Permohonan Pinjaman

Skim Pinjaman Pendidikan PTPTN diwujudkan bagi tujuan untuk memberi pinjaman pendidikan kepada pelajar yang mengikuti pengajian di Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) tempatan. Pinjaman pendidikan ini akan membolehkan pelajar membiayai sepenuh atau sebahagian yuran pengajian dan juga kos sara hidup sepanjang tempoh pengajian. Sekali gus, membuka lebih banyak peluang kepada semua golongan pelajar untuk melanjutkan pengajian di peringkat pendidikan tinggi.

Kemudahan pinjaman pendidikan PTPTN adalah terbuka kepada pelajar yang menyambung pengajian di Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) dan Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS) tempatan sahaja. Ianya selaras dengan Seksyen 2, Akta Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional 1997 (Akta 566) iaitu Institusi Pendidikan Tinggi yang ditubuhkan di bawah:

  • Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971;

  • Akta Institut Teknologi MARA 1976;

  • Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996;

  • Politeknik yang ditubuhkan dan disenggarakan oleh Menteri di bawah Akta Pendidikan 1996; dan

  • Mana-mana institusi pendidikan tinggi lain yang ditubuhkan atau disifatkan telah ditubuhkan di bawah Akta Pendidikan 1996 dan yang ditentukan oleh Menteri sebagai suatu institusi pendidikan tinggi.

 

Skop Pinjaman Pendidikan

Skop pinjaman pendidikan mengikut peringkat pengajian bagi IPTA/ IPTS/ Politeknik adalah seperti berikut:

PERINGKAT PENGAJIAN KATEGORI IPT YANG DIBIAYAI

Diploma Sepenuh Masa

IPTA, Politeknik dan IPTS

Diploma Separuh Masa

IPTA, Politeknik dan IPTS*

Diploma PJJ

IPTA

Diploma Lanjutan

IPTA dan Politeknik

Ijazah Pertama Sepenuh Masa

IPTA dan IPTS

Ijazah Pertama Separuh Masa

IPTA dan IPTS*

Sarjana Sepenuh Masa/ Separuh Masa/ PJJ

IPTA

Doktor Falsafah Sepenuh Masa/ Separuh Masa/ PJJ

IPTA

Kursus Profesional Sepenuh Masa/ Separuh Masa/ PJJ

IPTA

Nota : * Pinjaman pendidikan dikhususkan kepada pelajar IPTS di UNITEM, UNITAR, Wawasan Open University dan Asia E University.

Syarat-syarat permohonan pinjaman pendidikan adalah seperti berikut:

  1. Warganegara Malaysia;

  2. Berumur tidak melebihi 45 tahun pada tarikh memohon;

  3. Mendapat tawaran ke IPTA/ IPTS dan Politeknik dengan memenuhi syarat kelayakan masuk yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia dan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA);

  4. Kursus yang diikuti oleh pelajar IPTA/ IPTS dan Politeknik mestilah mendapat kelulusan daripada Kementerian Pendidikan Malaysia dan berdaftar dengan PTPTN;*

  5. Bagi pelajar-pelajar IPTS, kursus yang diikuti mestilah mendapat Sijil Perakuan Akreditasi daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan masih di dalam tempoh sah laku semasa tarikh memohon;

  6. Bagi pelajar yang mempunyai kelayakan berbeza pengesahan perlu diperolehi daripada jabatan atau agensi sebagaimana dinyatakan di atas;

  7. Baki tempoh pengajian semasa membuat permohonan hendaklah tidak kurang dari satu (1) tahun;

  8. Telah membuka akaun SSPN-i/ SSPN-i Plus**.

* Hanya kursus yang diluluskan tajaan PTPTN akan didaftarkan dan disenaraikan dalam Portal Permohonan Online PTPTN. Pihak IPT perlu membuat permohonan kepada PTPTN sekiranya ingin mendapatkan tajaan pinjaman PTPTN.

** Hanya akaun SSPN-i yang mempunyai 15 digit sahaja yang boleh membuat permohonan PTPTN. Sila hubungi cawangan PTPTN berhampiran untuk menyemak nombor akaun SSPN-i 15 digit.

Peringkat jumlah pinjaman ditentukan berdasarkan kelayakan di bawah:

PERINGKAT PINJAMAN KELAYAKAN

Maksimum

Sekiranya pelajar atau penjaga pelajar disenaraikan sebagai penerima Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M)

75% daripada pinjaman maksimum

Pendapatan keluarga tidak melebihi RM8,000 (tiada dalam data BR1M)

50% daripada pinjaman maksimum

Pendapatan keluarga melebihi RM8,000 (tiada dalam data BR1M)

Klik di sini bagi mengetahui jumlah pinjaman pendidikan.

Pengeluaran pinjaman pertama dibuat setelah pelajar memulangkan dokumen perjanjian lengkap kepada PTPTN.

Pengeluaran pinjaman kepada pelajar bagi semester berikutnya dibuat berdasarkan syarat-syarat berikut:

  1. Masih meneruskan pengajian pada peringkat, jurusan dan IPT yang diluluskan;

  2. Lulus peperiksaan pada semester sebelumnya dengan keputusan Purata Nilai Gred (PNG) 2.0 ke atas; dan

Adalah dimaklumkan PTPTN tidak terlibat di dalam urusan pemotongan yuran pengajian IPT. Amaun pinjaman akan dikreditkan terus ke akaun pelajar mengikut semester tertakluk kepada pengesahan yang diberikan oleh IPT. Semakan bayaran pinjaman boleh dilakukan di Penyata Pinjaman dan penyata akaun bank peminjam. Sebarang pertanyaan melibatkan pemotongan yuran pengajian perlu dirujuk kepada IPT masing-masing.

Skim pinjaman Pendidikan PTPTN dilindungi oleh takaful berkelompok sekiranya berlaku kematian atau ilat kekal menyeluruh kepada peminjam.

Di bawah konsep perlindungan takaful berkelompok, amaun pinjaman yang dikeluarkan oleh PTPTN kepada peminjam akan mendapat perlindungan sepenuhnya daripada syarikat pengendali takaful.

Setiap peminjam dikehendaki menanggung segala kos perlindungan takaful sebagaimana termaktub dalam perjanjian pinjaman. Bagi penerima biaya yang masih belajar, kaedah potongan sumbangan takaful dibuat pada setiap kali pengeluaran pinjaman. Manakala bagi penerima biaya yang telah menamatkan pengajian dan potongan sumbangan takaful didapati tidak mencukupi atau berbaki negatif, amaun tersebut akan didebitkan sebagai pinjaman tambahan.

Pinjaman pendidikan akan diberhentikan atas sebab-sebab berikut:

  1. Gagal/ berhenti pengajian pada peringkat/ jurusan/ IPT yang diluluskan semasa memohon pinjaman pendidikan;

  2. Pelajar membuat pembatalan pinjaman pendidikan PTPTN;

  3. Pemalsuan maklumat semasa permohonan; atau

  4. Penerima biaya diisytihar muflis.