(I) PERMOHONAN PEMBIAYAAN PENDIDIKAN

 

Soalan 1:

Saya sedang belajar di semester kedua dan ingin memohon pinjaman pendidikan PTPTN. Bolehkah saya mendapat pinjaman bermula semester pertama?

Jawapan:

Tidak boleh. Tempoh pinjaman pendidikan diluluskan adalah berdasarkan semester semasa permohonan dibuat. Sekiranya anda memohon pada semester kedua, pinjaman pendidikan akan diluluskan mulai semester kedua hingga tamat tempoh pengajian lazim anda.

 

Soalan 2:

Saya telah menamatkan pengajian peringkat Ijazah Pertama dengan mendapat pinjaman pendidikan PTPTN. Sekiranya saya ingin mengikuti pengajian dalam bidang lain di peringkat Diploma, bolehkah saya memohon pinjaman pendidikan PTPTN?

Jawapan:

Tidak boleh. Pinjaman pendidikan kali kedua hanya akan dipertimbangkan kepada pelajar-pelajar yang meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

 

Soalan 3:

Saya telah berhenti/ gagal pengajian di IPT dan ingin menyambung semula pengajian pada peringkat yang sama. Adakah saya masih boleh memohon pinjaman pendidikan PTPTN?

Jawapan:

Boleh, dengan syarat anda telah menyelesaikan sepenuhnya jumlah pinjaman pendidikan yang telah diterima sebelum ini (jumlah keseluruhan pinjaman yang perlu diselesaikan adalah tertakluk kepada pengesahan daripada PTPTN).

 

Soalan 4:

Saya telah berhenti/ gagal pengajian di IPT dan telah menyambung semula pengajian pada peringkat yang sama sehingga tamat pengajian tanpa pinjaman pendidikan PTPTN. Adakah saya perlu menjelaskan terlebih dahulu hutang pinjaman terdahulu sekiranya ingin menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi?

Jawapan:

Anda tidak perlu menyelesaikan hutang pinjaman terdahulu sekiranya melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi daripada pinjaman terdahulu. Bayaran balik hutang pinjaman terdahulu boleh ditangguhkan sehingga selesai pengajian baharu.

 

Soalan 5:

Saya  ingin  mengikuti  pengajian  pada  peringkat  Sarjana/  Doktor  Falsafah  (PhD). Kursus Profesional di IPTS, bolehkah saya memohon pinjaman pendidikan PTPTN?

Jawapan:

Tidak boleh. PTPTN hanya menyediakan pinjaman pendidikan kepada pelajar-pelajar yang mengikuti pengajian di peringkat Sarjana/ Doktor Falsafah (PhD) Kursus Profesional di Universiti Awam sahaja.

 

Soalan 6:

Saya ditawarkan mengikuti pengajian peringkat separuh masa/ PJJ/ ePJJ di IPT tempatan. Adakah saya layak mendapat pinjaman pendidikan PTPTN?

Jawapan:

Ya, anda layak memohon sekiranya mengikuti pengajian separuh masa di Universiti Awam dan Politeknik. Bagi pengajian di IPTS, pinjaman PTPTN hanya disediakan di IPT berikut:-

i)         Universiti Terbuka Malaysia (OUM)

ii)         Universiti Terbuka Wawasan

iii)         Asia E Universiti

iv)         Universiti Antarabangsa UNITAR (UNITAR)

v)         Universiti Tun Abdul Razak (UniRazak)

 

Soalan 7:

Saya ditawarkan mengikuti pengajian 'foundation' di IPTS. Adakah saya layak membuat permohonan pinjaman pendidikan PTPTN?

Jawapan:

Ya, jika anda mengikuti pengajian di:

i)         Universiti Multimedia (MMU)

ii)         Universiti Tenaga Nasional (UNITEN)

iii)         Universiti Teknologi Petronas (UTP)

iv)         Universiti Tun Abdul Razak (UNIRAZAK)

v)         Universiti Antarabangsa UNITAR (UNITAR)

 

Soalan 8:

Bolehkah saya memohon pinjaman pendidikan PTPTN bagi program 2+1 (twinning program) yang dijalankan secara usaha sama dengan IPT luar negara. Program pengajian ini dijalankan selama 2 tahun di dalam Negara dan 1 tahun di luar negara?

Jawapan:

Boleh. Walau bagaimanapun, PTPTN hanya memberi pinjaman pendidikan bagi tempoh pengajian yang diikuti di dalam negara sahaja.

 

 

(II) TAWARAN PINJAMAN PENDIDIKAN

 

Soalan 9:

Saya telah mencetak dokumen tawaran. Di mana dan bilakah saya perlu menghantar dokumen tersebut?

