Facebook
X
Telegram
LinkedIn
WhatsApp

Belanjawan 2027: Inisiatif PTPTN Perkukuh Kebajikan Peminjam dan Kelestarian Pembiayaan Pendidikan

Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menyambut baik inisiatif berkaitan bayaran balik pinjaman PTPTN yang diumumkan oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim, Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, menerusi pembentangan Belanjawan MADANI Kelima Tahun 2027 bertemakan ‘Menggapai Di Langit, Mengakar Di Bumi’ pada 9 Oktober 2026 (Jumaat).

PTPTN sebagai agensi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Kerajaaan atas keprihatinan terhadap peminjam PTPTN melalui inisiatif yang diumumkan dalam Belanjawan 2027 seperti berikut:

  1. Penangguhan bayaran balik kepada peminjam yang berpendapatan sehingga RM2,500 sebulan;
  2. Bayaran balik minimum dikenakan hanya RM50 ke atas peminjam berpendapatan antara RM2,501 hingga RM3,000 sebulan;
  3. Peminjam yang tidak mempunyai tunggakan dan membuat bayaran balik secara teratur akan diberi diskaun sebanyak 10 peratus; dan
  4. Potongan cukai kepada majikan yang membuat bayaran balik pinjaman PTPTN bagi pihak pekerja.

Kerajaan menyediakan inisiatif penangguhan bayaran balik pinjaman PTPTN pada tahun 2027 yang akan memanfaatkan lebih 400,00 peminjam dan bayaran balik minimum RM50 sebulan bagi peminjam berpendapatan rendah. Pelaksanaan inisiatif ini adalah tertakluk kepada pengesahan maklumat pendapatan melalui semakan silang dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM). Ini mencerminkan keprihatinan Kerajaan dalam memastikan komitmen bayaran balik dapat disesuaikan dengan kemampuan kewangan peminjam.

Sebagai pengiktirafan kepada peminjam yang berdisiplin dalam melaksanakan tanggungjawab pembayaran balik, diskaun sebanyak 10% diberikan kepada peminjam aktif yang tidak mempunyai tunggakan serta membuat bayaran secara konsisten dan teratur. Inisiatif yang akan dilaksanakan pada tahun 2027 ini bertujuan menggalakkan pembayaran balik secara berterusan dan mengurangkan risiko tunggakan pinjaman.

Inisiatif seterusnya ialah pemberian potongan cukai kepada majikan yang membuat bayaran balik pinjaman PTPTN bagi pihak pekerja masing-masing, meliputi bayaran yang dibuat mulai Januari 2027 hingga Disember 2028. Inisiatif ini menggalakkan penglibatan majikan dalam membantu mengurangkan beban hutang pekerja sekali gus memperkukuh kebajikan mereka.

Sebagai agensi di bawah KPT, PTPTN akan terus komited melaksanakan hasrat dan aspirasi Kerajaan melalui Belanjawan 2027 untuk memperluas akses pendidikan yang lebih inklusif, meningkatkan kesejahteraan peminjam dan memastikan kelestarian dana pembiayaan pendidikan. Komitmen ini bagi memastikan lebih ramai generasi muda berpeluang membina masa depan melalui pendidikan tinggi. PTPTN yakin bahawa sokongan Kerajaan menerusi Belanjawan 2027 akan memberikan manfaat kepada peminjam dan masyarakat. Perincian lanjut berkenaan pelaksanaan inisiatif-inisiatif ini akan diumumkan oleh PTPTN dalam masa terdekat.