Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menyahut seruan keprihatinan menerusi penglibatan dalam Program Ziarah Kasih Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) UPSI ke Jertih, yang diadakan sebagai tanda solidariti terhadap keluarga mangsa tragedi kemalangan melibatkan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Program ini dilaksanakan susulan kemalangan bas persiaran yang membawa 42 orang pelajar UPSI dalam perjalanan pulang ke kampus Tanjung Malim dari Jertih, Terengganu pada 9 Jun 2025 lalu.
Sesi ziarah telah dihadiri oleh YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, Menteri Pendidikan Tinggi, YBhg. Datuk Dr. Anesee Ibrahim, Ketua Setiausaha KPT, YBhg. Dato’ Seri Norliza Abdul Rahim, Pengerusi PTPTN, YBhg. Prof. Datuk Dr. Md Amin Md Taff, Naib Canselor UPSI, YBrs. Prof. Ir. Ts. Dr. Arham Abdullah, Naib Canselor Universiti Malaysia Kelantan UMK, YBhg. Prof. Dato’ Dr. Fadzli Adam, Naib Canselor UniSZA, YBrs. Prof. Ts. Dr. Mohd Zamri, Naib Canselor UMT dan Pengurusan Kanan PTPTN.
Melalui Program Ziarah Kasih, PTPTN telah menyerahkan Surat Perlindungan Takaful dan Khairat Kematian Skim Pinjaman Pendidikan PTPTN kepada waris dua pelajar yang merupakan peminjam PTPTN. Selain itu, PTPTN juga telah menyerahkan Manfaat Perlindungan Takaful dan Khairiat Kematian Skim Simpan SSPN Plus kepada waris pelajar iaitu Nor Ayuni binti Maslan dan Khairat Kematian Skim Simpan SSPN Prime kepada waris pelajar Nurly Sahirah binti Azman. Lawatan ziarah ini juga turut diadakan ke tiga buah rumah pelajar yang mengalami kecederaan, iaitu Tuan Adham Tuan Adnan, Nik Khairulnisa Ruzmi dan Nurul Farhana Ab Aziz. Masing-masing menerima sumbangan CSR PTPTN sebanyak RM500 seorang dalam bentuk akaun Simpan SSPN Prime.
Semoga dengan sumbangan ini dapat memberikan sedikit kelegaan serta dapat membantu meringankan beban kepada mangsa yang terlibat dan waris ahli keluarga. Setiap sumbangan yang berikan adalah tanda keprihatinan PTPTN dan harapan untuk masa hadapan yang lebih baik bagi keluarga yang terlibat. Inisiatif ini juga mencerminkan komitmen berterusan PTPTN dalam menyantuni masyarakat dan mendekati golongan yang memerlukan dengan penuh empati.
#PTPTNPrihatin
#kamikongsikamibantu