Soalan 1:

Apakah SSPN-i?

Jawapan:

SSPN-i adalah merupakan satu instrumen simpanan yang direka khas oleh PTPTN bagi tujuan pendidikan tinggi. SSPN-i adalah berlandaskan syariah menggunakan konsep 'Wakalah Bil Istithmar'.


Soalan 2:

Apakah objektif SSPN-i?

Jawapan:

Membudayakan tabiat menabung di kalangan warganegara Malaysia bagi tujuan pendidikan tinggi sekaligus mengurangkan kebergantungan kepada pinjaman.


Soalan 3:

Siapakah yang layak untuk membuka akaun SSPN-i?

Jawapan:

SSPN-i terbuka kepada semua warganegara Malaysia berdasarkan tiga kategori had umur seperti berikut:

  • Kategori 1   : Akaun dibuka oleh ibu bapa/ penjaga atau warganegara Malaysia yang lain untuk mana-mana warganegara Malaysia sebelum mencapai umur 29 tahun.
  • Kategori 2   : Warganegara yang berumur 18 tahun ke atas mempunyai pilihan sama untuk mengekalkannya atau membuka akaun diri sendiri.
  • Kategori 3   : Warganegara yang berumur 29 tahun ke atas, perlu membuka akaun diri sendiri.

Soalan 4:

Bagaimanakah caranya untuk membuka akaun SSPN-i?

Jawapan:

Akaun SSPN-i boleh dibuka di kaunter PTPTN dan kaunter ejen SSPN-i di seluruh negara dengan jumlah simpanan minimum RM20.00. Tiada dokumen perlu disertakan, bagaimanapun pemohon hendaklah mengisi nombor kad pengenalan pendeposit/ penerima manfaat  pada borang pembukaan akaun. Bagi pembukaan akaun untuk anak angkat di bawah jagaan yang sah, Surat Akuan Berkanun/ Sijil Anak Angkat hendaklah disertakan bagi menikmati keistimewaan pelepasan taksiran cukai dan Geran Sepadan.


Soalan 5 :

Apakah keistimewaan menyimpan dengan SSPN-i?

Jawapan :

SSPN-i menawarkan keistimewaan berikut:

  1. Pelepasan taksiran cukai hingga RM6,000.00 setahun berdasarkan simpanan bersih tahun semasa.
  2. Perlindungan takaful secara percuma ke atas pendeposit yang mempunyai simpanan RM1,000.00 dan ke atas.
  3. Kadar dividen yang kompetitif dan dikecualikan cukai pendapatan.
  4. Pemberian Geran Sepadan sehingga RM10,000.00 untuk satu keluarga yang layak.*
  5. Simpanan dijamin oleh kerajaan.
  6. Layak memohon pinjaman pendidikan PTPTN.
  7. Kemudahan menyimpan di cawangan PTPTN dan lebih 3000 cawangan ejen SSPN-i

Nota: *Tertakluk kepada terma dan syarat


Soalan 6:

Adakah akaun SSPN-i boleh dibuka pada bila-bila masa?

Jawapan :

Ya. Akaun SSPN-i boleh dibuka pada bila-bila masa tertakluk kepada syarat-syarat pembukaan akaun.

 


Soalan 7:

Bolehkah penerima manfaat mempunyai lebih daripada satu akaun?

Jawapan:

Seseorang penerima manfaat boleh mempunyai lebih daripada satu akaun iaitu akaun yang dibuka oleh ibu atau bapa atau penjaga atau mana-mana warganegara Malaysia yang lain. Penerima manfaat yang telah mencapai umur 18 tahun juga boleh membuka akaun diri sendiri.


Soalan 8:

Adakah pendeposit dan penerima manfaat mesti terdiri dari ahli keluarga terdekat?

Jawapan:

Tidak semestinya kerana mana-mana warganegara Malaysia boleh membuka akaun untuk warganegara Malaysia yang lain.


Soalan 9:

Sekiranya penerima manfaat telah mencapai umur 29 tahun, adakah akaun SSPN-i perlu ditukar ke akaun diri sendiri?

Jawapan:

Ya, penutupan akaun akan dibuat oleh PTPTN dan penerima manfaat tersebut hendaklah membuka akaun diri sendiri sekiranya ingin meneruskan simpanan dalam SSPN-i.


Soalan 10:

Berapa lama proses permohonan pembukaan akaun SSPN-i?

