Soalan 1:
Siapakah yang layak memohon pengecualian bayaran balik pembiayaan pendidikan?
Jawapan:
Penerima biaya yang layak adalah penerima biaya yang berjaya menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda dengan memperolehi Kepujian Kelas Pertama atau setaraf dengannya. Bagi penerima biaya IPTS pula, ia terhad kepada penerima biaya yang telah mengikuti kursus yang mendapat Sijil Perakuan Akreditasi dari MQA. Penerima biaya yang telah bertindih biayaan sekiranya menerima tajaan selain PTPTN, menukar jurusan, peringkat pengajian dan IPT tanpa kelulusan PTPTN atau melanggar mana-mana syarat yang ditetapkan dalam perjanjian pembiayaan pendidikan, tidak akan dipertimbangkan untuk kemudahan pengecualian bayaran balik pembiayaan pendidikan.
Bagaimanakah cara untuk memohon pengecualian bayaran balik pembiayaan pendidikan?
Jawapan:
Sila hantarkan dokumen-dokumen seperti berikut:
- Surat Permohonan Rasmi.
- Salinan Ijazah Sarjana Muda Kepujian Kelas Pertama atau setaraf dengannya;;
- Sesalinan transkrip akademik;
- Surat pengesahan Kelas Pertama (jika tiada perkataan Kelas Pertama tercatat pada Ijazah); dan
- Surat akuan penerima biaya. (klik di sini)
Nota:
* Semua salinan dokumen dan surat pengesahan hendaklah disahkan oleh Pegawai Kumpulan Pengurusan dan Profesional di Bahagian Akademik IPT sahaja.
* Sesalinan Sijil Perakuan Akreditasi oleh MQA diperlukan jika kelulusan pemohon adalah daripada IPTS.
Soalan 3:
Saya mendapat Kepujian Kelas Pertama semasa program Diploma, bolehkah saya memohon untuk pengecualian bayaran balik pembiayaan pendidikan PTPTN?
Jawapan:
Tidak boleh. Hanya pelajar lulusan Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama sahaja yang layak memohon pengecualian bayaran balik pembiayaan pendidikan PTPTN
Soalan 4:
Bolehkah Kelas Kedua Tinggi memohon pengurangan bayaran balik pembiayaan pendidikan?
Jawapan:
Tidak boleh. Buat masa ini PTPTN hanya memberi pengecualian bayaran balik kepada Kelas Pertama sahaja dan tiada pengurangan atau diskaun diberi kepada Kelas Kedua Tinggi.
Soalan 5:
Bolehkah salinan transkrip dan Ijazah disahkan oleh Pegawai Kumpulan Pengurusan dan Profesional Bahagian lain?
Jawapan:
Tidak boleh. Semua salinan dokumen seperti transkrip dan Ijazah hanya boleh disahkan oleh Pegawai Bahagian Akademik IPT berkenaan sahaja.
Soalan 6:
Saya mendapat Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama semasa belajar di UPM dan kini sedang menyambung pengajian dalam program Sarjana di UM. Bolehkah saya mendapat pengesahan untuk dokumen Ijazah dan transkrip saya di Bahagian Akademik UM?
Jawapan:
Tidak boleh. Pengesahan dokumen hanya boleh dilakukan di Bahagian Akademik universiti yang mengeluarkan Ijazah dan transkrip tersebut sahaja.
Soalan 7:
IPT saya tidak mempunyai Bahagian Akademik, di manakah saya harus mengesahkan dokumen saya?
Jawapan:
Salinan ijazah dan transkrip boleh disahkan oleh bahagian yang mengeluarkan transkrip dan ijazah seperti Bahagian Akademik atau Bahagian Peperiksaan dan Rekod Universiti IPT berkenaan sahaja.
Soalan 8:
Saya pernah menerima pembiayaan pendidikan PTPTN dan telah membatalkan pembiayaan pendidikan dengan PTPTN kerana menerima penaja lain. Walau bagaimanapun saya telah lulus pengajian dengan Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama, bolehkah saya memohon pengecualian bayaran balik pembiayaan pendidikan?
Jawapan:
Boleh sekiranya tiada sebarang pertindihan tajaan (pelajar menerima pembiayaan serentak daripada PTPTN serta agensi lain) berlaku di mana-mana semester sepanjang pengajian. Sekiranya terdapat pertindihan pembiayaan, penerima biaya perlu menyelesaikan/membayar semula jumlah pembiayaan yang bertindih terlebih dahulu, sebelum boleh dipertimbangkan untuk pengecualian bayaran.
Soalan 9:
Bolehkah pelajar lulusan Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama dari IPTS memohon untuk pengecualian bayaran balik pembiayaan pendidikan?
Jawapan:
Boleh dengan syarat pelajar IPTS yang mengikuti program yang mempunyai Sijil Perakuan Akreditasi oleh MQA sahaja yang layak memohon pengecualian bayaran balik.
Soalan 10:
Bagaimanakah untuk saya mengetahui status permohonan pengecualian bayaran balik pembiayaan pendidikan saya?
Jawapan:
PTPTN akan memaklumkan status dan keputusan permohonan kepada pelajar melalui surat.