Soalan 1 :
Apakah kelayakan bagi memohon pembiayaan pendidikan PTPTN?
Jawapan :
Pelajar layak memohon pembiayaan pendidikan sekiranya memenuhi kelayakan berikut:

  1. Warganegara Malaysia.
  2. Berumur tidak melebihi 45 tahun pada tarikh memohon.
  3. Lulus SPM dengan sekurang-kurangnya 3 kepujian dalam mana-mana mata pelajaran;   atau
  4. Lulus SPM dan memperolehi CGPA 3.0 ke atas untuk pelajar lepasan Sijil Kolej Komuniti  yang mendapat tawaran pengajian ke peringkat Diploma Politeknik sahaja atau pelajar lepasan Diploma Politeknik yang mendapat tawaran pengajian ke peringkat Ijazah Pertama di IPTA atau IPTS.
  5. Bagi pelajar-pelajar IPTA/ IPTS/ Politeknik, kursus yang diikuti mestilah mendapat   kelulusan pendaftaran daripada Jabatan Pengurusan IPT (IPTA/ IPTS)/ Jabatan Pengurusan Politeknik dan Kolej Komuniti, Kementerian Pengajian Tinggi.
  6. Bagi pelajar-pelajar IPTS, kursus yang diikuti mestilah mendapat Sijil Perakuan Akreditasi daripada MQA dan belum tamat tempoh sah laku semasa permohonan dikemukakan.
  7. Bagi pelajar yang mempunyai kelayakan yang berbeza daripada yang disyaratkan di  perenggan (v) dan (vi), pengesahan bahawa kelayakan tersebut setaraf dengan kelayakan yang disyaratkan hendaklah diperolehi daripada jabatan atau agensi sebagaimana dinyatakan.
  8. Baki tempoh pengajian semasa membuat permohonan hendaklah tidak kurang dari 1 tahun.
  9. Tiada penaja lain.
  10. Pelajar perlu mempunyai akaun simpanan SSPN sebelum membuat permohonan.


Soalan 2 :
Bagaimana cara untuk saya memohon pembiayaan pendidikan PTPTN secara dalam talian (online)?
Jawapan :

  • Cara memohon pembiayaan pendidikan adalah seperti berikut:Pemohon hendaklah memohon pembiayaan pendidikan secara dalam talian melalui laman    web Permohonan Pembiayaan Online di alamat (http://www.ptptn.gov.my) .
  • Pemohon hanya dibenarkan memohon berpandukan tarikh yang telah ditetapkan mengikut IPT masing-masing. Panduan tarikh untuk membuat permohonan mengikut IPT berkaitan boleh dirujuk di dalam laman web PTPTN.
  • Pemohon perlu membeli No. PIN bernilai RM5 di Bank Simpanan Nasional atau cawangan melalui 3 saluran di bawah sebelum membuat pendaftaran kali pertama permohonan pembiayaan pendidikan iaitu:
  1. Kaunter.
  2. Mesin Teller Automatik (ATM)
  3. Mesin Deposit Tunai (CDM).

