Facebook
Twitter
Telegram
LinkedIn
WhatsApp

Insentif Pengecualian Bayaran Balik Pinjaman PTPTN Diperluas Kepada Semua Peminjam

Insentif pengecualian bayaran balik pinjaman kepada peminjam PTPTN telah dilaksanakan sejak tahun 2001 dan diberikan kepada semua peminjam di Universiti Awam (UA), Politeknik dan Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS) yang menamatkan pengajian dengan kelulusan Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama atau setaraf dengannya tanpa mengira kaum dan latar belakang kewangan peminjam.

Walau bagaimanapun, insentif ini telah dihadkan kepada peminjam daripada golongan B40 dan M40 sahaja manakala kumpulan T20 tidak dipertimbangkan dan dilaksanakan kepada peminjam yang menamatkan pengajian mulai 1 Januari 2019.

Susulan pengumuman oleh YAB Perdana Menteri sempena Majlis Sambutan Jubli Perak 25 Tahun PTPTN pada 27 Julai 2022 yang lalu, insentif ini telah diperluaskan semula kepada semua peminjam yang mendapat Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama tanpa mengira status ekonomi, bangsa dan agama. Ia adalah sebagai dorongan kepada semua peminjam untuk belajar bersungguh-sungguh dan mendapat kelulusan yang terbaik dalam pengajian mereka.

KAEDAH PELAKSANAAN

Selaras dengan pengumuman ini, semua peminjam PTPTN yang menamatkan pengajian mulai 1 Januari 2019 yang sebelum ini tidak layak memohon pengecualian bayaran balik Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama boleh membuat permohonan secara atas talian di Portal Rasmi PTPTN.

Tempoh permohonan dibuka mulai 15 September 2022 hingga 31 Disember 2022. Selepas tempoh tersebut, permohonan tidak akan diterima kecuali yang dikemukakan dalam tempoh 12 bulan daripada tarikh konvokesyen.

Syarat - syarat pengecualian bayaran balik:

  1. Mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda secara Sepenuh Masa;
  2. Memperoleh Ijazah Sarjana Muda dengan Kepujian Kelas Pertama oleh IPT;
  3. Menamatkan pengajian dalam tempoh yang telah ditetapkan mengikut dokumen tawaran pinjaman PTPTN;
  4. Pinjaman pendidikan PTPTN tidak bertindih dengan sebarang penajaan lain;
  5. Kursus/ Program yang diikuti oleh peminjam di Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) hendaklah mendapat Sijil Perakuan Akreditasi Penuh daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dalam tempoh pinjaman dikeluarkan; dan
  6. Mengemukakan permohonan di dalam tempoh 12 bulan daripada tarikh konvokesyen.

Dokumen sokongan yang perlu disertakan:

  1. Salinan Ijazah Sarjana Muda Kepujian Kelas Pertama atau setaraf dengannya yang disahkan (Skrol);
  2. Salinan transkrip keputusan peperiksaan yang disahkan;
  3. Salinan Sijil Perakuan Akreditasi daripada MQA yang disahkan (Bagi peminjam IPTS);
  4. Surat pengesahan Kelas Pertama (jika tidak dicatatkan perkataan “Kelas Pertama” pada Ijazah); dan
  5. Surat pengesahan tamat pengajian (jika tidak dicatatkan tarikh tamat pengajian pada ijazah/ transkrip).

Salinan dokumen sokongan hendaklah disahkan oleh pegawai kumpulan Pengurusan & Profesional (Bahagian Akademik atau Bahagian Pengurusan Rekod yang mengeluarkan Ijazah di IPT) dengan cop pengesahan mengandungi Nama Pegawai, Jawatan dan Nama Jabatan.

Bagi peminjam yang telah membuat bayaran balik, pemulangan semula (refund) akan dibuat sekiranya permohonan pengecualian bayaran balik dipertimbangkan.

Untuk soalan lazim, sila klik di sini

Untuk permohonan, sila klik di sini