi untuk mengekalkan kelangsungan kehidupan yang sederhana atau wajar dalam masa yang akan datang (sumber : Astro Awani). Fenomena pandemik telah memberikan tauladan dan pengajaran bahawa pentingnya untuk mempunyai tabungan demi memastikan anda mampu bertahan dalam era mencabar ini.

Walaupun kos sara hidup semakin meningkat, anda tidak perlu menjadikan ianya alasan untuk tidak menabung. Ambillah kesempatan dengan mula menukar gaya hidup untuk menyemai budaya menabung. Anda boleh bermula dengan hanya berbelanja ke atas perkara yang perlu sahaja dan belajar membandingkan produk A dengan produk B untuk fungsi yang sama. Secara tidak langsung, ianya boleh membawa ke arah penjimatan dan baki tersebut boleh dimasukkan dalam tabungan.

Hanya anda sahaja yang mampu mengubah nasib anda sendiri kerana andalah sebenarnya watak dalam filem arahan anda, bukan orang lain.

Simpan SSPN Prime, klik di sini.

Simpan SSPN Plus, klik di sini.