Notis Perlindungan Data Peribadi

Pengenalan

  1. Notis Perlindungan Data Peribadi ini menerangkan bagaimana Portal Penangguhan Bayaran Balik Pinjaman PTPTN menggunakan data peribadi pemohon yang memohon untuk penangguhan bayaran balik pinjaman PTPTN.
  2. PTPTN amat komited untuk memastikan data peribadi diproses dengan mematuhi Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 [Akta 709] dalam melaksanakan inisiatif penangguhan bayaran balik pinjaman.
  3. Notis ini adalah berkaitan dengan data peribadi yang dikongsikan oleh pemohon bagi memohon penangguhan bayaran balik pinjaman PTPTN.
Tujuan Notis

  1. Notis ini dikeluarkan kepada mana-mana orang yang berhasrat untuk memohon penangguhan bayaran balik pinjaman PTPTN.
Tujuan Pemprosesan Data Peribadi

  1. PTPTN hendaklah memproses data peribadi bagi tujuan yang berikut:

a) Menilai kelayakan pemohon;

b) Mengesahkan butiran peribadi pemohon;

c) Mengumpulkan maklumat bagi tujuan analisa dan pelaporan kepada pihak berkuasa berkaitan; dan

d) Apa-apa tujuan lain yang dikehendaki atau dibenarkan oleh mana-mana undang-undang, peraturan, garis panduan, perintah oleh mana-mana mahkamah atau pihak berkuasa kawal selia yang berkaitan.

Pendedahan Maklumat Peribadi

  1. Data peribadi tertentu yang berkaitan dengan pemohon mungkin perlu didedahkan kepada pihak ketiga, iaitu seperti yang berikut:

a) Mana-mana agensi berwibawa yang menghendaki PTPTN berbuat demikian menurut undang-undang;

b) Mana-mana pihak yang terlibat dalam atau berkaitan dengan prosiding undang-undang untuk tujuan prosiding undang-undang;

c) Agensi Kerajaan, badan berkanun lain termasuklah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Lembaga Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) yang tidak terlibat dengan inisiatif penangguhan bayaran balik pinjaman PTPTN; dan

d) Mana-mana orang yang dibenarkan menurut undang-undang.

  1. Tertakluk kepada undang-undang, PTPTN akan hanya mendedahkan data peribadi yang berkaitan kepada pihak ketiga sebagaimana yang dinyatakan dalam perenggan 6. Selanjutnya, pemohon boleh, memaklumkan secara bertulis kepada PTPTN untuk mengehadkan penggunaan data peribadi pemohon tertakluk kepada undang-undang.
Keselamatan Data

  1. PTPTN hendaklah mengambil langkah-langkah praktikal untuk melindungi  data peribadi dan menjaga kerahsiaannya.
  2. PTPTN hendaklah menyimpan dan memproses data pemohon dengan cara yang selamat dan memastikan tadbir urus yang bersesuaian serta memastikan bahawa perlindungan, keselamatan dan prosedur yang diambil adalah selaras dengan undang-undang untuk melindungi data peribadi itu daripada apa-apa kehilangan, salah guna, ubah suaian, akses atau penzahiran tanpa kebenaran atau tidak sengaja, pengubahan atau pemusnahan.
  3. Jika PTPTN memberikan apa-apa data peribadi kepada mana-mana pihak ketiga, mereka hendaklah mengambil langkah yang praktikal untuk memastikan bahawa pihak ketiga itu sentiasa melindungi maklumat peribadi pemohon dan tidak menggunakan maklumat peribadi pemohon tersebut untuk apa-apa tujuan lain selain bagi maksud inisiatif penangguhan bayaran balik pinjaman
Penyimpanan Data Peribadi

  1. Selaras dengan seksyen 10 Akta 709, data peribadi yang diproses bagi maksud inisiatif penangguhan bayaran balik pinjaman PTPTN tidak boleh disimpan lebih lama daripada yang diperlukan bagi memenuhi maksud itu. Segala data peribadi hendaklah dimusnahkan atau dipadamkan secara kekal jika data peribadi itu tidak lagi dikehendaki bagi maksud inisiatif penangguhan bayaran balik pinjaman PTPTN.
Hak Pemohon untuk Mengakses dan Membuat Pindaan kepada Data Peribadi

  1. Pemohon hendaklah memastikan data peribadi yang diberikan kepada PTPTN bagi maksud inisiatif penangguhan bayaran balik pinjaman PTPTN adalah tepat, lengkap, tidak mengelirukan dan terkini. Sebarang perubahan terkini kepada data peribadi hendaklah dimaklumkan kepada PTPTN dengan segera

  1. Pemohon mempunyai hak untuk —

a)  memeriksa sama ada PTPTN memang atau menggunakan data peribadi pemohon bagi maksud inisiatif penangguhan bayaran balik pinjaman PTPTN dan memohon untuk mengakses data tersebut;

b)  memohon untuk meminda mana-mana Data Peribadi anda yang didapati   tidak tepat, tidak lengkap, mengelirukan atau tidak terkini dan dibekalkan dengan sesalinan data peribadi yang terkini;

c)  memaklumkan secara bertulis apa-apa bantahan terhadap penggunaan data peribadi pemohon untuk apa-apa tujuan dan PTPTN tidak akan menggunakan data peribadi tersebut untuk tujuan yang tidak dibenarkan oleh pemohon; dan

d)  memaklumkan secara bertulis tentang penarikan balik sepenuhnya  atau sebahagiannya persetujuan untuk perkongsian apa-apa data peribadi pemohon.

Pelbagai

  1. Dengan membuat permohonan melalui Portal Penangguhan Bayaran Balik Pinjaman PTPTN, pemohon dianggap telah bersetuju untuk membenarkan PTPTN untuk mengumpul, merekod, memegang, menyimpan, memproses dan berurusan dengan data peribadi pemohon melainkan jika persetujuan untuk perkongsian apa-apa data peribadi ditarik balik di bawah subperenggan 13(d).
  2. PTPTN boleh meminda terma-terma dalam Notis Perlindungan Data Peribadi ini pada bila-bila masa dengan meletakkan Notis Perlindungan Data Peribadi yang dikemas kini di laman web atau portal. Pemohon adalah tertakluk kepada apa-apa pindaan tersebut.

  1. Sebarang pertanyaan, pemohon boleh menghubungi PTPTN melalui salah satu kaedah berikut:

    a) Pusat Panggilan (Careline) di talian 03 2193 3000;

    b) Live chat di Portal PTPTN (https://www.ptptn.gov.my);

    c) Eksekutif Pemasaran (https://https://www.ptptn.gov.my/pejabat-cawangan-ptptn/);

    d) e-Aduan PTPTN (https://eaduan.ptptn.gov.my); dan

    e) Media sosial (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional)