Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sentiasa komited dalam memperkukuh budaya kewangan berhemah dalam kalangan masyarakat melalui pelbagai inisiatif digital yang inovatif. Justeru itu, bagi menggalakkan pengguna myPTPTN membuat bayaran balik pinjaman PTPTN dan/ atau simpanan di Simpan SSPN, PTPTN memperkenalkan Kempen Pay & Save Win Boxes! yang merupakan satu kempen interaktif yang memberi ganjaran kepada pengguna aktif. Menerusi pendekatan yang menyeronokkan ini, PTPTN memperkenalkan PT Points, iaitu sistem mata ganjaran yang boleh dikumpul melalui transaksi dan permainan digital menarik sepanjang tempoh kempen.
Kempen ini berlangsung dari 1 November hingga 30 November 2025, berdasarkan konsep “first come, first serve”, tertakluk kepada jumlah peruntukan PT Points yang masih tersedia. Ia terbuka kepada semua pengguna berdaftar myPTPTN.
Cara Penyertaan
Pengguna perlu membuat transaksi bayaran balik pinjaman PTPTN dan/ atau simpanan di Simpan SSPN melalui myPTPTN sepanjang tempoh kempen. Setiap transaksi yang berjaya melayakkan pengguna menerima mata ganjaran PT Points serta peluang bermain permainan Kotak Misteri. Lebih kerap anda bertransaksi, lebih banyak peluang dan mata yang boleh dikumpul.
| Produk | Minimum Bayaran dan/ atau Simpanan | Mata Ganjaran PT Points* |
| Bayaran Balik Pinjaman PTPTN | RM100 | 20 mata ganjaran |
| Simpan SSPN | RM100 | 2 mata ganjaran |
*Tertakluk kepada tempoh kempen dan baki PT Points yang masih ada, mana yang terdahulu.
Setiap 1 PT Point bersamaan dengan nilai RM0.01, dan boleh ditebus untuk produk PTPTN seperti bayaran balik pinjaman atau penambahan deposit Simpan SSPN Prime dan Simpan SSPN Plus.
Selain itu, bagi setiap transaksi minimum RM100 sama ada untuk bayaran balik atau simpanan, pengguna turut menerima dua (2) peluang untuk bermain Kotak Misteri.
| Produk | Minimum Bayaran dan/ atau Simpanan | Peluang Bermain* |
| Bayaran Balik Pinjaman PTPTN | RM100 | 2 kali |
| Simpan SSPN | RM100 | 2 kali |
*Tertakluk kepada tempoh kempen dan baki PT Points yang masih ada, mana yang terdahulu.
PT Points yang diterima akan dikreditkan secara automatik selepas transaksi dan permainan selesai dimainkan. Setiap pengguna boleh mengumpul sehingga 2,000 PT Points sehari, dan penebusan boleh dibuat sebaik sahaja jumlah terkumpul mencapai minimum 2,000 PT Points. Mata ganjaran ini sah selama dua (2) tahun daripada tarikh dikreditkan dan boleh disemak pada bahagian REWARD dalam aplikasi myPTPTN.
Dengan Kempen Pay & Save Win Boxes!, PTPTN bukan sahaja memperkenalkan cara baharu yang menyeronokkan untuk mengurus kewangan pendidikan, tetapi turut memberi ganjaran kepada pengguna setia yang terus menyokong usaha PTPTN dalam memperkukuh budaya menabung dan membayar balik pinjaman pendidikan.
Jadi, jangan lepaskan peluang ini! Bayar balik pinjaman atau menabung di Simpan SSPN melalui myPTPTN sekarang dan nikmati ganjaran berganda.




