Facebook
X
Telegram
LinkedIn
WhatsApp

Ganjaran Kesetiaan Simpan SSPN Prime 2022

Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mengumumkan agihan dividen Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) bagi tahun 2021 dan melancarkan Kempen Ganjaran Kesetiaan Simpan SSPN Prime 2022 pada hari ini bertempat di Menara PTPTN, Kuala Lumpur.

DIVIDEN SIMPAN SSPN 3 PERATUS

Pengerusi PTPTN, Datuk Wan Saiful Wan Jan telah mengumumkan agihan dividen Simpan SSPN bagi tahun 2021 kepada pendeposit Simpan SSPN sebanyak 3 peratus. Turut hadir Encik Ahmad Dasuki Abdul Majid, Ketua Eksekutif PTPTN dan Pengurusan Tertinggi PTPTN

Agihan dividen Simpan SSPN ini melibatkan anggaran peruntukan berjumlah RM206.25 juta yang akan memberi manfaat kepada 5.24 juta pendeposit akaun Simpan SSPN. Ini menjadikan jumlah keseluruhan agihan dividen adalah RM1.06 bilion semenjak Simpan SSPN diperkenalkan. Kadar dividen yang diberikan kepada pendeposit Simpan SSPN adalah berdasarkan kepada pulangan bersih pelaburan yang telah dibuat atas deposit yang telah diterima oleh PTPTN.

Menurut Datuk Wan Saiful Wan Jan, Pengerusi PTPTN, “Dividen yang diberikan ini masih lagi kompetitif berbanding keuntungan akaun semasa dan simpanan tetap. Ia juga mengambilkira mandat pelaburan PTPTN yang dibenarkan adalah terhad dalam pasaran wang dan pasaran sukuk. Justeru itu, sekiranya dilihat kadar 3 peratus tersebut berbanding dengan kadar dasar semalaman yang ditetapkan oleh Bank Negara Malaysia pada tahap 1.75 peratus dan keuntungan/ kadar faedah produk simpanan yang ditawarkan oleh bank tempatan bagi tahun 2021 di antara 1.50 peratus sehingga 2.20 peratus, produk Simpan SSPN ini masih menawarkan kadar pulangan yang menarik.”

Selain dividen, Simpan SSPN turut menawarkan pelbagai keistimewaan kepada pendeposit seperti pelepasan taksiran cukai sehingga RM8,000 setahun, perlindungan takaful dan geran sepadan secara percuma sehingga RM10,000 untuk satu keluarga yang layak. Ini bermakna, pendeposit Simpan SSPN sebenarnya akan menikmati keuntungan yang berganda dan bukan hanya 3 peratus kadar dividen sahaja,” tambah beliau lagi.

Wan Saiful turut menjelaskan, “Pemberian dividen pada kadar 3 peratus ini jelas menunjukkan bahawa Simpan SSPN tetap mempunyai daya saing berbanding produk-produk simpanan lain yang ditawarkan di pasaran. Ini juga membuktikan bahawa Simpan SSPN amat relevan untuk penabungan dengan pemberian kadar dividen kompetitif walaupun dalam ekonomi negara tidak menentu. Harapan saya dengan 3 peratus dividen dan 1 peratus Ganjaran Kesetiaan yang diberikan ini dapat menarik minat masyarakat Malaysia untuk menjadikan Simpan SSPN sebagai pilihan utama simpanan pendidikan anak-anak.”

Dengan usaha PTPTN dan sokongan masyarakat serta pendeposit Simpan SSPN, jumlah deposit Simpan SSPN bagi tahun 2021 adalah berjumlah RM3.01 bilion atau 167.08 peratus berbanding dengan sasaran RM1.8 bilion. Ini menjadikan jumlah keseluruhan deposit Simpan SSPN sehingga 31 Disember 2021 adalah RM10.88 bilion. Manakala keuntungan pelaburan deposit Simpan SSPN bagi tahun 2021 adalah berjumlah RM267.61 juta.

Bagi prestasi pembukaan akaun baharu Simpan SSPN pula, sebanyak 421,281 akaun telah berjaya dibuka pada tahun 2021 berbanding sasaran tahunan sebanyak 400,000 akaun. Pencapaian ini adalah 105.32 peratus berbanding sasaran tahunan. Secara keseluruhan, sehingga 31 Disember 2021 sebanyak 5.24 juta akaun Simpan SSPN telah dibuka sejak instrumen simpanan ini diperkenalkan pada tahun 2004.

Pendeposit Simpan SSPN boleh membuat semakan dividen di penyata simpanan masing-masing melalui portal rasmi www.ptptn.gov.my mulai 25 Februari 2022 (Jumaat).

GANJARAN KESETIAAN SIMPAN SSPN PRIME 1 PERATUS

Dalam majlis yang sama, PTPTN turut melancarkan Kempen Ganjaran Kesetiaan Simpan SSPN Prime 2022 pada kadar 1 peratus. Ganjaran kesetiaan ini adalah hadiah istimewa dan sebagai tanda penghargaan PTPTN kepada pendeposit yang membuat simpanan dalam jangka masa panjang.

“Ganjaran Kesetiaan ini akan dinikmati oleh pendeposit Simpan SSPN Prime yang membuat simpanan terkumpul dalam tempoh promosi dengan jumlah minimum sebanyak RM500.00. Tempoh promosi bermula 22 Februari 2022 hingga 30 April 2022 dan layak disertai oleh pendeposit yang membuka akaun Simpan SSPN Prime pada tahun 2004 sehingga 31 Disember 2018. Ganjaran Kesetiaan yang akan diberikan sangat berbaloi sebagai pulangan tambahan selain dividen tahunan. Kepada pendeposit Simpan SSPN Prime yang layak, rebutlah peluang keemasan ini,” ujar Datuk Wan Saiful.

Untuk terma dan syarat, klik di sini.

Untuk soalan lazim, klik di sini.