Jawapan:

Proses permohonan pembukaan akaun SSPN-i mengambil masa tidak lebih 14 hari bekerja selepas penerimaan dokumen permohonan yang lengkap.  Untuk urusan yang lebih cepat dan mudah, digalakkan membuat pembukaan akaun di cawangan PTPTN atau di kaunter  Maybank, Bank Islam, Agrobank,Bank Rakyat dan RHB Bank. PTPTN akan menghantar Slip Akuan Pembukaan Akaun SSPN-i kepada pendeposit.


Soalan 11:

Adakah fungsi Slip Akuan Pembukaan Akaun SSPN-i?

Jawapan:

Slip Akuan Pembukaan Akaun SSPN-i i  adalah sebagai pengesahan pembukaan akaun SSPN-i sahaja.


Soalan 12:

Bagaimanakah cara untuk mendapatkan nombor akaun SSPN-i  sekiranya slip akuan telah hilang?

Jawapan:

Pendeposit boleh menghubungi Hotline PTPTN di talian 03-2193 3000 atau mengunjungi cawangan PTPTN berdekatan untuk mendapatkan nombor akaun SSPN-i.Pendeposit juga boleh memohon cetakan semula slip akuan bagi memudahkan urusan.


Soalan 13:

Apakah keistimewaan simpanan secara potongan gaji?

Jawapan:

(i)    Memastikan simpanan secara tetap dan konsisten.

(ii)   Menjimatkan masa dan kos tanpa perlu ke cawangan PTPTN atau ejen SSPN-i.

(iii)  Menyemai sikap jimat cermat serta melahirkan sikap budaya menabung.


Soalan 14:

Bagaimanakah caranya untuk memulakan/ menamatkan simpanan secara potongan gaji?

Jawapan:

Pendeposit perlu mengisi dan melengkapkan Borang Kebenaran/ Penamatan Potongan Gaji Bulanan SSPN-i yang boleh didapati di kaunter PTPTN dan ejen SSPN-i atau mencetak borang tersebut melalui Portal Rasmi PTPTN. Borang yang telah lengkap diisi hendaklah dihantar kepada majikan dan salinan kepada PTPTN.


Soalan 15:

Bolehkah simpanan SSPN-i digunakan untuk membuat bayaran balik pinjaman pendidikan PTPTN atau agensi lain?

Jawapan:

Pendeposit boleh mengeluarkan simpanan SSPN-i untuk apa-apa tujuan pada bila-bila masa.


Soalan 16:

Adakah simpanan SSPN-i dipotong secara automatik sekiranya peminjam tidak membuat bayaran balik pinjaman pendidikan PTPTN mengikut tempoh yang telah ditetapkan?

Jawapan:

Tidak. SSPN-i  dan Skim Pinjaman Pendidikan adalah skim yang berbeza walaupun kedua-duanya di bawah PTPTN.


Soalan 17:

Adakah simpanan SSPN-i boleh dipindahkan ke akaun SSPN-i  yang lain?

Jawapan:

Boleh. Pindahan boleh dilakukan berdasarkan situasi berikut:

i)     Pindahan simpanan daripada akaun A ke akaun B atas pendeposit yang sama.

ii)    Pindahan simpanan daripada akaun B ke akaun C atas pendeposit yang berbeza.

iii)   Pindahan lebihan bayaran balik pembiayaan ke akaun SSPN-i.

iv)   Pindahan simpanan SSPN-i  untuk bayaran balik pembiayaan.

Borang Pindahan Deposit SSPN-i /Lebihan Bayaran Balik Pembiayaan boleh didapati di cawangan PTPTN atau dimuat turun melalui Portal Rasmi PTPTN.Pemohon hendaklah hadir sendiri ke cawangan PTPTN sekiranya melibatkan pindahan ke akaun pendeposit/ peminjam yang lain .


Soalan 18:

Bagaimanakah untuk mengetahui baki simpanan SSPN-i?

Jawapan:

Penyata Akaun SSPN-i boleh disemak dan dicetak di Portal Rasmi PTPTN. Semakan juga boleh dilakukan dengan menghubungi Hotline PTPTN di talian 03-2193 3000 atau hadir ke cawangan PTPTN berdekatan dan cawangan Maybank, RHB Bank dan Bank Rakyat.


Soalan 19:

Bilakah simpanan SSPN-i boleh dikeluarkan?

Jawapan:

Simpanan SSPN-i boleh dikeluarkan pada bila-bila masa tertakluk kepada peraturan yang ditetapkan oleh PTPTN dari semasa ke semasa.


Soalan 20:
Bolehkah pengeluaran SSPN-i dilakukan oleh orang lain selain pendeposit?

