Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) terus komited memperkasa pendigitalan perkhidmatan serta menggalakkan budaya pembayaran balik pinjaman yang lebih mudah, cepat dan sistematik dalam kalangan pelanggan. Selaras dengan usaha tersebut, PTPTN memperkenalkan Kempen myPTPTN Klik Klik Do It! yang menawarkan ganjaran kepada pengguna myPTPTN yang membuat bayaran balik pinjaman PTPTN melalui myPTPTN.
Kempen ini terbuka kepada semua pengguna berdaftar myPTPTN bermula 1 Mei 2026 hingga 31 Julai 2026 dan berdasarkan konsep “first come, first serve” dalam tempoh kempen, tertakluk kepada baki PT Points yang diperuntukkan. Kempen ini akan ditamatkan sekiranya peruntukan PT Points telah dihabiskan lebih awal daripada tempoh kempen.
Melalui kempen ini, pengguna berpeluang mengumpul mata ganjaran PT Points bagi setiap transaksi bayaran balik yang layak sepanjang tempoh kempen. Ganjaran yang diperoleh boleh ditebus untuk manfaat produk PTPTN sekali gus memberi nilai tambah kepada pengguna yang komited melaksanakan bayaran balik pinjaman.
Cara Penyertaan
Pelanggan hendaklah memuat turun myPTPTN dan mendaftar sebagai pengguna myPTPTN. Sepanjang tempoh kempen, pengguna hanya perlu membuat transaksi bayaran balik pinjaman PTPTN melalui myPTPTN untuk melayakkan diri menerima mata ganjaran PT Points.
Ganjaran ditawarkan berdasarkan transaksi minimum seperti berikut:
| Produk | Minimum Bayaran Balik (RM) | Mata Ganjaran PT Points* |
| Bayaran Balik Pinjaman PTPTN | RM1,000 | 500 mata ganjaran |
*Tertakluk kepada tempoh kempen dan baki PT Points yang masih ada, mana yang terdahulu.
Ganjaran & Penebusan
Pengguna turut berpeluang menerima mata ganjaran bagi setiap gandaan transaksi bernilai RM1,000 selagi peruntukan PT Points masih ada. Had maksimum harian bagi pemberian mata ganjaran kepada setiap pengguna adalah sebanyak 2,000 PT Points sehari.
PT Points yang berjaya dikumpulkan boleh ditebus kepada nilai wang bagi produk PTPTN sahaja, iaitu bagi tujuan:
- Bayaran balik pinjaman PTPTN
- Deposit Simpan SSPN Prime
- Deposit Simpan SSPN Plus
Penebusan hanya boleh dibuat apabila jumlah mata ganjaran terkumpul mencapai had minimum 2,000 PT Points.
Secara keseluruhannya, Kempen myPTPTN Klik Klik Do It! menyokong usaha PTPTN untuk memupuk budaya bayaran balik secara konsisten serta menggalakkan perancangan kewangan yang lebih mampan. Oleh itu, pengguna myPTPTN digalakkan untuk merebut peluang ini sepanjang tempoh kempen bagi menikmati ganjaran yang ditawarkan.
Jadikan bayaran balik anda lebih bernilai!
Kumpul dan tebus mata ganjaran PT Points dengan setiap bayaran balik pinjaman di myPTPTN.




