Merujuk Kamus Dewan Edisi Keempat, definisi menabung adalah menyimpan wang di bank, dalam tabung dan lain-lain (sumber : Dewan Pustaka & Bahasa). Ada yang menabung secara fizikal atau secara dalam talian yang mana lebih praktikal untuk si penabung.
Walaupun pada saat ini, ramai yang mengeluh kerana terpaksa berjimat cermat akibat peningkatan kos sara hidup yang mendadak. Namun, ada di antara kita yang kekal bertenang kerana telah mengamalkan amalan menabung sejak awal lagi. Amalan menabung ini dapat memberi manfaat kepada kita terutamanya ketika menghadapi saat genting sebegini dan membantu kita mengharungi kehidupan dengan lebih efektif.
Di sini, kami kongsikan kebaikan amalan menabung untuk anda hayati:
1. Simpanan Demi Masa Hadapan
Pengalaman semasa dunia dilanda pandemik virus Covid-19 pada akhir tahun 2019 cukup memberikan pengajaran bahawa pentingnya amalan menabung. Siapa sangka, siapa menduga, terdapat banyak sektor perkilangan tidak dapat beroperasi, pejabat terpaksa ditutup, tindakan kebankrapan dan kakitangan dibuang kerja kerana ekonomi terjejas. Situasi ini menyumbang ke arah masalah global seperti kehilangan pekerjaan, kemurungan, perceraian, konflik keluarga, rompakan, kematian serta dilanda musibah akibat hilangnya sumber kewangan, terutamanya bagi mereka yang kurang menitikberatkan amalan menabung.
Selepas tragedi tersebut, ramai yang mula membuka mata dan mengakui bahawa betapa pentingnya amalan menabung ini demi kebaikan masa hadapan, lebih-lebih lagi dalam fenomena yang diluar jangkaan. Akhirnya, semua terpaksa akur bahawa amalan menabung sahaja yang mampu menyelamatkan mereka. Masih belum terlambat lagi untuk kita membuat simpanan. Mulakan dari sekarang demi menjamin masa hadapan yang lebih cerah.
2. Memupuk Nilai-Nilai Murni
Sedarkah anda bahawa sikap berjimat cermat, tidak boros dan membeli berdasarkan keutamaan kadang-kadang membuatkan kita selalu terlepas membeli barangan yang kita suka. Misalnya, membeli beg tangan mahal, kasut berjenama atau kereta baharu. Seben arnya, mindset kita perlu sentiasa bersedia untuk mengawal nafsu yang mendorong ke arah pembaziran, sebab itu kita perlu mengubah daripada sikap boros kepada berjimat cermat.
Tanamkan konsep amalan membeli mengikut keperluan, beli barangan yang diingini sekiranya mempunyai lebihan wang, dengan syarat telah membuat simpanan terlebih dahulu. Oleh itu, dengan adanya komitmen menabung, setiap sen yang dibelanjakan pastinya dicongak secara berhemah dan anda akan bersyukur di atas tindakan anda yang bijak dan rasional dalam konsep berbelanja.
3. Pelbagaikan Sumber Tabungan Anda
Membiasakan diri dengan menabung di banyak tempat. Sebagai contoh, anda boleh menabung secara fizikal seperti mewujudkan tabung fizikal di rumah dan di pejabat atau menabung secara dalam talian seperti menyimpan secara bulanan di Simpan SSPN.
Simpan SSPN merupakan produk simpanan jangka panjang yang bertujuan untuk memupuk sifat menabung dalam kalangan ibu bapa bagi pendidikan tinggi anak-anak ketika mereka masih kecil lagi disamping. Simpan SSPN mempunyai dua jenis produk simpanan iaitu, Simpan SSPN Prime dan Simpan SSPN Plus yang mempunyai kelebihan tersendiri dan menawarkan pelbagai manfaat istimewa seperti pemberian dividen kompetitif, pelepasan taksiran cukai pendapatan, manfaat perlindungan takaful, khairat kematian, elaun kemasukan hospital dan lain-lain.
Pembukaan akaun di Simpan SSPN merupakan langkah terbaik untuk anda mulakan simpanan. Dengan cara ini, anda boleh menarik nafas lega kerana telah mempunyai sumber penambahan hasil daripada penabungan.
4. Amalan Menabung Mengelakkan Sikap Berhutang dan Menjaga Silaturahim
Antara faktor putusnya silaturahim ialah berhutang. Adatlah, kalau orang yang datang untuk meminjam akan berkata yang manis-manis dan baik-baik sahaja agar dapat memenuhi hajatnya. Manakala yang memberi pinjaman akan merasa kasihan, lalu memberi pinjaman dan mengharapkan agar peminjam mematuhi janji untuk membayar semula dalam tempoh diberikan.
Malangnya, begitu ramai yang hanya tahu ‘menanam tebu di tepi bibir’ dan apabila tiba masanya, peminjam hilang tanpa kesan, lari dari hutang dan mengakibatkan pemberi pinjaman tertekan kerana rasa ditipu. Sikap berhutang boleh menyebabkan pandangan negatif sehingga ke tahap memutuskan silaturahim.
Oleh yang demikian, praktikkan amalan menabung bermula dari sekarang. Menabunglah walaupun sedikit dan elakkan dari berhutang. Orang yang selalu berhutang dan gagal membayar semula dalam tempoh ditetapkan akan hilang kepercayaan dan tidak dihormati.
Kesimpulannya
Menariknya pada bulan Oktober ini, seluruh negara akan menyambut ‘Hari Tabungan Sedunia’ yang dikenali sebagai World Savings Day. Sambutan ini adalah bertujuan untuk menerapkan semangat menyimpan bagi semua lapisan masyarakat di seluruh pelosok dunia.
Sehubungan dengan itu, dalam menerapkan amalan menabung, PTPTN dengan bangganya mempelawa seluruh warga Malaysia untuk sama-sama meraikan dan menghayati kebaikan serta mengamalkan amalan menabung melalui kempen Bulan Menabung Simpan SSPN (BMS) 2022. Kempen ini diadakan selama 1 bulan sepanjang bulan Oktober. Pelbagai aktiviti dan program untuk disertai oleh ibu bapa dan anak-anak.
Maklumat lanjut, klik di sini.