Jawapan:
Tidak.


Soalan 21:

Adakah caj dikenakan jika ingin mengeluarkan simpanan SSPN-i?

Jawapan:

Tiada caj dikenakan.


Soalan 22:

Bagaimanakah caranya untuk mengeluarkan simpanan SSPN-i?

Jawapan:

Pendeposit hendaklah mengisi dan melengkapkan dokumen berikut serta mengemukakan melalui ejen SSPN-i atau diposkan terus kepada PTPTN:

(i)    Slip Pengeluaran Deposit/ Tuntutan Geran Sepadan atau Borang Pengeluaran/ Penutupan Akaun/   Tuntutan Geran Sepadan.

(ii)   Nombor akaun bank peribadi pendeposit jika ingin wang simpanan tersebut dikreditkan ke akaun pendeposit.


Soalan 23:

Berapa lama proses pengeluaran deposit/ penutupan akaun?

Jawapan:

Proses permohonan pengeluaran deposit/ penutupan akaun mengambil masa tidak lebih 14 hari bekerja selepas penerimaan dokumen permohonan yang lengkap.


Soalan 24:

Sekiranya pendeposit meninggal dunia, bagaimanakah proses penutupan akaun SSPN-i?

Jawapan:

Sekiranya simpanan dalam akaun SSPN-i kurang daripada RM3,000, waris hendaklah mengisi dan melengkapkan dokumen berikut serta mengemukakan melalui ejen SSPN-i atau diposkan terus kepada PTPTN.

(i)    Borang Penutupan Akaun atau Borang Pengeluaran/Penutupan Akaun/Tuntutan Geran Sepadan.

(ii)   Salinan MyKad/ Kad Polis/ Kad Tentera waris.

(iii)  Salinan Sijil Kematian pendeposit.

(iv)  Borang Pengesahan Waris kepada pendeposit SSPN-i (si mati).

(v)   Borang Bon Tanggung Rugi yang disediakan oleh PTPTN serta dimatikan Setem Hasil bernilai RM10.

(vi)  Nombor akaun bank peribadi waris sekiranya ingin wang simpanan tersebut dikreditkan ke akaun waris.

 

Manakala sekiranya simpanan dalam akaun SSPN-i berjumlah RM3,000 dan ke atas, waris hendaklah mengisi dan melengkapkan dokumen berikut serta mengemukakan melalui ejen SSPN-i atau diposkan terus kepada PTPTN.

 

(i)    Borang Penutupan Akaun atau Borang Pengeluaran/ Penutupan Akaun/ Tuntutan Geran Sepadan.

(ii)   Salinan MyKad/ Kad Polis/ Kad Tentera waris yang disahkan oleh pihak yang diberi kuasa.

(iii)  Salinan Sijil Kematian pendeposit.

(iv)  Mengemukakan salah satu dokumen berikut daripada mana-mana badan yang dilantik (asal dan salinan):

  • Surat Kuasa Mentadbir/ Geran Probet (Petisyen di bawah Akta Probet dan Pentadbiran 1959) yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Malaya; atau
  • Surat Kuasa Mentadbir yang dikeluarkan oleh Pejabat Tanah dan Daerah; atau
  • Surat Kuasa Pentadbiran yang dikeluarkan oleh Amanah Raya Berhad Seksyen 17 Akta Perbadanan Amanah Raya 1995 (Akuan/ Arahan).

Soalan 25:

Siapakah yang layak mendapat insentif pelepasan taksiran cukai?

Jawapan:

Ibu bapa dan ibu bapa angkat/ penjaga yang sah dari segi undang-undang yang menyimpan dalam akaun SSPN-i untuk manfaat anak diberi pelepasan sehingga maksimum RM6,000.00 setahun berdasarkan jumlah simpanan bersih tahun semasa.

Kategori kelayakan adalah seperti berikut:

  • Taksiran Berasingan  : Pelepasan taksiran cukai sehingga maksimum RM6,000 SEORANG setahun.
  • Taksiran Bersama       :  Pelepasan taksiran cukai sehingga maksimum RM6,000 setahun.

Individu yang menyimpan untuk diri sendiri tidak diberi pelepasan taksiran cukai.


Soalan 26:

Bagaimana caranya untuk melayakkan pendeposit mendapat insentif pelepasan taksiran cukai?

Jawapan:

Insentif pelepasan taksiran cukai diberikan berdasarkan jumlah simpanan bersih tahun semasa. Pendeposit hendaklah membuat simpanan dalam tahun taksiran. Jumlah simpanan bersih tahun taksiran diperoleh selepas ditolak dengan pengeluaran.