Jawapan:

Serahan dokumen tawaran hendaklah dibuat di IPT masing-masing atau Ibu Pejabat PTPTN di Kuala Lumpur dalam tempoh 30 hari daripada tarikh kelulusan.

 

Soalan 10:

Apakah syarat-syarat permohonan pinjaman kali kedua?

Jawapan:

Syarat pinjaman kali kedua adalah seperti berikut:-

i) Melanjutkan pengajian di peringkat lebih tinggi daripada pinjaman terdahulu sahaja; dan

ii) Bagi pelajar yang menyambung pengajian di peringkat yang sama atau lebih rendah daripada pinjaman terdahulu hanya   dipertimbangkan selepas pelajar menyelesaikan jumlah keseluruhan hutang terdahulu (termasuk apa-apa kos yang ditentukan oleh PTPTN).

 

(III) PENGELUARAN & PEMBATALAN PINJAMAN PENDIDIKAN

 

Soalan 11:

Berapakah tempoh masa yang diambil untuk menerima wang pinjaman selepas menghantar dokumen yang lengkap diserahkan kepada pihak PTPTN?

Jawapan:

Wang pinjaman akan dikreditkan dalam tempoh 21 hari bekerja daripada tarikh penerimaan dokumen yang lengkap..

 

Soalan 12:

Mengapa jumlah pinjaman yang diterima pada setiap semester tidak sama dengan jumlah keseluruhan pinjaman yang ditawarkan kepada saya?

Jawapan:

Jumlah pinjaman yang diterima pada setiap semester telah dibuat potongan perlindungan takaful dan WPP (sekiranya telah menunaikan WPP).

 

Soalan 13:

Bagaimanakah pengeluaran pinjaman pendidikan bagi semester berikutnya?

Jawapan:

Pengeluaran pinjaman bagi semester berikutnya adalah berdasarkan syarat-syarat berikut:

i)         Masih aktif meneruskan pengajian pada peringkat, jurusan dan IPT yang diluluskan;

ii)         Lulus peperiksaan pada semester sebelumnya dengan keputusan Purata Nilai Gred (PNG)/ Gred Point Average (GPA) 2.0 ke atas; dan

iii)         Tidak menerima penaja lain.

 

Soalan 14:

Adakah saya akan mendapat semula pinjaman pendidikan yang telah ditahan disebabkan saya memperolehi PNG di bawah 2.0?

Jawapan :

Tidak. Bayaran balik pinjaman adalah berdasarkan jumlah pinjaman yang diterima termasuk upah yang dikenakan.

 

Soalan 15:

Adakah saya layak mendapatkan baki pinjaman pendidikan jika berjaya menamatkan pengajian lebih awal daripada tempoh pengajian sebenar?

Jawapan:

Tidak layak. Pengeluaran pinjaman pendidikan akan dikeluarkan setakat tempoh anda menamatkan pengajian samada lebih awal atau mengikut tempoh pengajian lazim. Bayaran balik pinjaman adalah berdasarkan jumlah pinjaman yang diterima termasuk upah yang dikenakan.

 

Soalan 16:

Bolehkah pinjaman pendidikan dibayar ke akaun waris pelajar?

Jawapan:

Tidak boleh. Pengeluaran pinjaman pendidikan dikreditkan terus ke akaun persendirian pelajar sahaja.

 

Soalan 17:

Apakah prosedur untuk membatalkan pinjaman pendidikan saya?

Jawapan :

Peminjam perlu mengisi Borang Pembatalan Pinjaman yang boleh diperolehi menerusi Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP)/ kaunter PTPTN/ Portal Rasmi PTPTN beserta surat permohonan rasmi pembatalan pinjaman pendidikan.Bagi peminjam yang menerima penaja lain, sila sertakan bersama salinan surat tawaran daripada penaja berkenaan.

 


Soalan 18:

Saya telah membatalkan pinjaman pendidikan saya dengan PTPTN dan ingin memohon untuk mendapatkan pinjaman pendidikan dari penaja lain tetapi penaja tersebut memerlukan surat pelepasan bersyarat daripada PTPTN. Bagaimanakah saya boleh mendapatkannya?

Jawapan:

Peminjam perlu mengemukakan surat permohonan rasmi untuk mendapatkan surat pelepasan bersyarat tersebut.

 

Soalan 19:

Saya telah membatalkan pinjaman pendidikan saya dengan PTPTN, bolehkah saya membuat permohonan pinjaman kali kedua untuk meneruskan pengajian saya?

Jawapan:

Boleh, sekiranya penerima biaya telah menyelesaikan pinjaman terdahulu pada peringkat pengajian yang sama. Namun, pinjaman kali kedua untuk peringkat pengajian yang lebih tinggi akan dipertimbangkan walaupun pinjaman terdahulu belum diselesaikan.