    *Nota :
              No. PIN hanya sah 6 bulan selepas tarikh daftar permohonan (pendaftaran kali pertama).
  • Pemohon hendaklah mendapat tawaran kemasukan ke IPT sebelum memohon pembiayaan pendidikan.
  • Pemohon perlu mempunyai no. akaun individu mengikut bank yang telah ditetapkan oleh IPT masing-masing kecuali kepada pemohon yang mengikuti pengajian di IPT yang memberi kemudahan prapembukaan akaun bank untuk pelajarnya.
  • Bagi pemohon yang melanjutkan pengajian ke peringkat Sarjana/ PhD (Sepenuh Masa) di bawah pembiayaan Pakej Rangsangan Ekonomi Kedua (Bajet Mini) dari Kementerian Pengajian Tinggi, pemohon hendaklah memilih nama kursus pengajian yang bermula dengan perkataan "Bajet Mini" di butiran nama program/ kursus.
  • Pemohon boleh menyemak keputusan permohonan pembiayaan pendidikan PTPTN di laman web Permohonan Pembiayaan Online bermula hari ke - 6 (hari bekerja) selepas tarikh tutup permohonan dalam talian yang telah ditetapkan oleh PTPTN.
  • Pemohon yang berjaya ditawarkan pembiayaan pendidikan PTPTN perlu melayari laman web Permohonan Pembiayaan Online untuk mencetak dokumen yang disenaraikan.
  • Pastikan komputer anda mempunyai program ‘Adobe Acrobat Reader' untuk tujuan cetakan dokumen. Program tersebut boleh dimuat turun daripada laman web (http://www.adobe.com/products/acrobat/). Sila klik pada ikon ‘Get ADOBE READER' dan ‘Install' di komputer anda.
  • Dokumen yang tersenarai di bawah hendaklah dicetak dengan menggunakan kertas berwarna putih bersaiz A4 (80 gsm). Cetakan hanya dibenarkan pada satu muka sahaja untuk setiap helaian (bagi satu-satu muka surat). Dakwat cetakan hendaklah berwarna hitam.
  1. Sediakan 2 set (dibenarkan 1 set cetakan komputer dan 1 set salinan fotostat) surat   tawaran pembiayaan pendidikan (beserta Akuan Penerimaan, Surat Kebenaran 1, 2, 3 dan 4). Sila lengkapkan dan tandatangan kedua-dua set dokumen berkenaan **.
  2. Sediakan 2 set (dibenarkan 1 set cetakan komputer dan 1 set salinan fotostat) Dokumen Perjanjian Pembiayaan Pendidikan. Sila lengkapkan dan tandatangan kedua-dua set dokumen berkenaan **.
  3. Sediakan 2 set (dibenarkan 1 set cetakan komputer dan 1 set salinan fotostat) Lampiran Perjanjian Pembiayaan Pendidikan. Pelajar dikehendaki untuk tandatangan ringkas di setiap muka surat pada ruangan yang disediakan di bahagian bawah dokumen berkenaan**.
  4. Sediakan 2 keping Setem Hasil yang bernilai RM10 setiap satu Dokumen Perjanjian Pembiayaan Pendidikan yang telah disempurnakan, hendaklah dilekatkan dengan Setem Hasil bernilai RM10 di sudut atas kanan pada muka depan setiap set dokumen perjanjian. (RUJUK LAMPIRAN A PADA DOKUMEN PERJANJIAN PEMBIAYAAN)

   Nota :
             ** Setiap set dokumen yang dilengkapkan adalah untuk tujuan simpanan dan rujukan   penerima biaya dan PTPTN.

  • Penerima biaya juga perlu mengemukakan bersama SATU (1) SALINAN dokumen sokongan yang telah DISAHKAN/ DITANDATANGANI seperti berikut:
  1. Maklumat permohonan pembiayaan yang boleh dicetak di butang CETAK MAKLUMAT di dalam laman web Permohonan Online yang telah didaftarkan sebelum ini (dokumen ini tidak perlu disahkan).
  2. Salinan Kad Pengenalan penerima biaya. Salinan fotostat muka hadapan dan belakang kad pengenalan tersebut perlu dilakukan pada muka surat yang sama.
  3. Salinan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM/ SPMV). Slip transkrip keputusan peperiksaan SPM/ SPMV hanya sah untuk digunakan sekiranya tidak melebihi tempoh 2 tahun dari tahun peperiksaan diambil.
  4. Salinan Surat Tawaran Kemasukan ke IPT. Surat tawaran yang diperolehi melalui cetakan internet/ laman web IPT perlu disahkan oleh Pegawai Kumpulan Pengurusan dan Profesional daripada IPT pelajar berkenaan sahaja.
  5. Salinan buku akaun (muka surat yang tercatat no. akaun)/ Slip Deposit Bank/pengesahan no. akaun persendirian mengikut bank yang telah ditetapkan oleh IPT. Dokumen ini hanya perlu disediakan sekiranya berlaku kesilapan no.akaun pada dokumen perjanjian penerima biaya.
  6. Salinan transkrip keputusan peperiksaan dan sijil kelayakan masuk lain. Contoh: STPM/ Diploma/ Matrikulasi/ Ijazah/ Sarjana.
  7. Salinan slip gaji/ Borang Cukai Pendapatan (Individu)/ Kad Pesara/ Penyata Pencen/ Surat Pengesahan Pendapatan/ Surat Pengesahan Tidak Bekerja - Penjaga pertama (1).
  8. Salinan slip gaji/ Borang Cukai Pendapatan (Individu)/ Kad Pesara/ Penyata Pencen/ Surat Pengesahan Pendapatan/ Surat Pengesahan Tidak Bekerja - Penjaga kedua (2).
  9. Salinan slip gaji/ Salinan Borang Cukai Pendapatan (Individu)/ Surat Pengesahan Pendapatan - Penerima biaya. (sekiranya penerima biaya masih bekerja).
  10. Salinan slip gaji/ Borang Cukai Pendapatan (Individu)/ Surat Pengesahan Pendapatan/ Surat Pengesahan Tidak Bekerja - Pasangan penerima biaya (sekiranya penerima biaya telah berkahwin).
  11. Surat Pengesahan/ Surat Akuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat/ Pusat Zakat sekiranya penerima bantuan bulanan dari Agensi berkenaan - Penerima biaya/ ibu bapa kandung/ penjaga.
  12. Surat pengesahan pengalaman kerja daripada majikan (bagi penerima biaya yang menggunakan pengalaman kerja sebagai salah satu syarat kelayakan masuk). Bagi pelajar yang mengemukakan permohonan pada semester 2 dan ke atas, tambahan dokumen sokongan berikut diperlukan:
  13. Surat pengesahan masih belajar dari IPT.
  14. Salinan keputusan peperiksaan setiap semester sebelumnya. (Setiap dokumen sokongan hendaklah difotostat dengan menggunakan kertas bersaiz A4 dan disahkan pegawai yang layak. Maklumat mengenai pegawai yang layak mengesahkan dokumen boleh didapati daripada laman web PTPTN.)


