Pengenalan
Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sentiasa berusaha untuk memastikan kelangsungan dana pinjaman pendidikan demi manfaat generasi masa hadapan. Namun begitu, kadar bayaran balik yang rendah daripada sebahagian peminjam menimbulkan kebimbangan terhadap kelestarian kewangan PTPTN.
Sehingga kini, sejumlah besar peminjam dikenal pasti gagal melunaskan hutang pinjaman mereka, khususnya dalam kalangan mereka yang telah mempunyai tunggakan melebihi 10 tahun. Pelbagai usaha telah dilakukan oleh PTPTN untuk membantu mereka membuat bayaran tunggakan tanpa membebankan, namun mereka masih gagal tampil untuk berunding. Situasi ini akan memberi kesan jangka panjang kepada generasi akan datang, sistem pendidikan tinggi dan pembangunan modal insan negara jika tidak ditangani segera.
Sehubungan itu, PTPTN akan menggunakan khidmat Agensi Perunding Hutang (APH) sebagai salah satu langkah strategik untuk menangani isu peminjam culas tegar. Perkhidmatan ini akan melibatkan peminjam yang mempunyai tunggakan melebihi 120 bulan dan/ atau telah direkodkan penghakiman oleh pihak Mahkamah. Tindakan ini selaras dengan hasrat kerajaan untuk memperkukuh kutipan bayaran balik pinjaman pendidikan PTPTN.
Pelantikan APH
PTPTN amat menitikberatkan keselamatan maklumat dan hak peminjam. Pelantikan APH adalah berasaskan Seksyen 35 Akta PTPTN 1997 (Akta 566) yang memperuntukkan kuasa kepada PTPTN untuk melantik mana-mana ejen, perunding atau individu bagi menjalankan tugas atau fungsi berkaitan termasuklah kutipan hutang.
Sekiranya peminjam menerima panggilan atau dihubungi oleh individu yang mengaku sebagai wakil APH, peminjam disarankan untuk menyemak kesahihan identiti pihak tersebut. Sekiranya terdapat sebarang keraguan, peminjam boleh menghubungi Careline PTPTN di talian 03-2193 3000 atau Live Chat di Portal PTPTN untuk membuat semakan atau aduan.
Penyerahan Maklumat Peminjam Kepada APH
Sebelum maklumat peminjam diserahkan kepada APH, PTPTN akan mengeluarkan notis makluman kepada peminjam melalui e-mel yang didaftarkan di dalam rekod PTPTN. Peminjam diberikan tempoh selama 14 hari untuk membuat bayaran balik tunggakan pinjaman atau hadir ke PTPTN untuk rundingan.
Sekiranya peminjam gagal bertindak dalam tempoh tersebut, akaun mereka akan diserahkan kepada APH untuk tindakan lanjut. Setelah akaun diserahkan, semua pengurusan akaun berkaitan pinjaman peminjam akan dilaksanakan sepenuhnya melalui APH dan peminjam tidak lagi dibenarkan berunding secara terus dengan PTPTN.
Kenaan Bayaran Fi Perkhidmatan & Penstrukturan Semula Pinjaman
Setiap bayaran yang dikutip oleh APH akan dikenakan fi yang ditanggung sepenuhnya oleh peminjam.
Penstrukturan semula pinjaman hanya dibenarkan setelah peminjam berjaya menjelaskan sekurang-kurangnya 50% daripada jumlah tunggakan hutang. Peminjam perlu membuat permohonan penstrukturan semula pinjaman dan melengkapkan semua proses penstrukturan sehingga memulangkan dokumen perjanjian lengkap melalui aplikasi web myPTPTN. Seterusnya, akaun peminjam akan dikeluarkan daripada APH dan diuruskan oleh PTPTN semula.
Saluran Rasmi Bayaran Balik Pinjaman
Sebarang bayaran balik perlu dibuat melalui saluran rasmi PTPTN sahaja. Bagi transaksi yang lebih cepat, mudah dan selamat, peminjam digalakkan untuk membuat bayaran balik melalui myPTPTN. APH tidak dibenarkan menerima sebarang bayaran secara tunai daripada peminjam. Selepas bayaran dilakukan, peminjam perlu menyerahkan bukti pembayaran kepada APH untuk tujuan pengesahan dan rekod.
Carta Alir Proses Pelaksanaan APH
Carta alir ini disediakan untuk memudahkan pemahaman peminjam mengenai setiap langkah yang terlibat bagi memberi gambaran yang lebih jelas tentang tatacara pelaksanaan APH oleh PTPTN.
Kesimpulan
Pelaksanaan APH oleh PTPTN adalah satu inisiatif tegas dan berstruktur dalam menangani isu peminjam culas yang memberi kesan kepada sistem pembiayaan pendidikan negara. Melalui pelantikan ini, PTPTN berharap dapat meningkatkan keberkesanan kutipan pinjaman secara profesional tanpa mengabaikan kebajikan peminjam.
Oleh itu, peminjam digalakkan untuk mengambil tindakan proaktif segera setelah menerima notis daripada PTPTN, sama ada dengan membuat bayaran atau hadir ke pejabat PTPTN untuk rundingan sebelum akaun pinjaman mereka diserahkan kepada APH. Komitmen membayar balik pinjaman bukan sekadar satu kewajipan undang-undang, malah satu tanggungjawab moral demi masa depan pendidikan generasi akan datang.
Baca Soalan Lazim APH.