Soalan 1 :
Setelah dokumen yang lengkap diserahkan kepada pihak PTPTN, berapa lamakah masa yang diambil untuk pengeluaran pembiayaan pendidikan kali pertama?
Jawapan :
Sekiranya semua dokumen tawaran dan perjanjian yang diperlukan telah lengkap diisi, pengeluaran kali pertama akan dilakukan dalam tempoh 21 hari bekerja daripada tarikh penerimaan dokumen. Pengeluaran pembiayaan pendidikan yang telah diluluskan akan dikreditkan terus ke dalam akaun bank pelajar.
Soalan 2 :
Mengapakah jumlah pembiayaan pendidikan yang dikreditkan ke akaun saya tidak sama seperti jumlah yang sepatutnya diterima pada setiap semester?
Jawapan :
Ini kerana jumlah pengeluaran pembiayaan pendidikan yang dibuat tertakluk kepada amaun yuran pengajian, potongan insurans dan potongan WPP (yang mana berkaitan).
Soalan 3 :
Bagaimanakah pengeluaran pembiayaan pendidikan pelajar bagi semester 2 dan berikutnya diberikan kepada peminjam?
Jawapan :
Pengeluaran pembiayaan pendidikan akan dibuat setelah PTPTN menerima pengesahan daripada IPT masing-masing bahawa:
- Pelajar di sahkan aktif mendaftar di IPT.
- Memperolehi keputusan PNG/ GPA 2.0 dan ke atas.
Soalan 4 :
Bilakah tarikh pembiayaan pendidikan dikeluarkan kepada pelajar pada setiap semester?
Jawapan :
Pengeluaran pembiayaan pendidikan akan dikeluarkan kepada pelajar dalam tempoh 2 minggu selepas pelajar mendaftar tertakluk kepada pengesahan daripada IPT.
Soalan 5 :
Adakah saya akan terus mendapat pembiayaan pendidikan sekiranya saya menangguhkan pengajian?
Jawapan :
Pembiayaan pendidikan akan ditahan pada semester anda menangguhkan pengajian. Sekiranya anda telah menerima pembiayaan pendidikan pada semester tersebut, maka pengeluaran pembiayaan anda akan ditahan pada semester berikutnya. Pengeluaran pembiayaan pendidikan bagi semester seterusnya hanya akan dilakukan berdasarkan pengesahan IPT.
Soalan 6 :
Adakah saya layak mendapatkan semula pembiayaan pendidikan yang telah ditahan disebabkan saya memperolehi PNG/ GPA di bawah 2.0?
Jawapan :
Tidak layak. Tunggakan tidak akan dibayar sekiranya pembiayaan pendidikan ditahan disebabkan PNG/ GPA di bawah 2.0. Walau bagaimanapun PTPTN akan menuntut bayaran balik bagi jumlah pembiayaan pendidikan yang telah diterima oleh pelajar sahaja.
Soalan 7 :
Adakah saya layak mendapatkan baki pembiayaan pendidikan jika berjaya menamatkan pengajian lebih awal daripada tempoh pengajian sebenar?
Jawapan :
Tidak layak. Pengeluaran pembiayaan pendidikan akan dikeluarkan setakat tempoh anda berjaya menamatkan pengajian samada lebih awal atau mengikut tempoh pengajian lazim. Tuntutan bayaran balik adalah berdasarkan jumlah pembiayaan pendidikan yang anda terima termasuk kos pentadbiran/ upah.
Soalan 8 :
Bolehkah pembiayaan pendidikan dibayar ke akaun waris pelajar?
Jawapan :
Tidak boleh. Pengeluaran pembiayaan pendidikan dikreditkan terus ke akaun persendirian pelajar sahaja.
Soalan 9 :
Saya telah menerima pembiayaan pendidikan PTPTN dan pada waktu yang sama saya juga telah menerima tajaan daripada penaja lain. Bolehkah saya menerima kedua-dua penajaan untuk saya terus belajar?
Jawapan :
Tidak boleh. Anda perlu memilih salah satu penaja sahaja. PTPTN berhak menamatkan pembiayaan pendidikan anda serta merta dan membuat tuntutan daripada pelajar/ penaja lain.