Permohonan

Soalan 1:

Saya tidak lulus Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tetapi diterima masuk ke IPT berdasarkan kelayakan masuk lain seperti sijil. Bolehkah saya memohon pinjaman?

Jawapan:

Anda tidak layak memohon pinjaman.


Soalan 2:

Saya lulus SPM tetapi tidak mempunyai 3 kepujian dan telah diterima masuk ke IPT. Bolehkah saya memohon pinjaman?

Jawapan:

Anda tidak layak memohon pinjaman. Namun demikian, kelonggaran syarat pinjaman lulus SPM akan diberikan sekiranya anda termasuk di dalam kategori pelajar berikut:

i)    Pelajar lepasan Sijil Kolej Komuniti yang mendapat tawaran mengikuti pengajian ke peringkat Diploma di Politeknik  dengan syarat pelajar memperolehi CGPA 3.0 ke atas di peringkat sijil; atau

ii)    Pelajar lepasan Diploma Politeknik yang mendapat tawaran mengikuti pengajian ke peringkat ijazah di IPTA atau IPTS dengan syarat pelajar memperolehi CGPA 3.0 ke atas di peringkat Diploma.


Soalan 3:

Saya telah berumur 46 tahun semasa permohonan dibuat. Adakah saya layak untuk memohon pinjaman?

Jawapan:

Anda tidak layak memohon pinjaman kerana had umur maksima untuk memohon pinjaman hendaklah tidak melebihi 45 tahun dari tarikh permohonan dibuat.


 
Soalan 4:

Saya belum membuka akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN). Adakah saya layak memohon pinjaman PTPTN?

Jawapan:

* Mulai 18 Mei 2009, syarat simpanan SSPN bagi tujuan permohonan pembiayaan PTPTN telah tidak dikuatkuasakan

 
Soalan 5:

Saya telah berkahwin. Adakah saya perlu mempunyai penjaga?


Jawapan:

Ya. Bagi tujuan pengisian borang permohonan pinjaman, pasangan pemohon adalah dianggap sebagai penjaga.


Soalan 6:

Adakah saya perlu mempunyai penjamin semasa membuat pemohonan pinjaman dan siapakah yang layak menjadi penjamin?


Jawapan:

Ya, anda perlu mempunyai dua (2) orang penjamin yang terdiri daripada ibu kandung dan bapa kandung sahaja tanpa mengambil kira had umur dan pendapatan. Sekiranya salah seorang atau kedua-duanya telah meninggal dunia / tidak dapat dikesan, sila sertakan salinan sijil kematian / akuan sumpah sebagai bukti.


Soalan 7:

Saya ditawarkan mengikuti pengajian peringkat “bridging” di Politeknik. Adakah saya layak memohon pinjaman PTPTN?

Jawapan:

Anda tidak layak memohon kerana berdasarkan peraturan semasa, PTPTN tidak menawarkan pinjaman kepada pelajar-pelajar yang mengikuti pengajian di peringkat “bridging”.


Soalan 8:

Saya telah menamatkan pengajian peringkat Ijazah Pertama dengan mendapat pinjaman PTPTN. Sekiranya saya ingin mengikuti pengajian dalam bidang lain di peringkat diploma, bolehkah saya memohon pinjaman PTPTN?

Jawapan:

Tidak boleh. Pinjaman kali kedua hanya akan dipertimbangkan kepada pelajar-pelajar yang berjaya menamatkan pengajian dan meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi. Contoh : Dari peringkat diploma ke peringkat ijazah pertama.


Soalan 9:

Saya ingin mengikuti pengajian pada peringkat Sarjana (Master) atau Doktor Falsafah (PhD) atau Kursus Profesional di IPTS, bolehkah saya memohon pinjaman PTPTN?

Jawapan:

Tidak boleh. PTPTN hanya memperluaskan skop penajaan pinjaman kepada pelajar-pelajar yang mengikuti pengajian pada peringkat Sarjana (Master) atau Doktor Falsafah (PhD) atau Kursus Profesional di IPTA sahaja.


Soalan 10:

Saya mengikuti pengajian secara separuh masa di IPT tempatan. Adakah saya layak mendapat pinjaman?

Jawapan:

Ya, sekiranya anda mengikuti pengajian separuh masa di IPTA dan Politeknik sahaja.


Soalan 11:

Saya ingin mengikuti Pengajian Jarak Jauh (PJJ) di IPT tempatan. Bolehkah saya memohon pinjaman?

Jawapan:

Boleh. Pinjaman PTPTN turut ditawarkan kepada pelajar-pelajar yang mengikuti Pengajian Jarak Jauh (PJJ) di IPTA, Universiti Terbuka Malaysia dan Universiti Terbuka Wawasan sahaja.


Soalan 12:

Saya telah mendapat tawaran untuk melanjutkan pengajian ke luar negara. Bolehkah saya memohon pinjaman PTPTN?

Jawapan:

Tidak. PTPTN hanya menawarkan pinjaman kepada pelajar yang mengikuti pengajian di peringkat Diploma dan Ijazah Pertama di Politeknik dan IPT (IPTA dan IPTS) serta peringkat Sarjana (Master) atau Doktor Falsafah (PhD) atau Kursus Profesional di IPTA dalam negara sahaja.


Soalan 13:

Bolehkah saya memohon pinjaman bagi program 2+1 yang dijalankan secara usahasama dengan IPT luar negara. Program pengajian ini dijalankan selama 2 tahun di dalam negara dan 1 tahun di luar negara?

Jawapan:

Boleh. Walau bagaimanapun, PTPTN hanya memberi pinjaman bagi tempoh pengajian yang diikuti dalam negara sahaja (2 tahun).


Soalan 14:

Saya sedang belajar di semester kedua dan ingin memohon pinjaman PTPTN. Bolehkah saya mendapat pinjaman bermula semester satu?

Jawapan:

Tempoh pinjaman diluluskan berdasarkan semester semasa permohonan dibuat. Sekiranya anda memohon pada semester kedua, pinjaman akan diluluskan mulai semester kedua hingga tamat tempoh pengajian lazim anda.


Soalan 15:

Saya mempunyai lebih dari satu (1) keputusan SPM, adakah saya boleh menggabungkan kesemua keputusan ini untuk memohon pinjaman PTPTN?

Jawapan:

Ya. Anda boleh menggabungkan keputusan-keputusan SPM tersebut tetapi hanya keputusan yang lulus sahaja. Selain itu, hanya gred mata pelajaran yang tertinggi sahaja diambilkira bagi setiap satu mata pelajaran untuk kesemua keputusan tersebut.


Soalan 16:

Saya telah kehilangan sijil SPM. Bolehkah saya menggunakan salinan transkrip (slip) SPM untuk memohon pinjaman?

Jawapan:

Anda boleh memohon pinjaman menggunakan salinan slip SPM. Walau bagaimanapun, tempoh sahlaku slip tersebut hendaklah tidak melebihi dua (2) tahun dari tahun peperiksaan diambil.