Diskaun 20% atas baki hutang untuk penyelesaian penuh keseluruhan baki hutang pinjaman.


Soalan 1 :
Siapakah yang layak mendapat diskaun 20% ini?

Jawapan :
Semua peminjam PTPTN (termasuk yang telah dikenakan tindakan penguatkuasaan) yang membuat penyelesaian keseluruhan baki hutang pinjaman mulai 27 Oktober 2017 hingga 31 Disember 2018 layak mendapat insentif ini.


Soalan 2 :
Adakah pemberian diskaun 15% di bawah Bajet 2017 diteruskan?

Jawapan :
Dengan pelaksanaan diskaun 20% di bawah Bajet 2018, pemberian diskaun 15% berakhir pada 26 Oktober 2017.


Soalan 3 :
Bagaimana mendapatkan keseluruhan baki hutang pinjaman?

Jawapan :
Keseluruhan baki hutang pinjaman boleh diperolehi secara online di Portal Rasmi PTPTN (www.ptptn.gov.my) dengan memilih ikon Bajet 2018. Peminjam juga boleh menghubungi talian Careline 03-2193 3000.


Soalan 4 :
Bagaimana dengan peminjam yang telah mendapat pengesahan baki untuk penyelesaian penuh sebelum 27 Oktober 2017?

Jawapan :

  1. Bagi peminjam yang telah mendapat pengesahan baki tetapi belum membuat bayaran penyelesaian penuh, perlu mendapatkan semula pengesahan baki baharu untuk penyelesaian penuh.
  2. Manakala bagi peminjam yang telah membuat penyelesaian penuh pada 27 sehingga 31 Oktober 2017 menggunapakai jumlah pengesahan baki dengan diskaun 15%, lebihan bayaran balik akan dipulangkan.

 


Soalan 5 :
Bagaimanakah diskaun 20% ini dikira?

Jawapan :
Diskaun 20% ini dikira berasaskan keseluruhan baki hutang pinjaman.


Soalan 6 :
Bagaimanakah kiraan diskaun bagi peminjam yang telah membuat bayaran melebihi 50% daripada keseluruhan baki hutang sebelum 27 Oktober 2017 dan membuat penyelesaian penuh selepas 27 Oktober 2017?

Jawapan :
Peminjam akan diberikan diskaun 10% bagi bayaran sebelum 27 Oktober 2017 dan 20% bagi bayaran penyelesaian keseluruhan hutang yang dibuat selepas 27 Oktober 2017.

Contoh Pengiraan
Baki hutang keseluruhan pada 1 Okt 2017    =  RM15,000
     a. Bayaran pada 10 Okt 2017                        =  RM 7,500
         Diskaun 10%                                              =  RM 750

Baki hutang pada 27 Okt 2017                      =  RM 6,750
     b. Bayaran balik pada 28 Okt 2017             =  RM 5,400
         Diskaun 20%                                           =  RM 1,350


Soalan 7 :
Bilakah diskaun 20% akan diberikan?

Jawapan :
Diskaun 20% diberikan pada setiap hujung bulan. Peminjam boleh menyemak penyata pinjaman masing-masing mulai 5 haribulan bulan berikutnya selepas pelarasan diskaun 20% diselesaikan.

Semakan penyata pinjaman boleh dibuat dengan memilih ikon Semakan Penyata Pinjaman (link dengan Penyata Pinjaman) di Portal Rasmi PTPTN (www.ptptn.gov.my). Peminjam perlu memasukkan kata laluan. Sila hubungi talian Careline 03 - 2193 3000 untuk info lanjut.


Soalan 8 :
Bilakah Surat Penyelesaian Hutang (SPH) dikeluarkan dan bagaimanakah cara terbaik mendapatkannya?

Jawapan :
Surat Penyelesaian Hutang (SPH) akan dikeluarkan mulai 5 haribulan bulan berikutnya selepas pelarasan diskaun 20% diselesaikan.
Cara terbaik adalah dengan memastikan alamat e-mel yang betul dikemaskini semasa semakan baki secara online (Ikon Bajet 2018 - Permohonan Pengesahan Baki). Cetakan SPH juga boleh dibuat secara online melalui ikon yang sama.


