Potongan Pinjaman Kepada Pelajar Daripada Isirumah B40 Dan M40 Yang Mendapat Keputusan Kelas Pertama:

Potongan pinjaman bermaksud bayaran balik pinjaman peringkat Ijazah akan dikecualikan sekiranya pelajar B40 dan M40 mendapat keputusan Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama.

Peminjam yang menamatkan pengajian mulai Januari 2019 yang memenuhi syarat-syarat berikut layak memohon insentif ini:

  1. Mengikuti pengajian secara sepenuh masa;

  2. Berjaya menamatkan kursus/program dalam tempoh pengeluaran pinjaman yang ditetapkan di dalam Surat Tawaran Pinjaman Pendidikan/Pinjaman Semula Pendidikan;

  3. Pinjaman pendidikan PTPTN tidak bertindih dengan sebarang penajaan lain;

  4. Kursus/Program yang diikuti oleh pelajar di Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) hendaklah mendapat Sijil Perakuan Akreditasi Penuh daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dalam tempoh pengeluaran pinjaman;

  5. Pelajar dikategorikan daripada keluarga pendapatan isirumah B40 dan M40 berdasarkan maklumat pendapatan ketika menamatkan pengajian.

Pendapatan isi rumah merujuk kepada pendapatan kasar peminjam, ibu dan bapa (sekiranya masih bujang) atau pendapatan kasar peminjam dan pasangan (sekiranya telah berkahwin) semasa tamat pengajian.

Julat pendapatan B40 adalah di bawah RM4,360 dan M40 di antara RM4,360 hingga RM9,619. Definisi B40 dan M40 adalah berdasarkan kajian House Income and Expenditure Survey 2016 yang diterbitkan pada Oktober 2017 oleh Jabatan Perangkaan.

Penentuan Kelas Pertama diberikan oleh senat Institut Pengajian Tinggi (IPT) masing-masing.

Peminjam hendaklah mengemukakan permohonan yang lengkap kepada PTPTN bagi menikmati insentif ini selewat-lewatnya dalam tempoh enam (6) bulan daripada tarikh tamat pengajian.

Dokumen yang perlu disertakan ialah:

  1. Borang Akuan Pelajar bagi Permohonan Pengecualian Bayaran Balik Pinjaman yang telah lengkap diisi.
  2. Salinan Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama yang disahkan.
  3. Salinan transkrip keputusan peperiksaan yang disahkan.
  4. Salinan Sijil Perakuan Akreditasi daripada MQA yang disahkan (Bagi peminjam IPTS).
  5. Surat pengesahan Ijazah Sarjana Muda yang diperolehi adalah setaraf dengan Kelas Pertama (jika tidak dicatatkan perkataan "Kelas Pertama" pada Ijazah).
  6. Salinan slip gaji, penyata cukai, penyata KWSP atau pengesahan pendapatan (bagi yang bekerja sendiri).

Nota:

  • Salinan dokumen sokongan hendaklah disahkan oleh pegawai Bahagian Akademik IPT atau bahagian yang bertanggungjawab mengeluarkan transkrip/ skrol mengikut cawangan IPT peminjam.
  • Cop pengesahan hendaklah mengandungi Nama Pegawai, Jawatan dan Nama Jabatan.