Soalan 3 :
Saya lulus SPM tetapi tidak mempunyai 3 kepujian dan telah diterima masuk ke IPTA. Bolehkah saya memohon pembiayaan pendidikan?
Jawapan :
Anda tidak layak memohon pembiayaan pendidikan. Namun demikian, kelonggaran syarat permohonan lulus SPM akan diberikan sekiranya anda termasuk di dalam kategori pelajar berikut:

  1. Pelajar lepasan Sijil Kolej Komuniti sahaja yang mendapat tawaran mengikuti pengajian ke peringkat Diploma di Politeknik dengan syarat pelajar memperolehi CGPA 3.0 ke atas di peringkat Sijil; atau
  2. Pelajar lepasan Diploma Politeknik sahaja yang mendapat tawaran mengikuti pengajian ke peringkat ijazah di IPTA atau IPTS dengan syarat pelajar memperolehi CGPA 3.0 ke atas di peringkat Diploma.


Soalan 4 :
Saya tidak memiliki SPM tetapi memiliki sijil UEC, adakah saya boleh memohon pembiayaan pendidikan?
Jawapan :
Anda tidak layak memohon pembiayaan pendidikan. Namun demikian, pengecualian syarat wajib lulus SPM diberikan bagi pelajar yang mempunyai kelulusan UEC tanpa SPM yang mengikuti pengajian diperingkat Diploma dan Ijazah Sarjana Muda di IPTS sahaja.



Soalan 5 :
Saya mempunyai lebih dari 1 keputusan SPM, adakah saya boleh menggabungkan kesemua keputusan ini untuk memohon pembiayaan pendidikan PTPTN?
Jawapan :
Ya. Anda boleh menggabungkan keputusan-keputusan SPM yang lulus sahaja.Selain itu, hanya gred mata pelajaran yang tertinggi sahaja diambil kira.

 



Soalan 6 :
Saya tidak mempunyai 3 kepujian dalam SPM tetapi telah diterima masuk ke IPT dengan kelayakan pengalaman kerja. Adakah saya boleh memohon pembiayaan pendidikan?
Jawapan :
Tidak boleh. Syarat untuk membuat permohonan pembiayaan pendidikan PTPTN adalah pemohon perlu lulus dalam SPM sekurang-kurangnya 3 kredit di dalam mana-mana mata pelajaran SPM.

 



Soalan 7 :
Saya ditawarkan mengikuti pengajian peringkat "bridging/ foundation" di Politeknik. Adakah saya layak memohon pembiayaan pendidikan PTPTN?
Jawapan :
Anda tidak layak memohon kerana berdasarkan peraturan semasa, PTPTN tidak menawarkan pembiayaan pendidikan kepada pelajar-pelajar yang mengikuti pengajian di peringkat "bridging/ foundation" Politeknik.

