Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sentiasa berusaha untuk membantu peminjam menguruskan kewangan dengan lebih baik bagi memastikan bayaran balik pinjaman dapat diteruskan tanpa membebankan, Kempen Lestari Pendidikan telah diperkenalkan sebagai inisiatif khusus untuk membantu peminjam yang mempunyai tunggakan agar dapat menyusun semula pinjaman mereka mengikut kemampuan.
Melihat kepada sambutan yang menggalakkan daripada para peminjam, tempoh kempen ini yang bermula pada 15 Oktober 2025 sehingga 15 Disember 2025 telah dilanjutkan sehingga 31 Disember 2025. Pelanjutan kempen ini juga merupakan usaha berterusan PTPTN dalam memastikan kelestarian pendidikan tinggi negara di samping memberi ruang dan peluang kepada peminjam yang mempunyai tunggakan untuk berunding bagi pelan pembayaran fleksibel iaitu penstrukturan semula bayaran balik pinjaman mengikut kemampuan kewangan mereka.
Kempen ini terbuka kepada semua peminjam PTPTN yang mempunyai tunggakan RM500 dan ke atas, sama ada pinjaman konvensional atau ujrah.
Walau bagaimanapun, kempen ini tidak layak untuk:
- Peminjam yang telah direkodkan penghakiman;
- Peminjam yang telah diserahkan kepada Agensi Perunding Hutang (APH); dan/ atau
- Peminjam yang hanya mempunyai baki Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) sahaja.
Hanya tiga (3) langkah mudah untuk peminjam mula menyusun semula pinjaman agar bayaran balik dapat dilakukan secara lebih teratur dan konsisten.
1.
Mohon Rundingan Bayaran Balik
Peminjam perlu memohon rundingan bayaran balik pinjaman melalui aplikasi web myPTPTN. Selepas permohonan diterima, Eksekutif Jualan (EJ) akan menghubungi peminjam dalam tempoh tujuh (7) hari bekerja bagi memulakan sesi rundingan.
Melalui rundingan ini, peminjam boleh menstrukturkan semula pinjaman, melakukan pertukaran ujrah atau menggabungkan pinjaman bergantung kepada kelayakan masing-masing. Peminjam juga boleh menetapkan kadar bayaran bulanan antara 5% hingga 8% daripada pendapatan kasar, tertakluk kepada kelayakan dan kelulusan PTPTN. Langkah ini membolehkan peminjam menikmati jadual bayaran balik (JBB) yang lebih fleksibel dan sesuai dengan kemampuan semasa.
2.
Lakukan Bayaran Tunggakan
Semasa proses rundingan, peminjam perlu membuat bayaran sebanyak 20% daripada jumlah tunggakan atau sekurang-kurangnya RM500, mana yang lebih tinggi, dalam tempoh kempen. Bayaran ini boleh dibuat melalui semua saluran bayaran balik yang disediakan.
3.
Bayar Konsisten melalui Potongan Gaji atau Debit Terus
Bagi memastikan bayaran bulanan dilakukan secara konsisten dan teratur, peminjam diwajibkan untuk membuat bayaran balik pinjaman melalui Potongan Gaji atau Debit Terus sepanjang tempoh bayaran balik pinjaman. Pembayaran bulanan secara automatik ini adalah bagi mengelakkan risiko tunggakan baharu.
Langkah Permohonan Rundingan Melalui Aplikasi Web myPTPTN
Permohonan rundingan bayaran balik boleh dilakukan dengan mudah melalui aplikasi web myPTPTN. Lihat panduan yang disediakan bagi langkah terperinci membuat permohonan rundingan:
Rebut peluang ini segera tanpa menunggu pada saat akhir. Kempen Lestari Pendidikan merupakan peluang terbaik untuk peminjam PTPTN menyusun semula komitmen kewangan dengan lebih teratur, stabil dan berdisiplin. Melalui pendekatan ini, PTPTN bukan sahaja membantu peminjam keluar daripada beban tunggakan, malah untuk memastikan kelestarian dana pendidikan tinggi negara.
Untuk sebarang pertanyaan lanjut berkaitan dengan rundingan sama ada pertukaran Ujrah/ penggabungan/ penjadualan atau penstrukturan semula pinjaman, peminjam boleh menghubungi PTPTN melalui saluran berikut:
- Pusat Panggilan (Careline) di talian 03 2193 3000
- Live chat di Portal PTPTN
- Eksekutif Jualan
- e-Aduan PTPTN
- Media sosial rasmi @PTPTNOfficial




