Di bawah konsep perlindungan takaful berkelompok ini, amaun pinjaman/pembiayaan yang dikeluarkan oleh PTPTN kepada semua peminjam/penerima biaya akan mendapat perlindungan sepenuhnya daripada syarikat pengendali takaful yang dilantik oleh PTPTN.
Setiap peminjam/ penerima biaya dikehendaki menanggung segala kos perlindungan takaful sebagaimana termaktub dalam perjanjian pinjaman/ pembiayaan. Bagi peminjam/ penerima biaya yang masih belajar, kaedah potongan sumbangan takaful dibuat pada setiap kali pengeluaran pinjaman/ pembiayaan. Manakala bagi peminjam/ penerima biaya yang telah menamatkan pengajian dan potongan sumbangan takaful didapati tidak mencukupi atau berbaki negatif, caj tambahan bulanan akan didebitkan ke dalam akaun peminjam/ penerima biaya sebagai pinjaman/ pembiayaan tambahan.
Berkuat kuasa mulai 1 Januari 2012, syarikat pengendali takaful telah menetapkan jumlah potongan sumbangan takaful bagi Skim Pinjaman/ Pembiayaan Pendidikan PTPTN mengikut kelompok tajaan adalah seperti berikut:-
- Penerima biaya baru (tajaan 2012 dan ke atas) adalah atas kadar RM0.74 setahun bagi setiap pembiayaan RM1,000.00 dengan mengambil kira jumlah keseluruhan pembiayaan yang diluluskan, tempoh pengajian dan tempoh bayaran balik yang telah ditetapkan; dan
- Peminjam/ penerima biaya sedia ada (tajaan 1997 – 2011) adalah atas kadar RM0.40 setahun bagi setiap pinjaman/ pembiayaan RM1,000.00 dengan mengambil kira pengeluaran pinjaman/ pembiayaan, tempoh pengajian dan tempoh bayaran balik yang telah ditetapkan