 


Soalan 8 :
Saya telah menamatkan pengajian peringkat Ijazah Pertama dengan mendapat pembiayaan pendidikan PTPTN. Sekiranya saya ingin mengikuti pengajian dalam bidang lain di peringkat Diploma, bolehkah saya memohon pembiayaan pendidikan PTPTN?
Jawapan :
Tidak boleh. Pembiayaan pendidikan kali kedua hanya akan dipertimbangkan kepada pelajar-pelajar yang berjaya menamatkan pengajian dan meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi.



Soalan 9 :
Saya telah berhenti/ gagal pengajian di IPT dan ingin menyambung semula pengajian pada peringkat yang sama. Adakah saya masih boleh memohon pembiayaan pendidika PTPTN?
Jawapan :
Boleh. Dengan syarat anda telah menyelesaikan sepenuhnya jumlah pembiayaan pendidikan yang telah diterima sebelum ini (jumlah pembiayaan pendidikan adalah tertakluk kepada pengesahan daripada Unit Lejar Pinjaman, Bahagian Akaun PTPTN).

 



Soalan 10 :
Saya ingin mengikuti pengajian pada peringkat Sarjana (Master) atau Doktor Falsafah (PhD) atau Kursus Profesional di IPTS, bolehkah saya memohon pembiayaan pendidikan PTPTN?
Jawapan :
Tidak boleh. PTPTN hanya memperluaskan skop penajaan pembiayaan pendidikan kepada pelajar-pelajar yang mengikuti pengajian pada peringkat Sarjana (Master) atau Doktor Falsafah (PhD) atau Kursus Profesional di IPTA sahaja.



Soalan 11 :
Saya ditawarkan mengikuti pengajian peringkat separuh masa/ PJJ/ ePJJ di IPT tempatan. Adakah saya layak mendapat pembiayaan pendidikan PTPTN?
Jawapan :
Ya, anda layak memohon sekiranya mengikuti pengajian separuh masa di IPTA dan Politeknik. Untuk pelajar IPTS, hanya dibenarkan jika anda mengikuti pengajian di:

  1. Universiti Terbuka Malaysia (OUM).
  2. Universiti Terbuka Wawasan.
  3. Universiti Tun Abdul Razak (UNITAR).
  4. Asia E Universiti.
     

Soalan 12 :
Saya ditawarkan mengikuti pengajian ‘foundation' di IPTS. Adakah saya layak membuat permohonan pembiayaan pendidikan PTPTN?
Jawapan :
Ya, jika anda mengikuti pengajian di:

  1. Universiti Multimedia (MMU).
  2. Universiti Tenaga Nasional (UNITEN).
  3. Universiti Teknologi Petronas (UTP).
  4. Universiti Tun Abdul Razak (UNITAR).


Soalan 13 :
Adakah PTPTN menawarkan pembiayaan pendidikan kepada pelajar peringkat Integrasi di Politeknik?
Jawapan :
Ya. Pihak PTPTN ada menawarkan pembiayaan pendidikan bagi peringkat Integrasi di Politeknik sahaja bagi tempoh setahun.



Soalan 14 :
Bolehkah saya memohon pembiayaan pendidikan PTPTN bagi program 2+1 (twinning program) yang dijalankan secara usaha sama dengan IPT luar negara. Program pengajian ini dijalankan selama 2 tahun di dalam Negara dan 1 tahun di luar negara?
Jawapan :
Boleh. Walau bagaimanapun, PTPTN hanya memberi pembiayaan pendidikan bagi tempoh pengajian yang diikuti dalam negara sahaja.

 



Soalan 15 :
Saya sedang belajar di semester kedua dan ingin memohon pembiayaan pendidikan PTPTN. Bolehkah saya mendapat pembiayaan bermula semester pertama?
Jawapan :
Tidak Boleh. Tempoh pembiayaan pendidikan diluluskan adalah berdasarkan semester semasa permohonan dibuat. Sekiranya anda memohon pada semester kedua,pembiayaan pendidikan akan diluluskan mulai semester kedua hingga tamat tempoh pengajian lazim anda.