Soalan 27:

Berapa had maksimum insentif pelepasan taksiran cukai?

Jawapan:

Had maksimum adalah sehingga RM6,000 setahun.


Soalan 28:

Bagaimana caranya untuk mengetahui amaun layak insentif pelepasan taksiran cukai?

Jawapan:

Pendeposit boleh menyemak atau mencetak penyata ringkasan akaun SSPN-i untuk insentif pelepasan taksiran cukai yang disediakan melalui e- SSPN-i di Portal Rasmi PTPTN.


Soalan 29:
Apakah  yang dimaksudkan insentif Geran Sepadan?

Jawapan:

Geran Sepadan adalah insentif kewangan dalam bentuk tunai yang ditawarkan untuk menarik orang ramai khususnya golongan berpendapatan rendah membuat tabungan bagi tujuan pendidikan tinggi anak-anak. Pemberian Geran Sepadan bertujuan membantu keperluan anak-anak (penerima manfaat) yang berjaya melanjutkan pengajian di peringkat pendidikan tinggi.


Soalan 30:
Bagaimana kaedah tuntutan dan apakah dokumen yang diperlukan untuk memohon Geran Sepadan?

Jawapan :
Pendeposit hendaklah mengisi Borang Pengeluaran/Penutupan Akaun/ Tuntutan Geran Sepadan dan mengemukakan bersama dokumen berikut :

  1. Pengesahan pendapatan/ salinan slip gaji/ salinan Penyata Pencen/ salinan Kad Pesara yang menyatakan pencen bulanan pendeposit dan pasangan.
  2. Salinan MyKad pasangan/ Sijil Kematian/Surat Cerai.
  3. Salinan surat tawaran mendaftar masuk ke IPT dan resit bayaran daftar masuk ke IPT.
  4. Surat pengesahan aktif belajar daripada IPT/ agensi yang berkenaan dan hendaklah mencatatkan kursus pengajian (sekiranya tidak memenuhi item iii) Sekiranya penerima manfaat mendapat tajaan pinjaman pendidikan PTPTN, dokumen iii dan iv tidak diperlukan (PTPTN hendaklah mencetak maklumat pinjaman daripada sistem).

Soalan 31:
Bilakah permohonan Geran Sepadan boleh dibuat?

Jawapan:

Permohonan Geran Sepadan boleh dibuat pada bila-bila masa sepanjang tempoh pengajian penerima manfaat dengan syarat akaun SSPN-i  semasa permohonan adalah aktif dan umur penerima manfaat belum mencapai 29 tahun semasa permohonan dibuat. Tuntutan Geran Sepadan selepas penutupan akaun tidak dibenarkan.


Soalan 32:

Bagaimana ukuran pendapatan keluarga ditentukan sekiranya saya seorang pesara atau bekerja sendiri?

Jawapan:
Ukuran pendapatan boleh ditentukan dengan mengemukakan penyata pencen atau apa-apa pengesahan pendapatan lain. Pengesahan dokumen hendaklah disahkan oleh pegawai yang diberi kuasa seperti senarai di bawah:

  •  Wakil rakyat/ Senator
  • Pegawai Kerajaan Kumpulan Pengurusan Dan Profesional
  • Pengamal Undang-Undang
  • Jaksa Pendamai
  • Pengetua/ Guru Besar (sekolah kerajaan sahaja)
  • Pegawai Polis berpangkat ASP dan ke atas/ Pegawai Tentera berpangkat Kapten atau setaraf ke atas
  • Ketua Kampung/ Penggawa/ Penghulu/ Ketua Masyarakat/ Sidang/ Pegawai Pembangunan Mukim/ Pengerusi JKKK (Jawatankuasa Kemajuan Dan Keselamatan Kampung)
  • Untuk Sabah dan Sarawak – Ketua Kaum/ Ketua Anak Negeri/ Kapitan/ Pemanca/ Pegawai Taman Sabah

Soalan 33:

Jika tuntutan Geran Sepadan dibuat dalam tempoh kurang setahun dari tarikh pembukaan akaun, adakah pendeposit layak dipertimbangkan pemberian Geran Sepadan?

Jawapan:

Layak. Bagi pembukaan akaun SSPN-i tempoh simpanan yang kurang daripada setahun, token bernilai RM100 akan diberikan sebagai dorongan serta menarik minat mereka supaya menabung dalam SSPN-i.