Soalan 9 :
Adakah peminjam layak menikmati insentif ini sekiranya membuat penyelesaian melalui gabungan pelbagai saluran seperti KWSP, tunai dan online?

Jawapan :
Layak sekiranya penyelesaian hutang pinjaman diterima oleh PTPTN dalam bulan yang sama. Peminjam dinasihatkan untuk membuat bayaran selewat-lewatnya 27 haribulan setiap bulan.


Soalan 10 :
Adakah bayaran yang dibuat melalui KWSP akan diberikan pemulangan sekiranya terdapat lebihan selepas diskaun diberikan?

Jawapan :
Ya, pemulangan lebihan akan dibuat ke Akaun 2 KWSP peminjam.


Soalan 11 :
Adakah diskaun 20% diberikan sekiranya bayaran balik dibuat melalui pemulangan pihak IPT/ Penaja?

Jawapan :
Diskaun TIDAK diberikan sekiranya bayaran balik dibuat melalui pemulangan pihak IPT/ Penaja.


Soalan 12 :
Adakah peminjam layak mendapat diskaun 20% sekiranya berhasrat membuat penyelesaian hutang pada bulan terakhir promosi iaitu bulan Disember 2018?

Jawapan :
Layak dengan syarat bayaran diterima pada atau sebelum 31 Disember 2018.


Soalan 13 :
Adakah peminjam yang HANYA mempunyai hutang Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) juga layak mendapat diskaun 20%?

Jawapan :
Layak. Pemberian diskaun 20% juga diberikan kepada hutang WPP sekiranya diselesaikan dalam bulan yang sama.


Soalan 14 :
Adakah peminjam layak mendapat diskaun 20% sekiranya mempunyai lebih daripada satu pinjaman seperti pinjaman Diploma, Ijazah Sarjana Muda dan Sarjana dan hanya ingin membuat penyelesaian hutang salah satu daripada peringkat pengajian tersebut sahaja?

Jawapan :
Tidak layak, diskaun 20% hanya diberikan kepada peminjam yang menyelesaikan keseluruhan baki hutang pinjaman beliau iaitu pinjaman Diploma, Ijazah Sarjana Muda dan Sarjana.


Soalan 15 :
Peminjam telah tamat pinjaman peringkat Diploma dan masih meneruskan pinjaman dengan pengajian di peringkat Ijazah. Adakah peminjam layak menikmati diskaun 20% sekiranya menyelesaikan keseluruhan hutang bagi peringkat Diploma?

Jawapan :
Tidak layak, diskaun 20% hanya diberikan kepada peminjam yang menyelesaikan keseluruhan baki hutang pinjaman sahaja. Pertimbangan boleh diberikan sekiranya pinjaman yang masih aktif ditamatkan dan penyelesaian penuh dibuat atas keseluruhan hutang pinjaman. Permohonan pinjaman baharu bagi peringkat yang sama adalah tidak dibenarkan.


Soalan 16 :
Adakah PTPTN akan membatalkan senarai hitam Jabatan Imigresen (JIM) dan CCRIS selepas peminjam membuat penyelesaian hutang?

Jawapan :
Pembatalan senarai hitam (JIM) akan dibuat dalam tempoh 7 hari bekerja.

Pengeluaran daripada senarai CCRIS akan dibuat pada 15 haribulan bulan berikutnya. Walau bagaimana pun, untuk tujuan permohonan pinjaman daripada Institusi Kewangan, Surat Pengesahan Bayaran akan dikeluarkan kepada peminjam sehari (hari bekerja) selepas bayaran diterima oleh PTPTN.


Soalan 17 :
Adakah peminjam yang baru tamat pinjaman dan masih belum dibina JBB layak mendapat diskaun 20%?

Jawapan :
Layak sekiranya penyelesaian penuh dibuat selewat-selewatnya pada 31 Disember 2018.

 

Kemaskini : 28/10/2017