Pelepasan Cukai Kepada Syarikat Yang Membantu Menyelesaikan Baki Pinjaman Pekerja Bagi Tahun Berakhir 2019:

Semua majikan (merujuk kepada pembayar cukai yang mempunyai perniagaan berdaftar termasuk perniagaan tunggal) yang menjalankan perniagaan dan membayar cukai di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967 layak menikmati insentif ini.

Syarat-syarat yang perlu dipenuhi untuk menikmati insentif ini ialah:

  1. Majikan membuat bayaran hutang PTPTN bagi pihak pekerja
  2. Taraf pekerjaan pekerja adalah Sepenuh Masa
  3. Pekerja tidak boleh dikenakan apa-apa bayaran* sebagai balasan kepada pembayaran hutang PTPTN yang telah dijelaskan oleh majikan
    * membayar balik pembayaran kepada PTPTN yang dibuat oleh majikan

Tiada amaun minimum dan maksimum ditetapkan. Majikan layak menikmati potongan cukai ke atas apa-apa jumlah bayaran balik yang telah dijelaskan oleh majikan sama ada bayaran ansuran setiap bulan atau penyelesaian penuh dalam tempoh 1 Januari 2019 hingga 31 Disember 2019.

Majikan perlu membuat bayaran balik melalui Portal PTPTN di www.ptptn.gov.my mulai 1 Januari 2019 hingga 31 Disember 2019.

Resit boleh dicetak sebaik sahaja selesai bayaran dibuat melalui Portal PTPTN. Di samping itu, PTPTN juga akan mengeluarkan penyata bayaran hutang PTPTN pada awal tahun 2020.

Pekerja boleh membuat aduan kepada PTPTN dan akan dipanjangkan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) untuk siasatan. Majikan yang memberikan tuntutan palsu bagi maksud potongan cukai adalah melakukan kesalahan di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967.

Majikan yang membayar pekerja yang merupakan pasangan, anak, cucu dan adik-beradik sendiri tidak layak menikmati insentif ini.

Jumlah bayaran balik yang telah dijelaskan oleh majikan dianggap sebagai sebahagian daripada pendapatan pekerja (perkuisit) dan dikecualikan daripada pengiraan cukai pendapatan individu.