Soalan 1 :
Saya telah diluluskan dan mencetak dokumen tawaran. Bila dan di manakah saya perlu menghantar dokumen tawaran ini?
Jawapan :
Tarikh bagi sesi semakan dan serahan dokumen tawaran dan perjanjian pembiayaan pendidikan PTPTN akan ditentukan berdasarkan persetujuan di antara IPT dan PTPTN. Maklumat tentang tarikh sesi tersebut akan di maklumkan kepada IPT masing-masing.



Soalan 2 :
Saya telah terlepas sesi semakan dan serahan dokumen tawaran perjanjian di IPT. Bagaimana untuk menghantar dokumen tersebut?
Jawapan :
Sila rujuk kepada Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) IPT masing-masing.

 



Soalan 3 :
Apakah syarat-syarat tawaran pembiayaan pendidikan PTPTN?
Jawapan :
Tawaran pembiayaan pendidikan akan diberikan sekiranya pemohon memenuhi syarat-syarat dan menepati kaedah permohonan pembiayaan yang telah ditetapkan. Tawaran pembiayaan kali kedua hanya akan dipertimbangkan
sekiranya memenuhi syarat-syarat seperti berikut:

  1. Menepati syarat-syarat dan kaedah permohonan pembiayaan pendidikan.
  2. Pelajar yang telah mendapat pembiayaan pendidikan untuk pengajian terdahulu tetapi gagal menamatkan pengajian/ menarik diri/ membatalkan pembiayaan pendidikan PTPTN boleh membuat permohonan pembiayaan pendidikan kali kedua dengan syarat telah menyelesaikan sepenuhnya jumlah pembiayaan pendidikan yang telah diterima sebelum ini berdasarkan pengesahan daripada Unit Lejar Pinjaman, Bahagian Akaun, PTPTN.
  3. Pelajar yang telah mendapat pembiayaan pendidikan dan berjaya menamatkan pengajian terdahulu boleh memohon pembiayaan pendidikan untuk meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi. Permohonan untuk peringkat pengajian yang sama tidak akan dipertimbangkan.
  4. Pertimbangan bagi pembiayaan pendidikan kali kedua tertakluk kepada peruntukan   yang mencukupi.


Kelulusan tempoh pembiayaan pendidikan akan ditentukan mengikut semester semasa iaitu ketika permohonan lengkap diproses oleh PTPTN.

Tawaran pembiayaan pendidikan hanya sah dalam tempoh 90 hari dari tarikh kelulusan. Sekiranya dalam tempoh tersebut, dokumen perjanjian tidak disempurnakan, tawaran pembiayaan pendidikan akan dibatalkan.

Dokumen perjanjian pembiayaan pendidikan hanya akan dianggap lengkap sekiranya dokumen tersebut dimeterai dengan Setem Hasil. Sila pastikan anda menyediakan dua keping Setem Hasil yang bernilai RM10 untuk setiap satu set dokumen perjanjian.

Tawaran pembiayaan pendidikan akan dibatalkan atau ditarik balik sekiranya didapati berlaku kesilapan tawaran atau pemalsuan maklumat.



Soalan 4 :
Saya tidak mendapat pembiayaan pendidikan penuh berbanding kawan-kawan saya. Apakah penentuan pemberian jumlah pembiayaan pendidikan kepada pemohon?
Jawapan :
Penentuan jumlah pembiayaan pendidikan PTPTN adalah bergantung kepada pendapatan bersih penjaga, setelah ditolak jumlah tanggungan (1 tanggungan = RM250).