 

 

(IV) DOKUMEN PERJANJIAN PINJAMAN

 

Soalan 20:

Bagaimanakah caranya untuk saya memaklumkan mengenai perubahan alamat dan butiran diri saya?

Jawapan:

Pengemaskinian maklumat butiran diri boleh dibuat melalui Borang Perubahan Maklumat Pelanggan yang boleh didapati di Portal Rasmi PTPTN.

 

Soalan 21:

Sebelum saya menandatangani dokumen tawaran, saya dapati terdapat perbezaan maklumat pengajian pada surat tawaran pinjaman pendidikan. Bolehkah saya meminda surat tawaran tersebut?

Jawapan:

Semua maklumat yang dicetak dalam dokumen tawaran pinjaman pendidikan adalah berdasarkan pengisian permohonan oleh pelajar. Sekiranya pindaan melibatkan ejaan Nama, Alamat, Nama Bank dan No Akaun, pengemaskinian boleh dibuat melalui Borang Perubahan Maklumat Pelanggan yang boleh didapati di Portal Rasmi PTPTN. Bagi pindaan yang melibatkan maklumat pengajian seperti Nama IPT, Nama Program, Tempoh Pengajian dan lain-lain, anda perlu membatalkan tawaran berkenaan dan mengemukakan semula permohonan baharu dengan memastikan maklumat yang diisi adalah betul.

 


Soalan 22:

Bagaimanakah untuk saya mendapatkan salinan dokumen perjanjian?

Jawapan:

Anda boleh hadir di mana-mana cawangan PTPTN dengan mengemukakan Borang Permohonan Salinan Dokumen Perjanjian Pinjaman PTPTN yang diperolehi daripada Portal Rasmi PTPTN bersama wang tunai sebanyak RM90.

 

Soalan 23:

Saya belum lagi menerima salinan dokumen perjanjian. Berkemungkinan surat saya dikembalikan ke pejabat PTPTN kerana saya telah berpindah ke alamat baharu tanpa pengetahuan PTPTN. Bagaimana saya ingin mendapatkan semula salinan dokumen perjanjian tersebut?

Jawapan:

Anda perlu mengemukakan Borang Permohonan Dokumen Perjanjian Pinjaman (Asal) Yang Tidak Dituntut yang boleh didapati di Portal Rasmi PTPTN bersama-sama sampul Pos Ekspres bersaiz A4 dengan menulis nama dan alamat sendiri serta poskan ke PTPTN.

 

Soalan 24:

Sekiranya saya tidak dapat menuntut salinan dokumen perjanjian di PTPTN, bolehkah saya mewakilkan orang lain untuk menuntut dokumen tersebut?

Jawapan:

Boleh. Wakil anda perlu mengisi Borang Permohonan Dokumen Perjanjian Pembiayaan (Asal) Yang Tidak Dituntut di Portal Rasmi PTPTN.

 

 

(VI) RAYUAN PERTAMBAHAN JUMLAH PINJAMAN

 

Soalan 25:

Saya telah mendapat jumlah pinjaman kategori 75%. Bolehkah saya mengemukakan rayuan mendapatkan pinjaman kategori maksimum?

Jawapan:

Jumlah pinjaman ditentukan berdasarkan pendapatan bersih isi rumah penjaga seperti di bawah:-

JUMLAH PEMBIAYAAN KELAYAKAN
Maksimum   Sekiranya   pelajar   atau   penjaga   pelajar disenaraikan sebagai penerima     Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M)
75% daripada pinjaman maksimum   Pendapatan keluarga tidak melebihi RM8,000 (tiada dalam data BR1M)
50% daripada pinjaman maksimum   Pendapatan keluarga melebihi RM8,000 (tiada dalam data BR1M)

 

Rayuan pinjaman kategori maksimum hanya dipertimbangkan sekiranya pelajar atau penjaga pelajar disenaraikan sebagai penerima Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) pada tahun semasa permohonan PTPTN diluluskan.

 

Soalan 26:

Saya telah menerima jumlah pinjaman kategori maksimum. Walaubagaimanapun jumlah tersebut masih tidak mencukupi. Adakah saya boleh membuat rayuan untuk menambah jumlah pinjaman tersebut?

Jawapan:

Tidak boleh. Jumlah pinjaman kategori maksima adalah jumlah tertinggi yang diberikan oleh PTPTN kepada mana-mana pelajar yang layak. Pelajar dinasihatkan untuk mendapatkan pinjaman daripada badan penaja yang lain sekiranya jumlah pinjaman yang diberikan masih tidak mencukupi tertakluk kepada polisi dan peraturan badan penaja tersebut.

Tarikh dikemaskini: 07 Mac 2016